Sunday, June 20, 2010

Sambut orang ketiga




USIA perkahwinan yang baru masuk setahun semakin bermakna dengan kehadiran orang baru. Sukar menggambarkan perasaan Diana Rafar, 28, tetapi kuntuman senyum di bibir nipisnya sudah jeals menerangkan perasaannya.

Sinar kepuasan sebagai isteri dan bakal ibu yang mengambur dari wajahnya seperti tidak dapat ditahan-tahan. Kini zuriat pertama hasil perkongsian hidup dengan Zamarul Hisham sudah menginjak bulan yang kelima.

Anak bongsu daripada enam beradik ini menikahi pelakon lelaki tersebut di Masjid Shah Alam pada

16 Mei tahun lalu.

“Saya sendiri tidak menyangka kini saya berbadan dua. Manakan tidak, ada kawan yang mengalami alahan teruk terutama dalam tiga bulan pertama (hamil) tetapi saya tidak mengalami sebarang alahan.

“Kandungan kini sudah masuk bulan kelima tetapi saya masih tidak muntah-muntah... pening lalat seperti kebanyakan ibu yang lain pun tidak,” ujarnya yang membawa perut ke lokasi penggambaran Ilusi.

Drama tersebut bakal disiarkan menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang.

Diana yang memegang nama asal Adiana Rafar sebelum ini sudah lali dengan pelbagai soalan berhubung sekehadiran orang ketiga dalam hidupnya dan Zamarul.

Bayi merupakan soalan lazim yang ditanya kepada pasangan suami isteri terutama jika mereka berjalan dengan perut kempis. Alah dengan soalan-soalan wajib tersebut, kini Diana mempunyai jawapan untuk setiap pertanyaan terhadap soalan seperti itu.

“Dulu jawapan saya macam biasa, tiada rezeki. Tapi orang banyak bertanyakan pada Zamarul kerana saya jarang keluar sejak akhir-akhir ini. Kini adalah masa yang sesuai untuk saya umumkan bahawa diri saya sudah pun berbadan dua. InsyaAllah kami akan menyambut orang ketiga tidak lama lagi,” ujarnya.

Kata Diana, Zamarul merupakan insan yang paling gembira apabila mendapat tahu dia hamil. Zamarul turut memliki dua anak lelaki hasil perkahwinan pertamanya yang kini menghampiri usia remaja.

Wanita bermata bundar ini turut galak bercerita tentang watak dalam drama terbarunya yang terselit unsur misteri dan mistik.

Membawakan watak Liza dalam drama 24 episod arahan Liza Ismail, Diana berkongsi keterujaannya membawakan watak wanita yang mampu melihat masa hadapan. Ilusi yang membariskan pelakon hebat seperti Ashraff Muslim, Ryzal Jaafar dan Azhar Sulaiman nyata memberikan dirinya sedikit suntikan ilusi di luar lokasi.

“Secara kebetulan, setelah menjalani penggambaran drama Ilusi, saya mendapat beberapa ilusi dalam kehidupan seharian saya. Tetapi saya anggap itu semua adalah kebetulan,” ujar Diana yang mengalami pertambahan berat badan daripada 46 kilogram ke 55 kilogram semenjak hamil.

Ujarnya jujur, sebenarnya dirinya lebih diselubungi rasa takut berbanding gembira ketika dalam proses kehamilan. Sedikit demi sedikit dia menukar rasa rakut itu setelah melihatkan emosi gembira terpancar di wajah orang di sekelilingnya.

“Entahlah... tetapi rasa gembira itu agak lambat hadir sebaliknya saya lebih rasa takut dahulu. Kini saya banyak baca al-Quran dan makan makanan berkhasiat serta minum susu untuk kesihatan bayi dalam kandungan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: