Thursday, June 3, 2010

"Salahkah Saya Bercakap Soal Dara?" - Mila

Mila

KUALA LUMPUR: Penyanyi Noorsyarmila Jirin,23, atau Mila terkejut apabila ada pihak yang mempertikaikan daranya selepas dia di undang menjadi tetamu rancangan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 tengah hari semalam.

Dalam segmen “laser untuk kembalikan dara wanita” itu, Mila memberi pandangannya tentang kepentingan seseorang remaja perempuan menjaga dara mereka.

Dalam segmen itu Mila turut berpendapat apabila ada teknik yang dapat memulihkan dara pada hari ini, ia bukanlah satu alasan untuk golongan remaja melakukan hubungan terlarang dengan bebas.

Katanya jika seseorang wanita itu dirogol, teknik memulihkan dara adalah perlu berbanding mereka yang sudah hilang daranya akibat melakukan maksiat.

“Salahkah saya memberi komen seumpama itu?” soalnya apabila ditanya pandangan peminat yang memberi reaksi terhadap Mila selepas di undang menjadi tetamu dalam program wanita tersebut.

Mstar Online juga turut mendapat reaksi pembaca yang beranggapan seseorang yang belum berkahwin adalah tidak layak untuk mengulas mengenai dara melainkan jika mereka itu sudah tiada dara lagi.

Bercerita mengenai komen itu jelas Mila dalam rancangan berkenaan dia tidak banyak bercakap sebaliknya membiarkan tetamu jemputan lain mengulas mengenainya. Alasannya Mila kurang mahir perjalanan hidup mereka yang sudah berumah tangga.

“Jika hasrat yang baik saya itu menjadi buah mulut orang dan ada pihak yang tak puas hati, terpulanglah… saya tak boleh kata apa-apa dan saya tak boleh nak tutup mulut orang,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Tambahnya, tujuan dia menerima pelawaan menjadi tetamu rancangan itu adalah untuk mempromosikan lagu terbarunya Kata Hati Mila dan bukannya untuk mencari kontroversi murahan hanya kerana memperkatakan soal dara.

Mila juga berharap masyarakat pada hari ini lebih profesional dan tidak memandang sesuatu perkara atau topik itu secara negatif semata-mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: