NANAS sering dijadikan juadah dalam rojak, juga sesuai dimakan begitu saja bersama asam boi atau dicampur dalam masakan. Selain rasanya yang masam dan manis, ramai tidak tahu nanas mempunyai nilai perubatan tersendiri terutama dalam bidang kecantikan.
PRODUK...antara produk Kasih Anana yang diperbuat daripada nanas.
MANDI...bagi pelanggan yang ingin menikmati rawatan Aura Kasih mereka dimandikan mengikut cara tertentu.
Menyedari pelbagai khasiat dalam buah nanas, ia mendorong Pusat Kecantikan dan Kesihatan Kasih Anana di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, memperkenalkan produk kecantikan berasaskan nanas.
Menurut Pengarah Urusan Kasih Anana, Mohd Zikri Mohd Zaihan, penghasilan produk Anana adalah kerjasama dengan Sirim dan Lembaga Nanas Malaysia yang sehingga kini sudah menghasilkan 23 produk dan dijual di hampir 70 cawangan di seluruh Malaysia.
"Sebelum penghasilan produk ini kami sudah menjalankan pelbagai kajian dengan usaha sama Sirim untuk mengetahui kebaikan nanas dalam bidang kecantikan.
Diakui nanas atau dalam bahasa Latin disebut anana, ia mempunyai vitamin C yang sangat tinggi serta tiada kolesterol.
"Paling penting nanas mempunyai enzim bromelain yang menjadi kunci kepada semua kebaikan nanas. Bromelain dikatakan berkesan untuk membantu menangani masalah antiradang, antipenuaan, risiko kanser serta mengurangkan masalah mata.
"Bukan setakat isi, batang atau tangkai nanas juga dikatakan mempunyai khasiat tersembunyi. Terdapat molekul berguna yang tersembunyi dalam batang nanas. Molekul ini mampu bertindak sebagai pertahanan untuk membantu menentang beberapa jenis kanser serta berkhasiat untuk memutihkan kulit serta penyental yang sangat bagus," katanya.
Selain produk perawatan wajah yang digunakan untuk rawatan muka dan mata, pusat kecantikan berkenaan menyediakan rawatan spa seperti mandi rempah, susu, sauna, lulur dan pakej untuk bakal pengantin, selain pakej untuk wanita baru bersalin.
Menurut Mohd Zikri, selain menggunakan produk sendiri Kasih Anana, ia menyediakan perubatan alternatif iaitu spa Aura Kasih. Keistimewaan rawatan ini ialah menggunakan sejenis cecair diperbuat daripada inti pati 1,001 jenis bunga terpilih.
"Masyarakat dulu mengamalkan mandi bunga iaitu dengan memilih tujuh jenis bunga pelbagai warna bertujuan memulihkan kesegaran tubuh selain membangkitkan aura seri.
"Diakui bunga memberi pelbagai kebaikan kepada kita kerana mempunyai aura apatah lagi apabila dicampur air yang mempunyai getaran tersendiri. Sebab itu wanita dulu mengamalkannya sebagai penyeri serta membangkit keyakinan diri," katanya.
Caranya, titiskan Aura Kasih dalam angka ganjil sama ada tiga, lima atau tujuh titis ke dalam air dan sambil berniat curahkan daripada kepala sehingga kaki dengan harapan akan meningkatkan keyakinan serta menyerikan wajah. Bagi pelanggan yang ingin melakukan sendiri di rumah mereka boleh berbuat demikian selepas diajar petugas terbabit.
Menurutnya, manusia mempunyai tujuh jenis aura dan berlainan antara satu sama lain. Sebab itu, individu tersohor atau dikenali ramai diakui kehebatannya, getar auranya sudah boleh dirasai insan yang berada di sekeliling mereka. Malah mereka sentiasa dihormati serta dijadikan rujukan dalam semua perkara.
Mengenai konsep spa, dia menggunakan warna bumi seperti hijau, coklat kelabu dan hitam untuk memberi keselesaan kepada pelanggan. Warna ini lebih mendamaikan serta memberi ketenangan sambil dihidangkan dengan muzik gamelan Indonesia, minda boleh berehat manakala badan dimanjakan dengan urutan daripada petugas spa.
Pusat kecantikan dan kesihatan itu mempunyai empat bilik, tiga digunakan untuk rawatan urut badan dan wajah manakala sebuah lagi digunakan untuk spa dan sauna bersesuaian tema Cantik di Mata Cantik di Hati.
Selain perkhidmatan spa serta rawatan wajah, Kasih Anana menyediakan butik serta kafe kecil khusus untuk pelanggan yang datang berpasangan terutama suami isteri. Mereka boleh menjenguk butik kecil yang menyediakan pakaian kasual atau jika terasa dahaga boleh memesan secawan kopi panas bersama karipap berintikan ayam lada hitam bersama rojak buah sementara menunggu pasangan selesai dirawat.
Menurutnya, karipap dan kuah rojak ialah dua menu segera yang dihasilkannya dan sekarang sedang memasuki pasaran Vietnam dan beberapa negara lain. Keistimewaan karipap adalah pada intinya manakala kuah rojak semula jadi mengikut resipi dahulu.
"Pada mulanya Kasih Anana hanya menyediakan rawatan spa tetapi apabila pelanggan mulai ramai dan pasangan terpaksa keluar untuk minum sementara menantikan rawatan selesai, saya terfikir membuka butik dan kafe kecil. Sekurang-kurangnya masa menunggu satu atau dua jam dimanfaatkan sepenuhnya di kafe sambil meninjau pakaian di butik," katanya yang memiliki ijazah dalam bidang perakaunan di United Kingdom tetapi memilih untuk membantu ibunya yang juga pemilik Norz Beauty House Sdn Bhd.
Menggembirakan Mohd Zikri apabila Perbadanan Nasional Berhad sudah menyatakan persetujuan memberikan kebenaran kepada Kasih Anana untuk menjalankan sistem francais Bumiputera pertama di Malaysia sekali gus menjadikan pusat kecantikan dan kesihatan ini lebih bersifat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: