SELEPAS Zee Avi dan Yuna, seorang lagi anak tempatan bakal mengikut jejak mereka mencari tapak di persada muzik antarabangsa.
Selepas sekian lama menyepikan diri, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 30, tampil dengan bingkisan album sulungnya, What You Waiting For yang boleh disifatkan kemunculannya semula dalam persada seni tanah air.
Mizz Nina yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia juga sudah bersiap sedia untuk membuktikan kehebatannya sebagai penyanyi solo dan penghibur serba boleh menerusi album sulungnya itu.
"Impian saya untuk memperkenalkan muzik saya di seluruh dunia. Justeru, saya tampilkan album yang mengandungi 14 lagu membabitkan sembilan lagu inggeris dan lima lagu Melayu.
"Saya juga bekerjasama dengan penyanyi, penulis, penerbit lagu pop dan R&B terkenal dari AS (Amerika Syarikat), Colby O'Donis yang dikenali sebagai protege kepada rapper Akon untuk album ini," katanya.Tambah Mizz Nina, selain itu, penerbit tempatan dan luar negara yang bekerjasama dalam album itu, MC Dandee (Bangkok), Sakke (Belanda) dan Koolade (Croatia), Noh (Hujan), (Ahli Fiqir), Teefliii dan Planet Asia (penerima pencalonan Grammy), Uno dan AJ dari Pop Shuvit, D'Navigator, DJ Fuzz, Koko, Syaheed (Bedsty Music).
Lebih memberansangkan, klip video single What You Waiting For Mizz Nina yang ditayangkan pada 31 Mac lalu sudah dikunjungi lebih 400,000 penonton di laman web YouTube. Video itu mendapat sentuhan Scott McCullough dan penggambarannya dilakukan di Los Angeles, AS.
Single What You Waiting For turut dimainkan di stesen radio luar negara seperti 102.3 KJLH di Los Angeles, California; UPREL Paso, WEDR Miami, KKWD Oklahoma City, sejak beberapa bulan lalu.
Single ini juga berjaya memasuki beberapa carta muzik tempatan seperti Carta negara XFM, The Freaky Fly 30 Fly Fm, MET 10 hitz.fm dan DiGi Top 20 di Hitz.TV.
Dia juga mengakui mengambil masa lama untuk muncul dengan album solonya itu.
"Saya yakin, sekarang masa yang sesuai untuk muncul dengan album ini kerana saya sudah bersedia untuk kembali mewarnai dunia seni suara. Ini album solo terbaik saya.
"Album What You Waiting For dirakam di Malaysia dan Los Angeles yang mengambil tempoh setahun untuk disiapkan. Sebelum ini, imej saya tomboi dan sekarang berimej lebih feminin. Album ini adalah saya yang baru dan Nina yang lebih matang.
"Lagu ini mempunyai refleksi daripada pengalaman kehidupan saya dan sangat peribadi. Ia bercerita mengenai cinta sesama manusia, cinta kepada bekas teman lelaki dan kuasa wanita seperti dalam lagu Srikandi.
"Konsep album ini rojak kerana ia ada pop, R&B dan hip hop kerana saya masih tidak boleh lari daripada genre hip hop, sejak zaman Teh Tarik Crew lagi. Ia mempunyai unsur elektro hip hop, rentak terkini dan segar daripada kebiasaan. Album ini akan dilancarkan di Zouk Club, Kuala Lumpur pada 17 Julai ini," katanya.
Mengenai kerjasamanya dengan Colby pula, kata Mizz Nina, semuanya diuruskan pengurus bahagian antarabangsanya, Yaniz Merican.
Dalam perkembangan lain, Mizz Nina akan membuat persembahan secara medley sempena pembukaan Konsert Usher di Sungai Wang tidak lama lagi.
Sekalipun dirinya kelihatan seperti gadis urban, namun Mizz Nina mengakui jiwanya tetap Melayu.
"Saya berasal dari Kuala Lumpur dan warganegara Malaysia. Ke mana pergi pun saya bangga menjadi orang Melayu yang kaya budi bahasa dan adab sopan sebagai gadis Timur," katanya.
Diminta komennya apabila orang sering mengaitkan namanya sebagai anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim, Mizz Nina yang juga anak bongsu daripada lima beradik (abang meninggal pada 2007) mengakui, dia bangga menjadi anak kepada usahawan terkenal itu.
"Orang selalu bercakap mengenai perkara itu tetapi saya tidak kisah selagi ia tidak menjejaskan kehidupan peribadi kami sekeluarga. Tempias gosip adalah di luar kawalan saya dan saya tidak peduli sangat dengan apa orang kata," katanya.
Kata Nina, bapanya juga minat menyanyi dan dia juga sudah ada dua album.
"Saya pernah berduet dengan bapa dalam albumnya itu. Bapa hasilkan album sebagai hobi, bukan untuk dijual," katanya.
Selain menyanyi, Mizz Nina juga adalah Pengarah Urusan The Singing Shop di Ampcorp Mall, Petaling Jaya, sejak 1988. Sekolah itu juga menyediakan kelas vokal, piano, gitar dan violin. Dia juga mempunyai syarikat sendiri Mizz Nina & Co yang ditubuhkan, tiga bulan lalu.
Berkongsi mengenai teman istimewa pula, Mizz Nina yang digosipkan bercinta dengan Noh (Hujan) mengakui hatinya belum dimiliki lagi.
"Buat masa ini, cinta saya pada karier dan muzik. Mengenai gosip saya bercinta dengan Noh pula, ia memang tidak betul malah dia juga digosipkan dengan ramai lagi artis wanita termasuk Nora Danish. Saya juga ada terbaca gosip itu. Terus terang, kami sudah kenal lama dan berkawan rapat sejak dulu. Noh juga ada buat lagu untuk saya berjudul Kurnia," katanya.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Shazrina Azman
TARIKH LAHIR: 1 Julai 1980
UMUR: 30 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Model, pengacara, dj radio, penyanyi dan usahawan
PENDIDIKAN: Ijazah Pengajian Media dan Perhubungan Awam di sebuah universiti di Australia
STATUS: Bujang
ALBUM SOLO : What You Waiting For
ALBUM BERKUMPULAN: (Bersama Teh Tarik Crew) EP Are We Rap Stars now (1999), Album pertama, How's The Level? (2002) dan What's Next (2004)
halamak,caya la mizz nina
ReplyDelete