KUALA LUMPUR - Peminat bola sepak yang ingin menonton Piala Dunia 2010 di tempat tumpuan terbuka bakal diawasi polis melalui rondaan berkala sepanjang kejohanan bola sepak utama dunia itu berlangsung.
Dijangkakan ribuan peminat bola sepak di negara ini akan berkumpul di merata tempat yang menawarkan perkhidmatan televisyen skrin besar untuk setiap perlawanan bola sepak yang bermula malam tadi sehingga 11 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, rondaan secara berkala itu dilakukan bukan untuk tujuan menakutkan orang ramai sebaliknya mengawal keselamatan mereka ketika berhimpun atau berkumpul di sesuatu tempat terbuka.
"Antara langkah yang akan diambil ialah membuat pemantauan dan membuat rondaan secara berkala di tempat tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pusat membeli-belah, kelab malam dan lain-lain lagi.
"Tindakan ini juga dilakukan bagi membendung kes-kes yang berkemungkinan berlaku seperti ragut dan samun," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan kekecohan semasa menonton perlawanan bola sepak berkenaan di tempat awam.
"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa juga termasuk warga asing jika mereka melakukan kekecohan sehingga menimbulkan perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: