SEBELUM ini lima anak muda yang berasal dari Jakarta ini hanya menumpang tuah nama Kertas yang diharap dapat memperkenalkan mereka di persada seni tanah air. Hayat Kertas tidak kekal. Mereka akhirnya menukar nama kumpulan itu kepada Armada. Ia diharap membawa tuah berterusan buat mereka.
Misi Armada menerjah pasaran seni Malaysia banyak didorong hasil kejayaan yang dikecapi oleh band-band Indonesia terdahulu seperti Radja, Ungu, Padi, Sheila On 7 dan Dewa 19.
"Kami percaya di Malaysia, band Indonesia mudah diterima peminat tempatan.
"Kami mahu meramaikan ahli-ahli muzik dan pada masa sama berhasrat untuk menonjolkan bakat yang kami ada bagi mempelbagaikan lagi jenis muzik yang ada," kata Rizal ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Rizal, Armada lebih selesa membawakan genre muzik melankolik pop dalam lagunya.
Armada hadir ke Malaysia bertujuan untuk mempromsikan album Hal Terbesar yang mengetengahkan hits mereka berjudul Buka Hatimu dan Mahu Dibawa Ke Mana.
Setelah berjaya mencipta nama di negara sendiri, Armada mendapati bahawa kepuasan yang benar-benar mereka peroleh bukan sahaja daripada kutipan wang hasil nyanyian tetapi apa yang lebih penting adalah penerimaan pendengar terhadap muzik yang diketengahkan.
"Kami puas sekiranya penonton hadir, tetapi sekiranya mereka turut menyanyi, menari dan mengikut rentak kami, itu merupakan kepuasan sebenar buat kami," ujar Rizal.
Kumpulan ini dianggotai oleh lima orang ahli yang diterajui Rizal sebagai vokalis, Andhit (dram), Radha (gitar), Endra (bass) dan Mai (gitar).
Penerimaan terhadap Armada sangat menggalakkan sehingga menyebabkan jadual kumpulan itu menjadi sangat padat.
Kata Rizal, Armada pernah membuat 38 persembahan serta undangan dalam sebulan.
"Jadual yang padat memerlukan kami kuat dari segi mental dan fizikal tetapi kami tidak merungut kerana ia merupakan sumber pendapatan kami," jelas Rizal.
Tambah anak muda itu lagi, cita-cita mereka selepas ini adalah untuk menghantar kedua-dua ibu bapa masing-masing mengerjakan ibadah haji.
Ini semua bertitik-tolak dari kejayaan Armada yang dilihat semakin memberangsangkan.
"Berkat rezeki kami yang semakin bertambah, kami mahu menyimpan wang dan jika berkesempatan, kami mahu menghantar kedua ibu-bapa ke tanah suci," ujar Rizal yang turut melahirkan hasrat untuk berduet dengan Slank.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: