"MENGAPA wanita saja yang perlu bergaya? Sebagai pereka fesyen, saya ingin melihat dan memastikan agar fesyen jejaka tidak hanya di tahap selamat dan segak. Malah, lelaki seharusnya tampil lebih bergaya, funky dan chic.
"Lihat sahaja keberanian golongan jejaka Jepun. Kombinasi konsep elegan dan sofistikated yang mereka pratikkan adalah antara stail lelaki yang paling ideal dan terbaik setakat ini.
"Tiada salahnya sesekali kita mencedok signatur fesyen jejaka Jepun," titip pereka tersohor kelahiran Florence, Itali, Roberto Cavalli.
Ternyata kata-kata yang terbit daripada mulut Cavalli itu ada benarnya. Matlamatnya dalam mencipta busana untuk lelaki tidak pernah gagal. Bayangkan pada usia 70 tahun, Cavalli masih gagah dan mampu mencipta keistimewaan pada setiap koleksi rekaannya.
Menyedari pemakaian lelaki lebih khusus pada padanan jaket dan kemeja serta berseluar panjang, Cavalli mengambil keputusan untuk terus mengekalkan penghasilan item fesyen berkenaan. Namun, dia menyuntik kelainan melalui ilhamnya.
Enggan membiarkan golongan lelaki urban berterusan membaluti tubuh dalam persalinan rona gelap dan polos, maka Cavalli cenderung bermain dengan palet warna terang dan garang. Pada masa yang sama, dia memilih fabrik yang dihiasi lakaran corak abstrak konsep segar dan chic.
|
|
Tidak hairanlah jika kebanyakan pemerhati dan pencinta fesyen antarabangsa menyifatkan Cavalli merupakan Raja Fesyen Itali sebenar kerana dia tidak pernah kebuntuan idea yang istimewa dan ekstravanganza.
Fabrik bercorak
Kebijaksanaan Cavalli dalam aspek pemilihan warna dan fabrik bercorak dianggap tidak pernah silap. Kecemerlangannya itu sebenarnya dibantu dengan ilmu dan pengalaman yang dikutip sewaktu menuntut di Institut Seni Florence, lima dekad lalu.
Buktinya jelas kelihatan sewaktu pertunjukan Minggu Fesyen Pakaian Lelaki yang berlangsung di Milan baru-baru ini.
Sebaik sahaja barisan model mengatur langkah di atas pentas, kelompok tetamu memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda menghargai kreativiti Cavalli.
Pada tirai pembukaan pertunjukan tersebut, para hadirin disajikan dengan sut tuksedo warna perak yang disulami kelepet di bahagian dada. Ia diikuti dengan sut formal bertakhta teknik perincian moden. Selain itu, langkah model yang menyarungkan pakaian rona biru dan merah berkilau turut memukau pandangan sekali gus menterjemahkan sisi eksperimentasi riang Cavalli.
"Saya sengaja memilih palet warna berkilau dan rekaan sebegini kerana ingin mengajak golongan jejaka agar berani mempamerkan identiti tersendiri. Lagipun, pemilihan pakaian yang betul boleh membantu meningkatkan keyakinan seseorang.
"Fabrik yang sarat dengan corak abstrak dan cetakan haiwan adalah aksesori terbaru untuk lelaki.
"Jika tidak terzahir pada baju, fabrik sedemikian boleh dipilih untuk seluar," ulas Cavalli mengenai koleksi terbarunya itu yang dikendalikan bersama isterinya, Eva Duringer.
Cavalli yang dilahirkan pada 15 November 1940, bukan sahaja terkenal dalam dunia fesyen jejaka malah pencinta cetakan haiwan ini turut meniti populariti di kalangan selebriti wanita di seantero dunia.
Kuasa rekaan Cavalli dianggap magis kerana mampu menyerlahkan keanggunan seseorang. Memang khidmatnya sering menjadi rebutan terutama menjelang majlis anugerah hiburan mahupun majlis perkahwinan.
Serlah keanggunan
Pada dua tahun lepas, Victoria Beckham yang teruja untuk meraikan perkahwinan rakan baiknya, Melanie C, sanggup meminta Cavalli mereka gaun pengantin khas buat sahabatnya itu.
Victoria yang kerap menyarungkan busana rekaan Cavalli menyifatkan hanya pereka itu yang akan membuatkan Melanie C tampil anggun bagaikan puteri.
Hal yang sama turut berlaku kepada pelakon seksi Megan Fox. Luah heroin filem Transformers itu: "Sehingga kini, saya masih tidak percaya kerana telah membeli sepasang kasut jenama Roberto Cavalli yang mahal harganya.
|
|
"Saya bukanlah jenis individu yang membelanjakan wang untuk barangan berjenama, tetapi saya jadi gila sebaik sahaja melihat kasut rekaannya yang cantik.
"Saya juga tidak melepaskan peluang menggayakan dres merah hati jenama Roberto Cavalli pada majlis tayangan perdana Transformers."
Selain itu, pada Malam Gala F1 Grand Prix 2006, kumpulan jurugambar yang berada di sudut bersebelahan karpet merah tidak putus-putus merakamkan penampilan Datuk Michelle Yeoh yang hadir dalam gaun Cavalli.
Penampilannya masih kelihatan mewah, anggun dan bergaya meskipun gaun meleretnya itu dikuasai rona hitam sepenuhnya.
Lebih menarik, Cavalli yang telah melancarkan rangkaian produk untuk golongan muda dan kanak-kanak bertuah kerana diberi tanggungjawab mereka pakaian Shakira sempena persembahan pembukaan Kejohanan Piala Dunia 2010 (FIFA) di Afrika Selatan.
Shakira yang menyanyikan lagu tema kejohanan berjudul Waka Waka (This Time For Africa), tampil lincah dan aktif di atas pentas dalam persalinan jumpsuit ketat.
Ia diperbuat daripada kain sutera motif kuda belang. Bagi mengangkat signatur fesyen tradisi Afrika, Cavalli menyarungkan skirt kembang yang dihasilkan menggunakan rumput kering.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: