Monday, June 28, 2010

Ulang tahun ke-10 TCRS


CHEF ISMAIL bersama-sama TCRS mempromosikan kempen terbaru rangkaian restoran tersebut.


RANGKAIAN restoran halal, The Chicken Rice Shop (TCRS) telah mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada 100 pelanggan pertama di semua 54 cawangannya di seluruh negara baru-baru ini.

Terkenal dengan hidangan nasi ayam yang sinonim dengan selera warga tempatan, pengagihan makanan tersebut dilakukan sempena sambutan ulang tahun ke-10 syarikat berkenaan dalam industri makanan negara ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan TCRS Restaurants Sdn. Bhd., Gaik Wong, berkata, pihaknya ingin meraikan hari penuh bermakna syarikat berkenaan bersama para pelanggan sebagai tanda penghargaan terhadap mereka.

"Dengan sokongan berterusan pelanggan, mereka telah menjadikan TCRS jenama tempatan yang berjaya pada hari ini.

"Kami berharap pelanggan kami dan semua penggemar nasi ayam akan memberi sokongan dan terus berkunjung ke TCRS untuk menikmati hidangan pelbagai makanan yang disediakan TCRS," katanya.

Selain daripada pemberian hidangan makan tengah hari percuma, Chef Selebriti Ismail Ahmad turut memberikan beg istimewa kitar semula kepada 50 pelanggan bertuah.

Beg tersebut mengandungi sehelai baju T dan lencana I Love Chicken Rice, kad kesetiaan dan kupon diskaun untuk tawaran promosi menarik sepanjang Julai nanti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Wong Kah Lin, berkata, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun tersebut, Chef Selebriti Ismail Ahmad telah memperkenalkan sajian terbaru iaitu rendang ayam kunyit.

"Rendang tersebut merupakan menu warisan Negeri Sembilan yang disediakan menggunakan kaedah dan ramuan tradisional termasuk santan, herba, cili padi dan bermacam-macam lagi rempah ratus.

"Menu ini adalah untuk memperkenalkan makanan warisan Malaysia kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah menikmati sajian berkenaan," ujarnya.

Beliau menambah, TCRS akan memperkenalkan lebih banyak sajian istimewa warisan masyarakat Malaysia sebagai usaha mengetengahkan masakan tempatan kepada orang ramai.

Katanya, langkah tersebut diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat negara ini tentang kelazatan dan keistimewaan masakan warisan.

Selain itu, Kah Lin memberitahu, pihaknya merancang untuk membuka lebih banyak cawangan TCRS pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan penggemar nasi ayam.

Katanya, selama 10 tahun beroperasi, TCRS telah mempunyai 54 cawangan di seluruh negara dan satu di Singapura.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: