|
|
ALUNAN merdu bacaan qasidah memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW menjadi halwa telinga jemaah di sebuah masjid yang terletak di sebuah kawasan elit di pinggir ibu kota pada malam 12 Rabiulawal yang lalu.
Bait-bait syair yang dilagukan daripada kitab bertajuk Mu khtasar fi Sirah al-Nabawiyyah (Ringkasan Sirah Nabawiyah) karangan al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba' al-Syai bani, seorang ulama besar Sudan yang dilahirkan pada tahun 866 Hijrah begitu menusuk jiwa.
Apatah lagi jika dibaca terjemahan di dalam bahasa Melayu pada setiap helaian, maka tidak hairanlah jika ramai yang mengalirkan air mata tanda kerinduan terhadap penghulu sekelian makhluk iaitu Saidina Muhammad ibn Abdullah.
Lantaran itu, ia boleh dianggap sebagai 'suntikan' keinsafan yang akan diperoleh bagi umat Islam yang sering hadir dalam majlis-majlis maulid dengan tujuan membesarkan baginda.
Malah, penganjuran majlis sedemikian yang bermatlamat untuk memberi peringatan dan mengambil pengajaran sirah Rasulullah SAW merupakan majlis ilmu yang menjadi salah satu metod dakwah bagi melahirkan kecintaan umat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Bagi umat Islam di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul senantiasa diadakan di seluruh pelosok negara. Sama ada sambutan di peringkat kebangsaan, negeri atau daerah sehinggalah jawatankuasa masjid atau surau di sesebuah kariah, semuanya memainkan peranan dalam membesarkan majlis tersebut.
Tidak ketinggalan dalam meraikan majlis penuh berkat itu adalah jawatankuasa Masjid Darul Ehsan di Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang, Selangor.
Berbeza dengan sambutan tahun-tahun sebelumnya, Maulidur Rasul 1430H mencatat sejarah yang tersendiri apabila ia dianjurkan dalam majlis berskala besar yang diisi dengan pelbagai program ilmu.
Ini termasuklah kehadiran beberapa ulama terkenal dari negara-negara Asia Barat untuk menyampaikan ceramah berkaitan keutamaan mencintai Rasulullah SAW dan mengenang kembali perjalanan hidup Baginda dalam menyebarkan syiar Islam yang menjadi pegangan kita hari ini.
Menurut Imam I Masjid Darul Ehsan, Mohamad Khairi Hussein, sejak mula memegang jawatan tersebut pada tahun 1990, program sambutan maulid yang diadakan tahun ini begitu ketara perbezaannya dalam aspek kehadiran jemaah dan penceramah yang diundang.
Jika dulu, ujarnya pihak masjid hanya mengadakan majlis sambutan maulid sehari iaitu pada 12 Rabiulawal dan hanya dihadiri penduduk serta ahli kariah, tetapi kini situasi itu jelas berbeza.
Alhamdulillah, katanya, program yang diberi nama Penghayatan Bulan Kelahiran Rasulullah SAW ini berjaya dianjurkan pihak masjid.
"Ia bermula pada 1 Rabiulawal (14 Februari 2010) menerusi bacaan selawat dan kitab maulid al-Daiba'ei serta periwayatan hadis musalsal dan pembukaan bacaan kitab 40 Hadis Keistimewaan Rasulullah SAW oleh Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki merangkap Nazir masjid.
"Kitab tersebut telah dibaca dan disyarahkan di hadapan jemaah dan dikhatamkan pada 11 Rabiulawal (25 Februari 2010) di masjid ini sebelum majlis kemuncak sambutan Maulidur Rasul diadakan pada keesokan harinya," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Tambah Mohamad Khairi, sewaktu majlis kemuncak, atur cara program bermula seawal pukul 3 petang selepas solat Jumaat dengan periwayatan kitab al-Fanid fi Halawah al-Asanid karangan ulama hadis terkemuka, al-Hafiz Jalal al-Din al-Sayuti r.a.
Ini diikuti bacaan maulid Nabi SAW dan qasidah Burdah al-Busairi oleh kumpulan qasidah Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang diketuai oleh Abdul Latif Ali dan Muhammad Farid Samad al-Hafiz. Kumpulan qasidah ini didatangkan khas dari Rembau, Negeri Sembilan.
Pada sebelah malamnya pula, selepas solat maghrib secara berjemaah, hadirin yang memenuhi pekarangan masjid ber peluang mendengar syarahan utama oleh Musnid Syam, Sheikh Dr. Muhammad Mu'taz al-Subaini al-Husaini.
Beliau merupakan antara ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) terkenal di Syria merangkap pensyarah Universiti Al-Azhar cawangan negara tersebut.
Dalam syarahannya, Syeikh Mu'taz menyatakan rasa gembira apabila melihat majlis penuh rahmat itu dihadiri oleh ramai jemaah semata-mata untuk membesarkan makhluk yang paling mulia di sisi Allah.
Tidak ketinggalan, beliau mengijazahkan sanad Musalsal bil Awwaliyyah yang diriwayatnya daripada gurunya, Musnid Dunia Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani.
Selain Dr. Mu'taz, antara ulama yang hadir sepanjang Program Penghayatan Bulan Kelahiran Rasulullah SAW itu termasuklah ulama Jeddah iaitu Habib Ali ibn Habib Ahmad Masyhur Toha al-Haddad bersama anaknya, Habib Adnan dan Habib Achmad Umar Husin dari Yaman.
Bapa Habib Ali iaitu Habib Ahmad Masyhur Toha al-Haddad adalah pendakwah ASWJ terkenal yang telah berjaya mengislamkan ratusan ribu rakyat di benua Afrika khususnya di negara Tanzania dan sekitarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: