|
|
DRAMA televisyen Korea Selatan, Full House lakonan penyanyi dan aktor antarabangsa, Rain bersama bintang cantik Song Hye-Kyo pernah mencetuskan fenomena Hallyu atau Korean Wave di Asia pada tahun 2004.
Sehingga kini, teledrama itu sudah berkali-kali diulang tayang bukan sahaja di negara asalnya bahkan di China, negara ASEAN termasuk Malaysia.
Menariknya, peminat drama ini tidak jemu-jemu menontonnya dan tidak sabar-sabar juga menantikan sekuelnya.
Namun pengharapan tinggi peminat terhadap sekuel drama ini menyebabkan pembikinannya masih tertangguh sehingga kini.
Peminat setia teledrama ini mengharapkan hero dan heroin asalnya kembali dalam Full House 2 namun penerbitnya, Kimjonghak Production mengesahkan kedua-duanya tidak dapat memenuhi permintaan itu.
Rain dan Hye-Kyo bagaimanapun disahkan akan membuat penampilan istimewa iaitu muncul secara cameo bagi mengubat kerinduan para peminat mereka.
Justeru siapa pula yang akan menjadi hero dan heroin baru Full House 2?
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kimjonghak Production, Park Chang-Sik dalam pertemuan dengan wartawan ASEAN yang mengikuti program Fellowship Betthel anjuran Perkhidmatan Kebudayaan dan Penerangan Korea (KOIS) di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini mempunyai jawapan yang menarik untuk soalan itu.
"Memandangkan drama ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Asia, kami bercadang melibatkan seramai mungkin aktor dan aktres dari rantau ini untuk berlakon sama dalam Full House 2.
"Di Korea, kita akan mengadakan uji bakat terbuka dan pada masa yang sama, pelakon dari rantau Asia pula akan terlibat semasa penggambaran dibuat di negara mereka," katanya.
Beliau merancang mengadakan penggambaran di lokasi berbeza khususnya enam negara di mana Full House mendapat sambutan cukup memberangsangkan iaitu China, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Malaysia.
Untuk itu, Kimjonghak Production turut mempelawa penerbit filem dan drama dari negara terbabit menjalin usahasama menerbitkan episod tertentu Full House 2.
Bagi Chang-Sik, ia mungkin satu permulaan untuk kerjasama yang lebih besar bagi menerbitkan filem berwajah Asia pada masa depan, yang mampu menerobos sempadan antarabangsa sehingga ke Hollywood.
Bagi penerbit dan pelakon tempatan pula, mungkin ini masanya untuk mereka merentasi sempadan negara.
Siapa tahu, sebagaimana Rain dan Hye-Kyo popular di Malaysia, aktor dan aktres tempatan seperti Farid Kamil, Que Haidar, Lisa Surihani dan Liyana Jasmay juga mampu mengumpul peminat di Korea Selatan.
hanya mampu mimpi jela...klu..nk brlakon dlm citer..ni...heheh...nak dibandingkan dgn dieorg mcm kopi dan teh...heheheh....mmpu berangan je..dlm full house..tu..huhu
ReplyDelete