LAMBAKAN cerita seram di kaca televisyen bukan lagi satu perkara baru. Justeru apabila terdapat sebuah lagi cerita memilih genre sedemikian, ia terlihat seperti klise.
Namun, menerusi telefilem arahan Jurey Rosli yang diberi judul Datang Bulan, barisan pelakonnya memberitahu ia sebuah cerita seram yang berbeza. Bakal disiarkan bermula pada pukul 9 malam ini di saluaran Astro Ria (Astro 104), Datang Bulan menurut takrifan Jurey adalah bukan sesuatu yang harus dipandang serong. Sebaliknya, perkataan atau makna Datang Bulan itu sendiri cukup sinonim dengan wanita.
Mengangkat idea tersebut, pelakon wanita utamanya, Ika Nabila memegang watak Maya. Pada Ika, walaupun datang bulan itu kedengaran kurang enak bagi segelintir pihak, namun, dia puas dan selesa membawa watak tersebut.
Di dalam telefilem tersebut, ia berkisar tentang Maya dan rakan-rakannya yang pergi berkhemah di sebuah hutan ditimpa tragedi selepas Maya membuang tuala wanitanya.
Dia kemudian dirasuk oleh makhluk halus bernama Bulan, tetapi kemudian cuba dibantu temannya, Anuar (lakonan Zoey).
"Apa yang paling saya gemar tentang watak Maya adalah permainan emosi yang harus saya beri perhatian. Maya digambarkan sebagai seorang yang tidak banyak bercakap tetapi dia lebih bergelut dengan emosinya selepas dia dirasuk oleh makhluk halus yang bernama Bulan kerana Maya telah membuang tuala wanita di dalam hutan tersebut," kata bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-enam itu.
Menurut Ika yang gemar untuk mencuba watak jahat, sesuatu yang mengujakan tentang cerita dan watak Maya juga adalah ia menguji ketahanan mentalnya apabila perlu berada kerap di dalam sungai.
Katanya: "Saya banyak kali tertelan air sewaktu di dalam sungai. Namun demi menjayakan watak tersebut, saya tidak kisah dengan halangan seperti itu."
Sementara itu, Zoey yang cukup terkenal di kalangan kanak-kanak selama ini ingin mengubah haluan lakonannya dengan cuba 'menyerap' masuk ke alam dewasa.
Ironi, Zoey, 25, sendiri sudah cukup matang untuk melakonkan watak orang dewasa. Sementelah kata pemuda berkulit putih yang sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang lakonan ini, dia mengidamkan watak yang lebih mencabar, versatil, agresif dan mantap.
"Selama ini saya banyak muncul dalam rancangan kanak-kanak. Jadi saya ambil peluang ini sebagai satu pendorong untuk keluar daripada kepompong ini dan melakonkan watak yang lebih serius," kata Zoey yang pertama kali memegang watak utama dalam telefilem.
Ditanya mengenai pengalamannya sepanjang tempoh penggambaran, Zoey berkata, membawakan watak Anuar, lelaki yang mempunyai sedikit pengetahuan trntang agama adalah satu cabaran buatnya. Menambah rencah terhadap cabaran tersebut, keseluruhan penggambaran dilakukan di dalam hutan.
"Kami perlu meredah sungai, berada dalam lumpur dan memerlukan saya mengawal percakapan semasa melakonkan watak Anuar," katanya semasa ditemubual di studio Utusan Melayu baru-baru ini.
Selain Zoey dan Ika, pelakon lain yang turut menghidupkan jalan cerita telefilem itu termasuk Gambit Saifullah sebagai Khairul, Mimi Harris sebagai Yati, Myza Aryqa sebagai Zura dan Tunku Norhanis Salman sebagai Nurul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: