PERJALANAN awal gadis manis dengan nama Norsyamimi Ahmad Haris ini hampir serupa dengan langkah penyanyi lain. Mula memutikkan bakat sejak umur lima tahun, pendedahan terhadap koir sekolah dan pengalaman menyanyi pada Hari Keputeraan Sultan Kedah kira-kira 15 tahun lalu menjadi permulaan yang baik baginya. Menjadi penyanyi cilik, setiap pengalaman kecil-kecil disatukan untuk dibawa sebagai bekalan menghadap dunia realiti hiburan kelak.
Seiring masa, dia kini sudah mula merasakan sedikit asam garam kehidupan bergelar penyanyi. Pernah menjadi peserta MY Star LG musim kedua, bukan sedikit pengalaman yang dikendong melalui program realiti televisyen tersebut.
Isnin lalu, dia hadir ke Studio Utusan. Membawa nafas segar perjalanan seninya yang baru berwarna hijau. Namun gadis manis berusia 20 tahun ini sudah mula mahu mewarnakan kehidupannya di atas kanvas nyanyian. Mimie, orangnya manis, selalu tersenyum dan senang berinteraksi dengan kamera. Hasil latihan di depan cermin yang sering dilakukannya.
"Saya mahu mempromosikan single terbaru saya, Jatuh Cinta Lagi yang ditulis oleh Adi, vokalis 6ixth Sense. Saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada Adi dan dia memberikan kelainan dalam nyanyian dan lagu saya. Ini adalah bukti permulaan yang saya fokus dalam serius dalam kerjaya ini," ujarnya yang turut membahagikan masa menjadi seni muzik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Anak kelahiran Alor Setar Kedah ini jujur dan masih naif. Setiap tutur yang dilontarkan masih berbaur keanak-anakan seiring wajahnya yang comel. Menurut Mimie, dia sudah mula melihat warna hitam dan sukar walaupun diawal jejaknya menjadi artis. "Susah mahu buat semua orang puas hati," ujarnya ringkas namun bukan satu keluhan untuk dijadikan alasan.
|
|
Berbekalkan single debut dibawah NAR Records Sdn. Bhd. ini, Mimie lantas memulakan promosi diri dan produknya untuk dikenali ramai. Lagu azimatnya ini sudah mula kedengaran di radio dan dia juga sudah mula menjengah setiap pasar raya untuk tujuan promosi. "Juga sibuk dengan sesi fotografi," ujarnya senyum.
Selain menyanyi, anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini juga bermain golf dan pernah mewakili negeri Kedah dalam sukan tersebut. Namun kini Mimie memberi sepenuh perhatian kepada satu bidang sahaja. Selain menyanyi Mimie mula menjinakkan diri dalam dunia lakonan dan pengacaraan. Baginya, tidak salah jika ingin mencuba dan bereksplorasi dengan bakat yang mahu dikesan satu persatu dalam dirinya.
"Saya mencuba bakat lakonan dalam siri Hotel Mania musim pertama dengan memegang watak teman wanita kepada Anding. Saya juga terlibat dengan sebuah telemovie bertajuk Datang Bulan yang bakal disiarkan di Astro. Selain itu, saya juga menjadi pengacara bagi program In Trend yang akan ke udara di saluran TV2 pada akhir bulan ini," tuturnya petah dalam senyum membayangkan bahagia dengan rezeki yang datang kepadanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: