|
|
MEMASUKI pertengahan tahun 2010, pelbagai isu kemanusiaan diperkatakan oleh masyarakat dunia. Tidak terkecuali isu Gaza yang kini semakin hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi rentetan tindakan zalim tentera Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan Isnin lalu.
Mengimbau pada awal tahun baru 2009, dunia dikejutkan dengan krisis kemanusiaan di Palestin, apabila pertempuran dan serangan udara dilancarkan ke bumi Gaza.
Serangan yang berlanjutan selama 22 hari mengorbankan ribuan nyawa, kemusnahan kediaman, infrastruktur dan bermacam-macam lagi.
Sebagai tindakbalas terhadap krisis kemanusiaan tersebut, Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama dengan Kumpulan Utusan mengambil inisiatif mengumpulkan dana melalui penubuhan tabung Dakap atau Dana Kemanusiaan Palestin.
Ternyata, sambutan masyarakat Malaysia terhadap Dakap sangat menggalakkan. Jumlah kutipan tabung Dakap amat membanggakan. Namun apa yang lebih bermakna adalah simbol keprihatinan rakyat Malaysia melalui sokongan terhadap tabung tersebut.
IRM juga menerima peruntukan kewangan daripada Kementerian Luar Negara Malaysia, sebagai penglibatan kerajaan Malaysia bagi pembiayaan projek sokongan Unit Kecemasan dan Kawalan Rapi (ICU) bagi hospital-hospital di Gaza.
Peruntukan kewangan ini amat bermakna kepada IRM kerana ia adalah pengiktirafan kerajaan terhadap program-program kemanusiaan Islamic Relief (IR) di seluruh dunia.
IR telah beroperasi di Palestin selama lebih 12 tahun melalui pejabat utamanya di Gaza dan Tebing Barat. Melalui pengalaman di Palestin dan pelbagai misi kemanusiaan selama 25 tahun di seluruh dunia, IR amat memahami kesulitan dan keadaan semasa rakyat yang menjadi mangsa konflik politik yang berpanjangan.
Melihat daripada segi keperluan, kapasiti, kesesuaian program dan juga faktor-faktor yang lain, hasil kutipan tabung Dakap digunakan bagi pembiayaan tiga projek utama iaitu 'Program Pembiayaan Anggota Palsu', 'Program kediaman bagi golongan yang kehilangan tempat tinggal' dan juga 'Program Menangani Krisis Psiko-Sosial' bagi kanak kanak di Genting Gaza.
Program-program ini tertakluk di bawah Pelan Pemulihan Akibat Peperangan-2009 yang dikeluarkan oleh Islamic Relief Worldwide (IRW) atau IRW Post War Recovery Plan-2009.
Ia adalah pelan pemulihan secara menyeluruh yang memerlukan penglibatan cawangan IR seluruh dunia termasuk Malaysia.
Peruntukan pembiayaan bagi projek sokongan ICU bagi hospital-hospital di Gaza telah diputuskan berdasarkan hasil kajian dan maklum balas daripada berbagai pihak dan beberapa hospital utama di Gaza.
Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan Palestin, secara keseluruhannya, terdapat 29 ICU dan sembilan Unit Kecemasan di 10 hospital utama di Gaza.
Semua 10 hospital utama ini memberi perkhidmatan kesihatan utama bagi keseluruhan 1.5 juta penduduk di Gaza.
Namun begitu, akibat sekatan yang dikenakan selama lebih tiga tahun, hospital-hospital di Gaza kekurangan bekalan dan peralatan yang mencukupi bagi menampung keperluan perubatan dan penjagaan kesihatan keseluruhan masyarakatnya.
Meskipun bekalan perubatan dan peningkatan peralatan perubatan diperlukan secara keseluruhan di setiap hospital, keutamaan diberi kepada Unit Kecemasan dan Kawalan Rapi.
Ini kerana, pesakit-pesakit di unit ini berada pada tahap kritikal dan memerlukan rawatan segera. Sebarang kelewatan boleh membawa maut atau mengakibatkan kecacatan kekal.
Seringkali juga, kemudahan hospital yang tidak mencukupi memaksa pesakit keluar untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan kos yang tinggi di negara jiran iaitu di Mesir atau Jordan.
Pembinaan dan keperluan unit ini adalah sangat penting dan berada di tahap kritikal. Ketika tentera Israel mengenakan pelbagai sekatan terhadap Gaza, keadaan semakin genting apabila pesakit-pesakit yang parah tidak dapat menerima rawatan segera akibat ketiadaan ICU di beberapa hospital di sekitar Gaza.
Usaha memindahkan pesakit ke hospital yang memiliki kemudahan tersebut juga adalah sukar dan ada ketikanya memerlukan campur tangan dari Pasukan Palang Merah bagi melepasi sekatan yang dikenakan.
Pada ketika ini, hospital utama yang memiliki Unit Kecemasan yang lengkap adalah Hospital Al-Shifa. Namun hospital ini juga mengalami masalah kesesakan disebabkan pesakit yang terlalu ramai.
Selain itu, ada peralatan perubatan yang tidak berfungsi dengan baik berikutan tiada penyelenggaraan dan ketiadaan alat ganti.
Ini diakui oleh Ketua Jabatan Kecemasan di Hospital Al-Shifa, Dr. Haytham Dababish yang mengimbas kembali keadaan yang menyedihkan ketika krisis yang lepas.
Sepanjang 22 hari krisis melanda, Unit Kecemasan menerima ratusan kes dalam masa sehari. Kekurangan bekalan perubatan, peralatan dan katil telah membuatkan para doktor tiada pilihan lain sehingga terpaksa merawat pesakit yang parah di atas lantai.
Sementara itu, Ketua ICU, Hospital Al Shifa, Dr. Fawzi Nabulsyya berkata, unitnya juga menghadapi masalah beberapa peralatan perubatan termasuk mesin ventilator yang sudah tidak boleh digunakan akibat ketiadaan alat ganti.
Kekurangan katil di unit-unit kecemasan dan kawalan rapi juga adalah kritikal. Berdasarkan piawai antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama dengan Kementerian Kesihatan Palestin, sebuah katil di unit Kawalan Rapi diperlukan bagi setiap 10,000 penduduk.
Jika berpandukan kepada nisbah ini, unit Kawalan Rapi memerlukan 150 katil bagi menampung seluruh 1.5 juta penduduk Gaza. Namun begitu, berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin, hanya sejumlah 71 katil yang ada Unit-unit Kawalan Rapi di semua 10 hospital di Gaza.
Unit-unit ICU di Gaza juga mengalami masalah kekurangan tenaga kerja dan jururawat bagi mengawasi pesakit yang kritikal. Keadaan juga bertambah parah akibat dari kekurangan katil di unit-unit tersebut dan wad-wad lain di hospital.
Seringkali, pesakit diminta keluar dari wad sebelum waktunya akibat dari kekurangan katil untuk menempatkan mereka dan bagi memberi keutamaan kepada pesakit yang lebih serius.
Bagi menangani situasi ini, pelaksanaan projek sokongan ICU bagi hospital-hospital di Gaza ini sudah pun bermula dan sedang berjalan lancar secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan. Pelaksanaan keseluruhan program dijangka memakan masa selama 18 bulan.
Walaubagaimanapun pihak IR di Palestin, tidak menolak kemungkinan bahawa masa yang lebih lama diperlukan berikutan sekatan dan keadaan dalaman yang tidak menentu di Gaza.
Pelaksanaan program-program pemulihan ini dilakukan melalui pelbagai kerjasama bersama pihak kerajaan tempatan dan juga badan-badan bukan kerajaan di Palestin.
Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan sistem pengurusan program yang efisien bagi memastikan perjalanan program yang efektif.
Peruntukan Kerajaan Malaysia telah disalurkan bagi menampung kos-kos membaikpulih dan meningkatkan taraf unit-unit kecemasan dan kawalan rapi bagi enam buah hospital utama di seluruh Genting Gaza iaitu Hospital Al-Shifa, Hospital Naser, Hospital Gaza European, Hospital Abu Yousef Al-Najjar, Hospital Al-Aqsa dan Hospital Kamal Odwan.
Kerja-kerja membaikpulih dan meningkatkan taraf ini termasuk kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian, mesin dan peralatan di unit ICU, penambahan dan juga penyelenggaraan peralatan perubatan yang sedia ada, pelantikan 24 jururawat terlatih bagi membantu merawat pesakit, menampung kekurangan tenaga kerja terlatih dan melatih tenaga kerja yang sedia ada menggunakan mesin dan peralatan perubatan yang disediakan.
Melihat situasi yang menyayat hati ini, penglibatan kerajaan Malaysia di dalam pembiayaan ini adalah sangat tepat. Pelaksanaan program ini juga bakal meningkatkan taraf kemudahan perubatan majoriti penduduk Gaza.
Ini kerana, hospital-hospital yang tertakluk di bawah program ini adalah sumber kemudahan perubatan awam utama kepada lebih 80 peratus penduduk Gaza.
Meskipun berbagai bantuan disalurkan dan berbagai program dijalankan secara berterusan, namun masih terlalu banyak kemusnahan perlu dipulihkan.
Untuk itu, IRM menyeru orang ramai agar terus prihatin dan memberi bantuan kepada mangsa mangsa kekejaman di Palestin.
Bagi pihak penerima sumbangan rakyat Malaysia di Palestin, IRM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan rakyat Malaysia terhadap tabung DAKAP dan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Ternyata, kerjasama kemanusiaan dengan Kumpulan Utusan ini begitu besar maknanya di dalam memaparkan perkembangan terkini dan memperlihatkan bagaimana sumbangan dan usaha mereka yang prihatin membawa perubahan kepada golongan yang memerlukan.
Maklumat lanjut mengenai usaha-usaha kemanusiaan Islamic Relief di Palestin, sila layari laman web IRM di www.irm.org.my atau hubungi talian, 03-8948 6334.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: