TERUJA, sebahagian daripada penonton yang hadir.
BUKAN sekadar stesen radio tetapi Hot FM juga berasa terpanggil untuk turut terbabit mencungkil bakat baru tempatan yang bidang muzik. Ini bagi menyuntik semangat kepada anak muda yang berkebolehan supaya tidak berasa malu-malu untuk mengetengahkan kreativiti kerana Hot FM sudah menyediakan ruang untuk mereka. Sehubungan itu, stesen radio memperkenalkan segmen yang dikenali Hot FM Kita Punya sejak Januari lalu. Ketika itu segmen ini dikenali sebagai Hot FM Prelude yang menyiarkan lagu-lagu karya terbaru. Segmen Hot FM Kita Punya dikendalikan oleh Ikhwan setiap Sabtu dari 9 malam hingga 11 malam. Segmen itu memperdengarkan hampir 30 buah lagu baru karya anak muda tempatan.
Pengurus Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim berkata, Hot FM mendapat penyertaan menggalakkan setiap minggu. Ada yang memuat turun ke dalam laman sesawang stesen radio ini, mengirimkan secara pos atau dihantar secara peribadi.
Katanya, ada yang mengambil inisiatif membuat sendiri kulit album bagi single yang diciptanya itu. Bagaimanapun Hot FM akan menapis semula untuk memilih hanya yang terbaik boleh disiarkan.
Disebabkan sambutannya yang menggalakkan itu, Hot FM menganjurkan konsert khas khusus untuk mempopularkan segmen ini. Kali pertama ia diadakan pada sebelah siang sebelum konsert Hot FM Big Jam di Pulau Pinang.
Dan baru-baru ini, Hot FM Kita Punya mengadakan mini konsert di di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena Festival Belia 2010. Persembahan yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan kemunculan beberapa kumpulan baru dan sudah mencipta nama seperti Azlan &The Typewriter, Tilu, Sharpshooter, API dan Joanna & Co menggamatkan lagi konsert itu.
Selain Hot FM, mini konsert ini turut mendapat sokongan daripada dua stesen radio di bawah naungan Media Prima Radio iaitu, One FM dan Fly FM. One FM menganjurkan One FM Fresh Releasa, manakala Fly pula dengan konsert Fly FM Campur Chart.
Anida berkata, selain memperdengarkan lagu-lagu ciptaan baru, Hot FM juga merancang untuk mengadakan bengkel khusus berkaitan penghasilan karya terbaru tidak lama lagi.
Katanya, bengkel ini dirancang sejak tahun lalu, akan dilaksanakan juga selepas pertengahan tahun ini disebabkan laluan harus diberikan kepada anugerah berprestij yang berlangsung sejak awal tahun ini.
Buat permulaan kita akan buka penyertaan kepada pendengar Hot FM yang berminat dalam selok belok penghasilan muzik. Tapi pertama kali diadakan ia agak terbatas.
“Mungkin pada masa mendatang, kita boleh mengadakannya dalam konteks yang lebih besar. Pakar muzik dan seni yang diundang akan berkongsi tips untuk dijadikan panduan oleh peserta bengkel ini. Antara isu yang akan dibentangkan seperti tatacara pembikinan lagu, cara bermain instrumen, hak cipta, royalti dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: