Thursday, June 24, 2010

Debaran FFM23


KETUA Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim (tiga dari kiri), bersama pengarah filem melihat trofi selepas sidang media pengumuman filem yang layak bertanding pada Festival Filem Malaysia 23 di Kompleks Studio Merdeka Finas, Kuala Lumpur.


FESTIVAL Filem Malaysia edisi ke-23 (FFM23) kembali menghangatkan para penggiat seni tempatan apabila menyaksikan sebanyak 106 penyertaan yang diterima untuk dipertandingkan.

Menerusi lima kategori iaitu Filem Cereka, Filem Digital, Filem Animasi, Filem Pendek dan Filem Dokumentari, seperti biasa filem cereka memperlihatkan tidak sampai 30 filem yang tercalon iaitu sebanyak 29 filem bagi merebut kategori utama FFM23, Filem Terbaik.

Kategori Filem Pendek menerima jumlah tertinggi penyertaan berbanding kategori lain iaitu 61 filem, diikuti dengan Animasi (13) dan Digital (3).

Bagi Filem Dokumentari pula, penyertaan hanya ditutup pada 18 Jun lalu.

Penyertaan terbesar bagi kategori filem cereka ialah sebanyak enam filem daripada MIG Production yang terdiri daripada Zoo, Semerah Cinta Stilleto, V3:Samseng Jalanan, Adnan Sempit, Santau dan Senario The Movie Episod 2: Beach Boys.

Sebanyak 61 filem pendek pula layak bertanding terdiri dari tujuh filem dari syarikat produksi, 22 filem (IPTA/S) dan 32 penyertaan individu.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, daripada 34 anugerah yang dipertandingkan itu, terdapat satu lagi kategori yang masih lagi berada dalam simpanan.

"Kategori simpanan itu akan menggantikan kategori Filem Komedi Terbaik di mana sebelum ini ia diletakkan di bawah Anugerah Cipta.

"Kami sengaja mahu mengeluarkan Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk memberi ruang kepada filem bergenre lain seperti seram dan aksi yang lebih banyak diterbitkan berbanding komedi.

"Bagaimanapun kategori simpanan itu akan diputuskan oleh jawatankuasa FFM23 dengan mewujudkan Filem Aksi Terbaik atau Filem Seram Terbaik," katanya pada sidang media FFM23 di Finas, Ulu Klang baru-baru ini.

Festival Filem Malaysia 23 dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: