Monday, June 28, 2010

Reka kasut sendiri


PEMILIHAN warna dan material mengikut cita rasa pemiliknya adalah antara langkah awal pembuatan kasut ini.


BIASANYA kita mendengar baju ataupun beg tangan sahaja yang boleh dibuat tempahan.

Walau bagaimanapun, mekanisme pembuatan yang melalui perubahan mengikut selera konsumer telah membuka lebih banyak pilihan pembelian.

Kini, anda turut boleh menghasilkan sepasang kasut sendiri berdasarkan kreativiti masing-masing.

Memandangkan fesyen masa kini bergerak pantas, rata-rata individu yang trendy menginginkan sesuatu kelainan setiap kali tampil dikhalayak ramai.

Seseorang yang teliti dalam penampilan pasti mahukan sentuhan peribadi dalam fesyen mahupun aksesori yang dikenakannya agar dia lebih puas dan yakin ketika berinteraksi.

Sekiranya sudah sekian lama anda berhajat untuk memiliki kasut mengikut cita rasa sendiri, butik Timberland telah menyediakan perkhidmatan istimewa itu.

Apa sahaja bentuk rekaan dan warna kegemaran yang bermain dalam fikiran anda boleh direalisasikan.

"Setiap individu pastinya seronok apabila dipuji tentang kelainan penggayaan fesyen. Jadi kelebihan yang diperkenalkan oleh Timberland benar-benar memenuhi permintaan pelanggan setia jenama ini.

"Tidak kira sama ada ia kelihatan klasik atau moden, konsep Design Your Own Handsewn boleh dipilih berdasarkan kegemaraan anda," beritahu Pengarah Asia Tenggara Timberland, Chrislyn Pillai.

Didapati di cawangan butik Timberland di pusat beli-belah Pavilion, Design Your Own Handsewn bukan terhad kepada kasut lelaki malah ia turut menerima tempahan bagi kasut wanita.


CHRISLYN mengajak para pencinta kasut Timberland mereka sendiri kasut yang mereka inginkan.


Bermula daripada pemilihan tapak kasut sehinggalah kepada bentuk jahitan yang diinginkan, anda mendapat sentuhan pakar kasut profesional Timberland.

"Pelanggan boleh pilih material kegemaran masing-masing. Apabila sudah berpuas hati, ia akan dihantar ke Santiago, Republik Dominica untuk tempahan jahitan," ujarnya ringkas.

Ketepatan ukuran

Di samping itu, setiap bahagian kasut yang ingin dicantum diperiksa dengan teliti terlebih dahulu sebelum menjalani proses jahitan. Ia bagi mendapatkan ketepatan beberapa faktor seperti ukuran, keselesaan, ketahanan dan fleksibiliti apabila dipakai.

Bagi pemilihan warna pula terdapat sebanyak 21 rona menarik yang boleh digabungkan bagi membentuk rekaan sepasang kasut. Mereka yang ingin menyerlahkan personaliti mereka yang ceria boleh menggabungkan beberapa warna yang terang.

Selain itu, bagi anda yang ingin tampil lebih ringkas tetapi bergaya, mungkin tidak memerlukan banyak warna untuk sepasang kasut.

Jika anda yang tidak tahu mendapatkan rekaan menarik, sampel turut disediakan sebagai rujukan.

"Sebagai langkah pertama, pelanggan perlu memilih warna yang ingin digunakan untuk melengkapkan bahagian belakang, lidah dan sirip tepi yang menghubungkan ikatan tali kasut," terang Chrislyn.

Bagi melengkapkan gaya kasut tersebut sehingga menampilkan keunikannya, pelanggan mempunyai pilihan untuk meletakkan nama atau abjad pilihan di mana-mana bahagian yang diinginkan.

Terdapat empat jenis huruf iaitu Greek, Shanghai, Gothic dan Campus.

Jelas Chrislyn, para pelanggan boleh menikmati dua pilihan rekaan kasut seperti Classic 2-Eye Boat Shoe yang didatangkan dengan kualiti kulit paling selesa.

Seterusnya, pemuilihan jenis tapak yang bermutu akan menghilangkan kegusaran pemakainya tatkala berjalan di atas permukaan basah atau licin.


WARNA merah jambu ini ideal untuk wanita yang lasak namun mahu kekal feminin.


Sementara itu, Classic 3-Eye Handsewn Shoe pula tidak kurang hebatnya apabila aspek tapak memainkan peranan utama.

Pada bahagian atas kasut dijahit dengan cantuman tapak tengah untuk menambahkan kekuatan rekaan kasut tersebut.

Dari segi tali kasut pula, ia boleh digunakan sehingga 360 darjah bagi memudahkan si pemakai mengikatnya mengikut ukuran kaki masing-masing.

Rekaan Classic 3-Eye Handsewn Shoe sememangnya mencerminkan imej si pemakai yang gemar bergaya ranggi dan lasak.

"Kedua-dua rekaan kasut ini berharga RM599 dan RM699," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: