PESERTA program Imam Muda (kemeja biru), mengikuti operasi polis trafik menahan pesalah lalu lintas di sekitar Teluk Danga, malam tadi.
TIGA tugasan sudah dilalui. Kini episod keempat siri pencarian Imam Muda membawakan pula tugasan mendekati golongan remaja bermasalah, terutama mereka yang terbabit dalam melakukan kesalahan jalan raya. Cara mereka mendekati golongan ini dipaparkan dalam program Imam Muda yang disiarkan menerusi Astro Oasis (saluran 106), esok jam 9 malam.Mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kumpulan 10 Imam Muda ini buat pertama kalinya didedahkan bagaimana pihak berkuasa menjalankan operasi menahan pesalah lalu lintas di sekitar Teluk Danga, Johor Bahru - pengalaman pertama buat semua peserta dalam memahami tugas polis. Selepas mengharungi tugas menyempurnakan jenazah, mendekati wanita terlanjur dan memahami masalah kanak-kanak, tugasan kali ini lebih kepada mendekati remaja bermasalah yang terbabit dalam kegiatan ‘mat rempit', mengubahsuai kenderaan selain tidak memiliki lesen motosikal dan cukai jalan.
Sejak jam 9 malam, peserta Imam Muda ini sudah berkumpul untuk mendengar penerangan mengenai operasi harus dilalui mereka, terutama membabitkan langkah-langkah keselamatan.
Dan bermula jam 12 tengah malam sehingga kira-kira 2.30 pagi mereka mengikuti operasi Cawangan Trafik PDRM Johor mengadakan sekatan jalan raya bagi mengetahui dengan lebih lanjut masalah golongan remaja yang menjadi sebahagian besar mereka yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan lalu-lintas.
Peserta Imam Muda, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, berkata dia melihat pelbagai ragam remaja yang melakukan pelbagai kesalahan sama ada ketika memandu kereta, menunggang motosikal mahupun menggunakan basikal yang diubahsuai.
"Kami berpeluang menemui polis dan mengikut operasi ini yang agak mencabar, tetapi kami dikawal sepenuhnya polis dan melihat bagaimana mereka mengambil keterangan daripada pesalah lalu-lintas. Ramai antara mereka adalah remaja dan ada yang baru berusia 15 tahun," katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.
Khairul yang juga antara peserta termuda program terbabit melihat kehadiran mereka boleh mencetus imej baru pandangan umum terhadap golongan Imam di negara ini yang tidak hanya terhad kepada tanggungjawab di masjid dan tempat ibadat semata-mata.
Malah katanya, Imam generasi baru boleh terbabit dalam semua lapangan yang secara langsung boleh menambah prestij kepada umum.
Khairul menjelaskan dia tidak berasa kekok mendekati golongan remaja yang ditahan ketika operasi itu apabila dia mengamalkan pendekatan beramah mesra dengan mereka yang mendapat maklum balas baik.
"Bagi golongan seperti ini, saya akan memperkenalkan diri terlebih dulu dan jangan 'terus pancung' dengan memarahi mereka, saya rasa cara ini cukup berkesan bagi mendekati mereka.
"Apa yang saya dapati, golongan remaja seperti ini kurang perhatian keluarga dan penghayatan Islam. Perkara ini cukup serius dan ia perlu segera diatasi," katanya.
Mohd Taufek Mohd Noh yang baru melangsungkan perkahwinan minggu lalu pula sependapat dengan Khairul bahawa golongan muda harus didekati dengan pendekatan berbeza dan tidak terlalu memaksa.
"Mereka ini jika tidak didekati dengan betul akan memberontak untuk melepaskan marah mereka," katanya.
Mengenai program Imam Muda, Taufek menjelaskan ia berupaya mengubah persepsi orang ramai bahawa peranan Imam bukan hanya setakat menguruskan kematian, tahlil, urusan masjid dan soal ibadat saja, sebaliknya peranan mereka lebih luas di kalangan masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: