Tuesday, June 1, 2010

Tragedi Zaiton Sameon Diangkat Ke Filem

Tragedi ngeri yang berlaku ke atas Zaiton Sameon masih terpahat walaupun memori pahit itu telah hampir 20 tahun berlalu. Kemalangan berlaku tika hidupnya dilimpahi kemasyuran di puncak populariti. Dan tak pernah disangka wanita ini kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata, wang, anak tunggal kesayangannya dan keluarga. Sejak itu, kehidupannya terumbang ambing menanti dan mengharap pada yang sudi menghulur bantuan.

Bukannya tidak pernah kembali ke arena yang pernah memberi rezeki padanya, namun penyanyi lagu Menaruh Harapan itu tidak lagi mempunyai kudrat melakukannya. Rata-rata hilang kepercayaan dengan keupayaannya. Semuanya bagai tidak kena dan hidupnya dimanipulasi individu yang cuba mengambil kesempatan.

Arah hidup bagai hilang selepas tragedi 21 Februari 1990 di Batang Kali, Selangor yang meragut segala-galanya dari hidup wanita malang ini. Namun dugaan Allah tidak mampu dielak oleh kita sebagai hambanya. Kegemilangan itu tersimpan rapi dalam kotak ingatan Zaiton walaupun luka parah di jiwa masih berdarah.

Hanya Sekadar Peringatan

Tidak semua mengerti keperitan hidup yang dialami dan berpegang kepada niat meringankan beban wanita terbabit, produksi filem Animasi Upin dan Ipin dengan syarikat Beruang Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah filem biografi mengisahkan liku-liku perjalanan hidup Zaiton Sameon.

Bagi Fauziah Nawi, pengarah Zaiton-Ceritaku, filem ini bukan bertujuan mengaib atau membuka pekung di dada, apatah lagi banyak persepsi negatif melingkari perjalanan hidup wanita itu.

"Tak ramai yang buat biografi ketika artis itu masih hidup dan kami cuba ambil peluang itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Bukan tidak mahu memilih subjek lain, namun Zaiton ada kisah yang dapat dikongsi bersama bagaimana seorang itu boleh hilang segala-galanya sekelip mata semasa berada di puncak.

"Banyak peristiwa yang tidak pernah diketahui akan dipaparkan dalam filem ini dan semuanya mengikut apa yang telah diceritakan Zaiton kepada kami. Namun sama ada tepat atau tidak, hanya Zaiton dan Allah yang mengetahuinya.

"Zaiton semakin dilupakan walaupun pernah memberi pengaruh yang sangat besar dalam industri suatu ketika dulu. Memang kami akan menampilkan sisi gelap seorang Zaiton, namun tidak sekali-kali akan mengaibkan. Segalanya hanya bertujuan mendekatkan kembali Zaiton dengan peminat dan secara tak langsung menjadi sumber rezeki meneruskan hidupnya," ujar Fauziah yang telahpun memilih Mislina Mustapha sebagai watak utama dalam filem Zaiton-Ceritaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: