Rabbani, antara kumpulan nasyid yang bukan sahaja terkenal dengan pencapaian terbaik sering diterima, malah tidak pernah kering idea dalam mengimarahkan lagi industri hiburan.
Mengikut peredaran semasa dan atas dasar keprihatinan rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan penduduk Palastin di Gaza, Rabbani Productions (M) Sdn Bhd berkolaborasi bersama PRM Global Vision Sdn Bhd menganjurkan sebuah Konsert Muhabbah Gaza yang diadakan pada 10 Julai ini di Stadium Malawati, Shah Alam.
Dengan pengajuran konsert amal seperti ini, tujuan utamanya untuk mengumpul dana bagi mangsa-mangsa kekejaman di Gaza daripada sumbangan ikhlas pengunjung yang hadir.
“Menganjurkan Konsert Mahabbah bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan sema-mata, malah ini usaha kumpulan Rabbani untuk menjadi medium kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan khasnya penduduk Palestin,” kata Azadan Abd Aziz, salah seorang anggota kumpulan Rabbani sekali gus bertindak sebagai Pengarah Program Konsert Mahabbah Gaza ini.
Dengan itu, Azadan turut menerangkan bahawa tidak ada sasaran yang diletakkan bagi jumlah kutipan derma yang akan diterima nanti. Ini kerana ianya bergantung kepada sumbangan ikhlas yang akan diberikan oleh setiap yang hadir.
Dalam soal jumlah derma yang diperolehi ini, segala kutipannya akan dikendalikan badan yang bertanggungjawab, Haulan Siswa dan Lifeline4 Gaza.
Muhabbah yang membawa makna kasih sayang ini sekali gus menunjukkan konsert ini bukan sebarang konsert hiburan seperti biasa. Ternyata ia merupakan satu penerapan nilai-nilai kasih sayang yang perlu ada pada setiap daripada yang hadir itu nanti.
Justeru konsert yang bersifat penghayatan ini akan terus membangkit semangat perjuangan untuk membela nasib penduduk Palestin serta masyarakat Islam yang lain agar tidak ditindas oleh musuh-musuh Islam.
Selain itu, segmen khas penghargaan buat Al-Marhum Uztaz Asri Ibrahim, bekas vokalis kumpulan Rabbani yang juga antara insan yang sangat memperjuangkan irama nasyid Negara.
Dalam perkembangan lain, Rabbani turut giat mempromosikan pakej umrah sempena menyambut Ramadhan yang dijadualkan 8 Ogos ini.
Persiapan turut dilakukan sempena pakej berbuka puasa di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya yang juga tahun ke-19 sejak penglibatan Rabbani dalam industri muzik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: