Remaja adalah aset penting bagi negara maka mereka perlu dibentuk agar selari dengan kehendak negara dan semestinya yang berlandaskan akhlak yang mulia bagi mengisi saf kepemimpinan masa depan kelak.
Dewasa ini isu kemerosotan akhlak begitu hangat diperbicarakan namun usaha yang proaktif perlu diambil agar masalah akhlak tidak berterusan terbiar sehingga sukar dibendung kelak.
Apa yang amat merisaukan ia akan menjadi budaya yang tanpa segan silu dan rasa berdosa dilakukan depan mata kita sendiri.
Penulisan ini akan membincangkan bagaimana peranan agama dalam menangani isu akhlak remaja.
Pendekatan Islam tidak boleh kita lari dari berteraskan asas al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan sumber pembangunan manusia selari dengan fitrah kejadian insan.
Pembentukan tingkah laku bermasalah sering dikaitkan dengan pengaruh keluarga, rakan sebaya, persekitaran dan personaliti remaja itu sendiri.
Berdasarkan ajaran Islam, tingkah laku yang ditonjolkan oleh individu sama ada baik atau buruk adalah berpunca dari aspek rohani seseorang itu. Lebih khusus lagi ia merujuk kepada aspek pembentukan dan pendidikan hati.
Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dengan sanadnya sehingga sampai kepada Abdullah al-Nu'man Ibu Basyir r.a.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ...ingatlah sesungguhnya dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut maka eloklah seluruh jasad, sebaliknya apabila rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh jasad. Ingatlah bahawa daging itu adalah hati.
Menurut Ibn Hajar, ketika menjelaskan huraian hadis di atas menyatakan bahawa hati itu di anggap sebagai seorang raja manakala jasad pula dianggap sebagai rakyat jelata, apabila raja yang memerintah itu adalah seorang yang baik, maka rakyat jelata turut merasai kebaikannya, namun apabila raja tersebut membuat kerosakan maka rakyat turut mengalami kerosakan.
Dalam konteks pembentukan tingkah laku remaja yang berkrisis, jelas menunjukkan setiap tingkah laku itu berpunca daripada cetusan hati yang mempunyai kaitan langsung dengan niat.
hati penentu tindakan
Jika seseorang itu sakit fizikalnya biasanya dimakan ubat yang diberi oleh doktor, tetapi apabila hati, jiwa yang mengalami kesakitan maka kepada siapa yang perlu dirujuk?
Lantaran itu menurut Islam, hati seseorang amat perlu dididik dan disuburkan dengan ajaran wahyu. Dalam erti kata lain ia perlu dibina dan disuburkan atas landasan iman yang merupakan tuntutan akidah Islam.
Ibn Qayyim dalam perbincangan beliau tentang hati, membahagikan kepada tiga jenis iaitu hati yang tenang dan tenteram, hati yang sakit dan hati yang mati.
Hati yang tenang jelasnya merujuk kepada hati yang disuburkan dengan akidah atau iman, hati yang sakit pula adalah hati yang tekah dicemari dengan perkara-perkara dosa, sementara hati yang mati itu pula adalah hati golongan yang tidak beriman kepada Allah.
Melalui perbincangan beliau, dinyatakan bahawa hati itulah yang berperanan mencetus tingkah laku dan perasaan yang baik. Sebaliknya hati yang dicemari dengan dosa akan menimbulkan krisis dalaman dan terhasilnya tingkah laku yang tidak seimbang, manakala hati yang mati pula bukan sahaja melahirkan tingkah laku yang buruk bahkan tingkah laku tersebut mendominasi kehidupannya (Ighathan al-Luhfan).
wah, keren tulisan ini.
ReplyDelete:D
salam blogger