"TIDAK-TIDAK, tidak boleh cerita lebih-lebih, nanti itu yang menjadi isu utama," pintas si jelitawan Sabah itu penuh canda kala perkhabaran bahagianya mahu dirisik.
Dia sudah arif. Selain sisi profesion seninya yang mahu dibingkiskan, ada sesuatu yang peribadi boleh diintai dari dalam hatinya.
Kami saling berpandangan. Kulit pipinya sudah kemerah-merahan menahan rasa. Itulah Marsha Milan Londoh, 25. Dia mengetap manja bibir mongelnya sebelum lidah menggulungkan patah bicara.
Dalam tawa ceria, mekar yang menguntum di jiwanya sudah pun menerbitkan haruman kasturi. Molek benar, jika momen manis yang sudah berlabuh di pangkalan jiwa itu dikongsi bersama. Sekadar secubit rasa dari segunung cerita, Marsha pun mula berkata-kata. Kisah putus kasih bersama Kefli, bintang AF3 terus lenyap. Kini ruang hati yang setahun lebih tidak berpenghuni sudah bertuankan sebuah nama.
Jauh sekali daripada menafikan cerita, desis Marsha, dia enggan menjadi hipokrit atau mengelak pertanyaan dengan jawapan sekadar, no comment!
"Biar saya jelaskan, cukuplah dia hanya digelar dengan panggilan Mr. Z, seorang jejaka Melayu yang berasal dari Klang, Selangor dan memiliki sebuah perniagaan sendiri," katanya sambil ralit memetik Blackberry.
"Paling penting, dia lelaki muda, berusia 27 tahun dan bukannya orang kenamaan atau 'datuk'. Saya tidak minat lelaki tua," galak tuntasnya melengkapkan informasi.
Nah, semua sudah terjawab, tinggal lagi gerangan wajah sang kekasihnya sahaja yang belum ditayangkan. Untuk bab itu, Marsha menyerahkan kepada yang jauhari untuk mengenali pemilik nama.
Benar bagai dijangka, si lincah yang kini hadir dengan single terbaru, Ruang Kedua itu sedang diiring bahagia. Sebelum arus deras mengalirkan banyak cerita tidak manis, dia mengakui penuh santai mulai terjebak dalam sebuah hubungan serius. Namun, ada ketegasan yang mahu diumumkan, ikatan yang baru melepasi tempoh singkat itu belum tiba ke rancangan hari depan.
"Saya selesa dengan hubungan kali ini tapi belum terfikir soal jodoh. Cukuplah saya sudah ada seseorang istimewa di sisi yang sangat menyokong kerja seni saya," tuturnya.
Tunggu impak Ruang Kedua
Dia menutup kisah manis itu kerana besar hajat, perkembangan karier yang mahu dititipkan. Lima tahun berjudi bakat di persada muzik, jujurnya bidikan Marsha sedikit tersasar daripada impian. Kelibatnya disedari, namun mendepani karier sebagai penyanyi, dia kelihatan belum cukup untuk memutikkan sebuah nama, masih terolang-aling mencari haluan.
|
|
Belum masa mengakui tewas, Marsha terus mahu berdendang seolah-olah tiada halangan menepis dirinya jauh dari kecintaan sejak kecil itu. Lapang sasar terbarunya, Ruang Kedua diharapkan impak yang lebih besar.
"Ya, sudah lama dan sudah banyak percubaan yang saya lakukan. Tapi semuanya seperti tidak kesampaian, saya tidak tahu apa puncanya. Masih tidak ada satu karya solo yang boleh mengangkat nama saya," getusnya sedikit tersedar tentang hakikat.
Menamakan Alibi Music yang disertai sejak Disember 2009 sebagai pasak meneguhkan harapan, Marsha yakin, usahanya sedang menampakkan hasil. Biarpun sebelum ini ada artis lain mengadu berdepan masalah dengan pengurusan Alibi, Marsha masih bebas daripada sebarang onar.
"Saya akui, semasa mula menyertai Alibi, ada sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baru. Syukurlah, sampai ke hari ini, tidak timbul sebarang masalah.
"Single terbaru sudahpun diedarkan dan saya sangat teruja dapat berkongsi suara dengan Julian Cely, penyanyi popular dari Perancis sebagai buah tangan terbaru untuk penyokong saya," katanya yang baru sahaja selesai merakam single keduanya, Tak Perlu Selamanya.
Begitupun, tidak semudah itu Marsha berada di zon selesa. Akuinya, walaupun peluang besar sedia menanti sesekali ada kerisauan mencelah ke minda.
"Saya risau, adakah impian saya akan tercapai kali ini? Memang kalau boleh saya mahu menerbitkan album penuh tapi saya tahu itu bukan satu perkara yang mudah. Saya barus berdepan dengan kualiti," katanya optimis.
Kembang sayap lakon
|
|
Pernah membintangi beberapa drama termasuklah Begitulah Raya, Kerana Karina 1 dan 2, 5 Saat, Korban 44, filem Saus Kacang dan Senario The Beach Boy serta terbaru drama Dottie yang sedang berada di lokasi. Penglibatan dalam bisnes lakonan ternyata mencuri banyak waktu. Itu perhitungan yang harus diambil kira oleh Marsha. Dia bimbang, kalau-kalau lakonan mengikis aura nyanyiannya.
Dalam akur, wanita kelahiran Tamparuli, Sabah ini sedikit bersetuju. Hujahnya, lewat kebelakangan ini, kerap benar wajahnya beraksi di kaca televisyen. Dari situ judul-judul seperti Hotel Mania dan K.I.T.A. yang rancak ditayangkan tidak mustahil dia diandaikan beralih kecenderungan.
"Nyanyian akan selalu menjadi darah daging saya tetapi lakonan pula dunia baru yang sedang saya dalami. Berlakon memberikan kepuasan baru buat saya dan terlalu banyak ilmu lakonan yang mahu saya terokai.
"Setakat ini, saya tidak nampak sebarang risiko. Selagi saya masih menjadikan nyanyian sebagai sebahagian daripada profesion saya, rasanya saya boleh atasi situasi itu," ungkapnya.
Seperti membelah diri terbahagi dua, satu terhadap nyanyian dan sebahagian lagi untuk lakonan, Marsha menguntai jurai angan mahu memetik pencapaian primadona Erra Fazira dan Ogy Ahmad Daud sebagai hambatan. Dia mahu dilihat serius sebagai pelakon seperti mana dia serius berdikari berdiri sebagai penyanyi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: