|
|
MEREKA bukanlah adiwira. Mereka juga tidak mempunyai kuasa luar biasa yang memungkinkan mereka melepasi apa saja halangan.
Namun, dalam “Knight and Day”, dua karakter utamanya sama hebat (atau mungkin lebih hebat) daripada adiwira komik Marvel yang pernah anda kenal.
Gandingan Tom Cruise dan Cameron Diaz menjadi faktor utama saya seronok menonton filem ini.
Selepas drama thriller Vanilla Sky (2001), mereka disatukan kembali, tetapi kali ini dalam genre aksi komedi.
Diaz memang sangat sesuai dengan watak June Havens yang sedikit ‘kurang siuman’, lasak dan dramatik.
Manakala Cruise sangat sajak sebagai wira yang sentiasa ada di sisi anda bila anda memerlukan.
Seperti mana tangkasnya Ethan Hunt dalam “Mission Impossible”, begitulah gagahnya Roy Miller dalam “Knight and Day”. Cuma kelebihan Roy ialah dia pandai berjenaka.
Keserasian Cruise dan Diaz meyakinkan saya untuk memberhentikan segala logika sepanjang menonton filem ini.
Menilai daripada trailer sebelum ini pun, penonton sudah boleh mengagak apa yang bakal mereka dapat apabila menyaksikannya.
Babak-babak awal dalam kapal terbang berjaya membuat saya ketawa. Ini kerana sifatnya yang semacam kartun apabila semua penumpang dalam pesawat itu mati dibunuh Roy, termasuk juruterbang.
Yang tinggal hanyalah dia dan June yang cuba untuk mendarat dan terbabas di ladang jagung.
Bermula dari saat itu, siri kejar-mengejar, tembak-menembak, melompat dan segala macam aksi yang terkeluar dari kewarasan fikiran, disajikan kepada penonton.
Jika anda tidak membaca sinopsis filem ini terlebih dulu, anda akan tertanya-tanya identiti sebenar Roy dan ini menimbulkan keinginan penonton untuk terus mengikutinya.
Namun demikian, di pertengahan filem, sedikit demi sedikit anda akan merasakan plot “Knight and Day” tidaklah begitu asli.
Roy merupakan seorang ejen rahsia yang diburu kerana dikatakan cuba membelot selepas tugasan melibatkan sejenis bahan senjata.
Kerana sifat Roy sebagai seorang hero, tentu ada yang sudah dapat mengagak jika dia sebenarnya yang dibelot.
Sementara June, saksi tunggal yang masih hidup di dalam kapal terbang tadi, juga menjadi buruan menyebabkan dia terlibat sama dalam pelarian Roy.
Bagaimanapun, sifat stereotaip plot filem ini mungkin akan ditolak ketepi dan dikaburi dengan babak-babak aksi yang menyesakkan nafas.
Roy dan June terpaksa melepaskan diri dari peluru di Boston, melompat dari bumbung ke bumbung di Austria dan melarikan diri dari kerbau laga di Seville.
Begitupun, saya merasakan penulis skrip filem ini agak ‘malas’ dalam menyusun idea setiap babak.
Lokasi pelarian mereka sangat tipikal – lebuhraya yang sibuk, gudang kosong, pulau terpencil dan sepanjang lorong-lorong di negara asing.
Saya mahu ulangi perenggan awal artikel ini.
Mereka bukanlah adiwira kerana tidak mempunyai kuasa luar biasa yang memungkinkan mereka melepasi apa saja halangan.
Namun, dua karakter utama dalam “Knight and Day” sama hebat (atau mungkin lebih hebat) dari adiwira komik Marvel yang pernah anda kenal.
Walaupun aksi mereka melampau-lampau, namun tiada sedikit pun kesan luka atau kesakitan.
Rupa mereka selepas bertarung, berkejar dan berlari masih kemas rapi, ibarat baru keluar dari bilik persalinan.
Tetapi, saya tidak kisah itu semua kerana yang ‘menjual’ perkara tidak masuk akal ini ialah Tom Cruise dan Cameron Diaz.
Saya percaya penonton dapat memaafkannya.
Apatah lagi dengan bantuan sinematografi dan kesan khas yang memuaskan, walau tidak cemerlang.
Kerana fokus banyak diberikan kepada Cruise dan Diaz, watak-watak lain hanya menjadi sokongan kecil, walaupun “Knight and Day” bertuah kerana dibarisi pelakon hebat seperti Peter Sarsgaard, Viola Davis dan Jordi Molla.
Filem ini diarahkan James Mangold, bukan calang-calang nama kerana pernah membawakan penonton, antaranya “Girl, Interrupted” (1999), “Walk The Line” (2005) dan “3:10 To Yuma” (2007). Pastinya, ini bukanlah filemnya yang terbaik.
Begitupun, seperti mana tema filem ini iaitu pelarian, mungkin anda juga dapat melihatnya sebagai satu eskapisme.
Menjadi pelarian dalam “Knight and Day” satu pengalaman yang menyeronokkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: