Sunday, June 13, 2010

Radhi mahu jaga anak!


RADHI dan Shazlin saling berpelukan sebaik sahaja keluar ke perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya selepas mereka disahkan bercerai talak satu Khamis lalu.


PENGISYTIHARAN perang mahkamah yang tercetus antara Radhi OAG, 33, dengan bekas isterinya, Shazlin Sharif, 32, bermula sejak 25 November 2008, berikutan permohonan pengesahan lafaz cerai difailkan oleh Shazlin.

Sejak hujung tahun 2008 dan berlanjutan ke sepanjang tahun 2009 hanya sebaik melepasi pertengahan tahun 2010 sahaja, Radhi akhirnya dibenarkan melafazkan talak seperti yang dituntut oleh bekas isterinya. Pasangan yang bernikah pada 1 Januari 2005 itu sah bercerai talak satu berkuat kuasa, 8 Jun 2010.

Banyak kali naik turun mahkamah namun drama sebabak yang berlaku antara Radhi dan Shazlin selepas keluar dari kamar mahkamah pada 28 Julai 2009 mungkin antara kes perkelahian selebriti yang paling diingati dalam kalendar hiburan tanah air. Radhi diselar Shalin kerana enggan membebaskan dirinya manakala Radhi menuduh Shalin sebagai penipu dan mempermainkan nama Allah semata-mata mahu diceraikan.

Kini, putus sudah kasih sayang. Dokumen penceraian pun sudah ditandatangani. Radhi dan Shazlin pula bebas membawa jalan kehidupan masing-masing. Tinggal lagi, satu-satunya anak mereka, Muhammad Rifdhi Muslim,5, masih mengharapkan kasih dan pembelaan daripada Radhi dan Shazlin sebagai bapa dan ibu kandungnya.

Sensasi Bintang: Kenapa ambil masa yang lama sehingga dua tahun baru kes cerai kalian bertemu titik penyelesaian?

RADHI: Sebab itu datang daripada saya, sebab saya masih sayangkan perkahwinan saya. Saya juga tak boleh terima hakikat isteri saya yang beria-ria sangat minta diceraikan padahal saya sedang cuba untuk memperbetulkan keadaan, tapi mungkin cara saya itu tidak kena.

Rasanya apa kesalahan paling besar Radhi yang tidak boleh dimaafkan oleh Shazlin dan menjadi masalah dalam hubungan kalian?

Saya terlibat dengan dadah. Agaknya itu sahaja punca yang paling tidak boleh diterima Shazlin, yang lain saya kurang pasti sebab Shazlin tak pernah beritahu saya.

Jadi sekarang adakah Radhi sudah benar-benar bebas daripada dadah?

Sumpah. Masuk hari ini sudah empat bulan 13 hari saya betul-betul bebas dadah.

Bagaimana dengan anak?

Memang ikut terma yang ditetapkan di mahkamah baru-baru ini, anak di bawah jagaan Shazlin dan saya harus memberi nafkah yang sepatutnya. Ikutkan, saya dan Shazlin sudah setuju untuk saya yang menjaga Rifdhi tahun ini, tapi dia masih bawah jagaan ibunya. Saya harapkan tahun depan, Rifdhi boleh tinggal bersama saya. Sudah lima tahun dia dijaga oleh bekas isteri saya, berilah peluang untuk saya menjaga Rifdhi sebelum dia bersekolah. Bagi saya anak adalah motivasi untuk saya terus bekerja kuat, berkarya dan mengelak daripada melakukan perkara tidak betul.




Apa janji Radhi untuk anak?

Kalau boleh saya nak dia membesar depan mata saya. Memandangkan sekarang saya mula berjinak-jinak untuk belajar agama, saya mahu bawa Rifdhi belajar bersama-sama dengan saya. Ibu saya juga sudah pindah tinggal di Kuala Lumpur, jadi dia boleh tolong tengok-tengokkan Rifdhi sebab untuk saya berkahwin dalam masa terdekat sangat mustahil.

Selama proses perceraian berjalan, hubungan Radhi dengan Shazlin kelihatan tegang, bagaimana pula selepas sah bercerai, masih seperti dulu atau sudah berbaik-baik?

Saya pun sudah tunaikan apa kehendak dia, jadi saya harap sangat kami boleh berkawan selepas ini. Walau apa pun terjadi saya dan Shazlin ada anak yang perlukan perhatian. Sejak 8 Jun sehingga hari ini, dia (Shazlin) belum menjawab panggilan telefon atau SMS daripada saya, dia masih tegang agaknya.

Sekarang anda bertukar status baru sebagai duda, bagaimana rasanya?

Sebenarnya saya masih bingung, bangun pagi dan rasa sedih bila memikirkan soal anak. Itulah yang sangat menyedihkan. Tapi saya reda sudah melepaskan apa yang dimahukan oleh Shazlin dan saya harap dia gembira. Semua ini berlaku disebabkan salah saya sendiri dan saya juga sudah ampunkan segala dosa Shazlin. Tak guna berdendam sebab boleh buat kita rasa sakit. Saya harapkan dia juga boleh maafkan segala kesalahan saya.

Apa yang menguatkan semangat Radhi?

Syukurlah, Allah SWT pinjamkan bakat kepada saya, jadi saya meluahkan segala perasaan, sedih dan kecewa menerusi lagu-lagu untuk album terbaru saya. Single terbaru berjudul Limbo juga dalam proses terakhir dan akan diluncurkan tidak lama lagi. Itulah luahan perasaan saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: