Monday, June 28, 2010

Luka bersalin punca murung


KESIHATAN ibu hamil perlu dipantau sepanjang masa ketika mengandungkan bayi hinggalah selepas bersalin.


KATA orang tua-tua, wanita perlu berpantang kerana proses mengandung dan bersalin menuntut tenaga dan perubahan yang bukan sedikit kepada organ tubuh.

Menurut Pakar Runding Obstetrik Ginekologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Fauziah Mohd Hassan, perubahan itu melibatkan organ-organ seperti organ reproduktif (vulva, faraj, servik, ovari dan rahim), tulang dan sendi-sendi terutama pada tulang belakang serta pelvis.

"Perubahan yang agak ketara juga berlaku pada kulit, muka dan perut ibu. Payu dara juga akan membengkak. Kulit di bahagian puting (areola) berwarna gelap.

"Berlaku juga perubahan pada sistem kardiovaskular (jantung), darah dan komponennya, pernafasan, perkumuhan buah pinggang, usus, penghadaman dan metabolisme," katanya kepada Kosmo!.

"Lazimnya, perubahan berlaku dengan cepat sejurus kelahiran. Sebagai contoh, saiz rahim yang begitu besar ketika hamil sembilan bulan akan terus mengecut ke paras bawah pusat dengan anggaran berat kira-kira 900 gram (saiz lima bulan hamil). Proses pengecutan ini menyebabkan kesakitan," katanya.

Luka episiotomi

Jelas Fauziah, servik akan tercedera semasa proses kelahiran bayi. Oleh itu, lubang servik bagi ibu-ibu yang telah melahirkan anak secara normal berbentuk melintang, manakala yang belum pernah melahirkan anak secara normal berbentuk titik. Lubang servik ini akan mengecut dalam masa seminggu selepas bersalin jika tiada jangkitan.

Selain itu, wanita yang bakal melahirkan anak juga akan berdepan dengan luka episiotomi.

Luka episiotomi terhasil melalui potongan yang dilakukan di kawasan perineum sewaktu proses bersalin bagi tujuan menyediakan bukaan yang lebih luas untuk bayi.

"Luka episiotomi ini lazimnya sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari, bergantung pada cara penjagaan dan kebersihan diri," jelasnya yang menggalakkan penggunaan antiseptik dan tidak bersetuju dengan penggunaan ubat herba yang tidak disteril.

Fauziah memberitahu, tidak dinafikan bahawa seramai 50 peratus wanita boleh mengalami kemurungan dalam minggu pertama selepas bersalin. Jika itu berlanjutan melebihi lima hari, doktor perlu dirujuk segera.

"Antara penyebab kemurungan adalah rasa tidak selesa seperti sakit pengecutan rahim dan jahitan luka pada faraj, keletihan serta kelesuan akibat kekurangan tidur.

"Ia juga terjadi kerana kegusaran tentang kebolehan menyusu dan menjaga bayi ataupun risau tentang bentuk badan yang kurang menarik," katanya.

Oleh itu, katanya, ibu yang baru sahaja melahirkan bayi memerlukan sokongan dalam beberapa aspek seperti sokongan fizikal, emosi dan melalui teknik mengurut. Suami, keluarga dan juga bayi yang dilahirkan itu boleh menjadi motivasi yang diperlukannya.

Menurut Fauziah, selepas bersalin lazimnya wanita Melayu di Malaysia akan berurut selama beberapa hari. Ada ibu berurut selama tiga hingga tujuh hari. Kebiasaannya, urutan dilakukan oleh bidan, tukang urut tradisional ataupun ahli fisioterapi.

"Semua ibu yang telah bersalin sama ada secara normal ataupun secara pembedahan boleh berurut seluruh badannya kecuali di bahagian perut.

"Boleh dikatakan kebanyakan tukang urut akan mengurut seluruh badan ibu termasuk bahagian perut.

"Namun begitu, urutan di bahagian perut tidak digalakkan kerana rahim sesedang melalui proses pengecutan. Oleh itu, mengurut untuk mengangkat rahim tidak digalakkan kerana ia tidak mempunyai sebab saintifik.

"Rahim yang 'jatuh' berlaku atas sebab-sebab lain seperti banyak kelahiran, kelahiran anak yang besar, menopaus dan mempunyai masalah sembelit ataupun batuk yang kronik," terang Fauziah.

Di samping penjagaan kebersihan, proses penyembuhan memerlukan makanan dan minuman dengan khasiat seperti vitamin, protein dan zat galian. Kajian menunjukkan vitamin C sangat diperlukan dalam proses penyembuhan selain protein.


FAUZIAH


Rekahan kulit perut

Lazimnya, kulit perut ibu bersalin akan menjadi lembut dan menggeleber kerana otot pada perut terpisah untuk beberapa minggu selepas bersalin.

"Rekahan pada kulit perut akibat bersalin pula akan bertukar warna menjadi pucat. Proses ini akan mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan untuk kembali normal.

"Keadaan terlebih regangan ini berlaku pada kulit perut disebabkan kehamilan kembar dua atau tiga. Untuk mengembalikan kekuatan otot perut, perlulah melakukan senaman otot perut.

"Kekuatan ini tidak berlaku dengan hanya memakai bengkung dan membalut perut," katanya.

Secara purata, seseorang ibu akan bertambah berat badan sebanyak 12.5 kilogram sepanjang kehamilan.

Kajian menunjukkan kira-kira 6.5 kilogram akan hilang dalam bentuk berat bayi, berat uri dan air ketuban. Adakalanya berat ibu akan meningkat beberapa hari selepas bersalin kerana lebihan air.

"Berat badan ibu boleh stabil dalam masa 10 minggu selepas bersalin. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi, berat badan mereka akan menurun lebih cepat berbanding ibu yang memberi susu formula kepada bayinya," katanya.

Fauziah memberitahu, wanita selepas bersalin juga akan menghadapi beberapa risiko penyakit kerana banyak mengalami luka dalaman.

Tambahan pula, berlaku kekurangan ketahanan badan semasa hamil dan selepas bersalin. Ketulan darah dan pendarahan menjadi makanan kuman seterusnya meninggikan risiko jangkitan.

"Jangkitan akan melambatkan proses penyembuhan dan luka-luka itu boleh bernanah. Jika parut pada rahim semasa pembedahan (caesarian) dijangkiti kuman, parut yang sudah sembuh tidak dapat sembuh dengan baik.

"Itu mendatangkan risiko kepada kehamilan akan datang. Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan saluran tiub fallopio tersumbat lalu menjejaskan peluang untuk hamil lagi.

"Adakalanya jangkitan pada rahim merebak ke dalam saluran darah. Ia boleh menjadi serius dan membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat dan tepat.

"Oleh itu, jika seseorang ibu demam semasa dalam pantang, jangan ambil mudah. Segeralah berjumpa doktor," kata Fauziah serius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: