Saturday, June 12, 2010

Malam Laman Santai


NORANIZA IDRIS akan menghiburkan peminat pada malam ini sempena ulang tahun ke-40 majalah URTV di Laman Santai, Istana Budaya.


SEMPENA menyambut ulang tahun ke-40 majalah hiburan paling popular tanah air, URTV, satu konsert mini yang diberi nama Malam Laman Santai akan diadakan bagi meraikannya.

Konsert mini yang diadakan secara percuma itu bakal berlangsung pada hari ini bermula pukul 8.30 malam. Antara artis yang akan menjayakan mini konsert itu ialah Aishah, Zamani, Noraniza Idris, Sabhi Saddi, Shazroul dan Atilia.

Pengacara sensasi, Roslan Shah akan bertindak sebagai hos yang mengendalikan beberapa kuiz bagi para peminat yang hadir. Para peminat juga berpeluang mendapatkan beberapa hadiah menarik.

Bertindak sebagai penganjur bersama acara, pihak Istana Budaya pula akan menampilkan persembahan hiburan berupa tarian bagi memeriahkan mini konsert Malam Laman Santai.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari Shaarani, kerjasama antara Istana Budaya dengan URTV bukanlah satu perkara asing.

Kerjasama antara pihak media dengan Istana Budaya bagaikan isi dan kuku. Malah sebelum ini pihak Istana Budaya juga sering bekerjasama dengan Utusan Malaysia dan Utusan Karya dalam menjayakan beberapa majlis di sini.

"Kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan majalah hiburan paling popular negara. Konsep Malam Laman Santai ini perlu dipenuhi kerana Istana Budaya berharap persembahan hiburan secara percuma ini dapat dijadikan tempat para peminat seni di luar sana menikmati hiburan.

"Selain menikmati persembahan hiburan, Istana Budaya juga menyediakan beberapa gerai makanan dan penonton boleh menikmati persembahan secara santai dan menikmati makanan pada harga yang berpatutan. Mana ada di Kuala Lumpur sekarang ini kita boleh nikmati persembahan hiburan sambil menikmati makanan di gerai yang disediakan tempat makannya sekali.

"Kami juga akan tampilkan segmen suai kenal dengan pelakon teater terbaru kami, Uda dan Dara. Pada pengakhiran Malam Laman Santai, Istana Budaya akan mempersembahkan tarian joget lambak bersama penonton. Saya berharap para peminat dan pembaca setia URTV dapat hadir dan pastinya kami akan mengada- kan hiburan seperti ini dengan majalah hiburan yang lain di bawah Utusan Karya," ujarnya.

Selain itu, radio Hot FM juga akan menampilkan pengacara radio popular, Fara Fauzana untuk segmen bersama peminat. Farah akan tampil berinteraksi bersama peminat dan mengagihkan beberapa hadiah menarik kepada mereka yang bertuah.


ATILIA turut memeriahkan majlis majalah URTV.


Ini merupakan mini konsert pertama yang dianjurkan oleh majalah URTV sempena ulang tahun ke-40 tahun ini. Selain mini konsert ini, URTV juga akan mengadakan beberapa majlis seperti majlis makan malam bersama 40 peminat bertuah bersama 40 artis hujung tahun ini.

Sebelum ini URTV telah menyambut ulang tahun dengan majlis memotong 40 kek bersama para artis di pejabat Utusan Karya Sdn. Bhd. pada Februari lalu.

Menurut Pengarang URTV, Huzzaini Kamaluddin, sambutan ulang tahun URTV kali ini adalah untuk menghibur dan menghargai para pembaca dan peminat URTV yang setia selama 40 tahun.

"Konsert mini percuma ini merupakan satu langkah bagi merapatkan hubungan pembaca dengan sidang redaksi URTV dan ia tidak berakhir di situ sahaja, kerana URTV bakal mengadakan majlis yang lebih berprestij hujung tahun ini.

"Kami juga akan tampilkan segmen suaikenal dengan pelakon filem baru yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, Lukisan Hati."

"Malam Laman Santai dengan kerjasama Istana Budaya ini setidak-tidaknya dapat menjadi satu platform bagi para pembaca setia URTV mendapat hiburan dan interaksi secara langsung dengan URTV dan para artis dengan lebih santai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: