Saturday, June 12, 2010

Pengorbanan Katherine Heigl




BERTERIMA kasih kerana sentiasa diberi peluang dalam kariernya, Katherine Heigl kini bagaimanapun merasakan dirinya lebih bertuah selepas bergelar ibu kepada anak angkatnya dari Korea, Naleigh (gabungan nama ibunya, Nancy dan Leigh, nama kakak angkatnya yang juga dari Korea).

Terkenal dengan watak sebagai Dr. Izzie Stevens dalam siri Grey's Anatomy, Katherine tampil matang terutama selepas penglibatan dalam filem seperti Knocked Up, 27 Dresses dan The Ugly Truth.

Terbaru, dia bergabung dengan Ashton Kutcher dalam filem Killers yang sudah ditayangkan di pawagam tempatan pada 4 Jun lalu. Namun, Katherine yang merupakan isteri kepada Josh Kelley lebih suka menumpukan fokus kepada kehidupan Naleigh yang menjadi anak angkatnya bersama Josh sejak September lalu.

Naleigh sejak lahir mempunyai masalah jantung kongenital tetapi telah diubati menerusi satu pembedahan sebelum dia meninggalkan Korea.

"Jantungnya sudah pulih 100 peratus. Dia mempunyai parut tetapi semua itu bukan satu masalah bagi kami. Ramai kanak-kanak tidak mendapat keluarga angkat kerana masalah kesihatan yang kecil kerana ibu mereka merokok tanpa mengetahui bahawa mereka sudah mengandung," jelas Katherine.


WAKTU lapang Katherine kini banyak dihabiskan bersama keluarga.


Semasa Naleigh tiba, Katherine, 31, berada di Atlanta untuk penggambaran Life As We Know It yang bakal ditayangkan penghujung tahun ini. Menariknya, karya itu secara kebetulan bercerita mengenai seorang wanita yang menerima hak penjagaan seorang bayi tanpa dijangka.

"Ia satu pengalaman yang menakjubkan kerana watak saya perlu belajar untuk menjaga seorang bayi berusia setahun dan Naleigh ketika itu berusia sembilan bulan. Semasa bekerjasama dengan tiga kanak-kanak yang memegang watak sebagai anak saya, saya berasa bersalah kerana menghabiskan lebih banyak masa bersama mereka berbanding anak sendiri. Perasaan itu menghancurkan hati saya," ujar Katherine.

Pengalaman dalam filem Life As We Know It telah membuatkan Katherine mengambil keputusan untuk berehat selama tiga bulan di rumah percutian miliknya di Utah. Itu adalah masa yang terpanjang dia pernah habiskan bersama Josh sejak mereka berdua bercinta lima tahun dulu (pasangan itu berkahwin pada tahun 2007).

"Dalam jangka masa itu, bukan semuanya diisi dengan kegembiraan. Namun, itu adalah lumrah perkahwinan. Dua orang yang menjalani kehidupan berbeza cuba untuk menyempurnakan hidup masing-masing. Itu adalah satu proses pembelajaran yang penting," kata aktres kelahiran Washington itu.

Namun, apa yang lebih pasti, tiga bulan bersama Naleigh itu telah meyakinkan Katherine untuk meneruskan hidup tanpa watak Izzie Stevens yang telah dipegang selama enam musim dalam siri Grey's Anatomy itu.


KATHERINE mengaku mempunyai ideologi mementingkan kejujuran dalam kehidupan.


Watak itu membolehkan dia memenangi anugerah Emmy pada tahun 2007. Mengundur diri daripada produksi itu, ramai yang berpendapat Katherine mula jual mahal.

"Saya suka berterus-terang tanpa berfikir mengenai kerumitan yang bakal timbul. Mungkin sebab itu ramai yang tidak suka saya. Ini satu perasaan yang janggal. Saya dibesarkan dengan ideologi kepentingan untuk bersikap jujur dan berkongsi pengalaman. Saya juga wanita biasa seperti manusia lain."

Sungguhpun mahu menjalani kehidupan biasa, Katherine mendapati dirinya sukar untuk bersaing dengan anak selebriti lain seperti Suri Cruise dan Zahara Jolie-Pitt.

"Saya sedang mencuba tetapi saya tidak mahir dengan fesyen kanak-kanak. Saya selalu membeli-belah di butik Gap dan Juicy tetapi tidak padankan dengan kasut Prada. Ia memberikan saya tekanan.

"Tapi saya tidak mahu anak saya membesar sebagai kanak-kanak manja. Saya mahu dia mempunyai kebolehan untuk mencari minat yang mampu mewarnai hidupnya. Jika dia mahukan rumah atau kereta atau sebarang hadiah mewah, dia perlu bekerja untuk mendapatkannya," tambah Katherine.

Berpindah ke Nashville


KATA Katherine, dia tidak suka memanjakan anaknya dengan barangan mewah.


Kini tanpa produksi Grey's Anatomy, Katherine tidak lagi perlu menetap di Hollywood. Dia dan Josh sedang membuat perancangan untuk berpindah ke Nashville supaya suaminya itu boleh mengembangkan kariernya sebagai pemuzik country. Mungkin, Naleigh akan menjadi bintang muzik country?

"Itu satu idea yang teruk. Saya tahu dia akan dibesarkan dengan muzik tetapi kini masih terlalu awal untuk membuat sebarang perancangan," ujarnya yang merupakan model kanak-kanak sebelum memilih lakonan sebagai kariernya.

Meninggalkan siri popular yang masih menjadi ikutan ramai, Katherine sekarang yang mahu memberi tumpuan kepada keluarga bagaimanapun belum terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan.

"Sebelum ini, saya ada terlibat dalam beberapa filem romantik komedi tetapi saya suka yang ini (Killers) kerana ia ditambah dengan elemen aksi. Jadi ia berbeza dari segi formula pembikinan.

"Saya sukakan watak yang boleh dikembang dan pengalaman bekerjasama dengan Ashton amat menyeronokkan. Semasa saya menyaksikan filem ini, saya sendiri rasa terhibur. Itu bukan perkara yang senang untuk berhibur dengan lakonan sendiri," tambahnya.

Ashton dalam karya itu memegang watak sebagai Spencer Aimes, seorang yang bijak seperti hero dalam filem Mission Impossible dan James Bond. Dia bertemu dengan Jen Kornfeldt (Katherine) semasa bercuti di Eropah. Mereka jatuh cinta dan Spencer membuat keputusan untuk melepaskan kariernya sebagai pengintip, pembunuh dan menjalani kehidupan biasa dengan wanita yang dicintainya.


KATHERINE dan Ashton dalam salah satu babak menarik dalam Killers yang bercorak aksi komedi.


"Tiga tahun kemudian, ramai orang cuba untuk membunuh dia. Jadi kami perlu mencari jalan untuk menyelamatkan diri serta mencari sebab mengapa semua orang mahu membunuhnya.

"Ketika itulah baru Jen mengetahui identiti sebenar Spencer. Jen pula seorang yang naif tetapi mahir dalam sains komputer serta teknologi. Namun, kehidupan peribadinya amat tragik apabila dia terlibat dalam banyak perhubungan yang gagal," jelas Katherine.

Setiap manusia dalam filem itu mempunyai rahsia tersendiri. Adakah ia satu idea bagus untuk mempunyai rahsia dalam setiap perhubungan? Namun bagi Katherine, dia seorang yang sukar untuk menyimpan rahsia.

"Buktinya adalah pada semua temu bual yang pernah saya lakukan. Jadi saya bukan seorang yang pandai berahsia. Rasanya suami saya juga tidak mempunyai rahsia.

"Tetapi saya berpendapat ia bukan sesuatu yang salah kerana semua orang mempunyai pemikiran, perasaan dan saat tersendiri.

"Jika suami saya mempunyai isteri kedua di Sepanyol, itu mungkin satu rahsia. Tetapi jika dia menggunakan ubat untuk membantu penumbuhan rambut, dia tidak perlu memberitahu saya. Itu bukan rahsia."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: