|
|
PERCINTAAN, kasih sayang, air mata dan pengorbanan adalah antara intipati yang terkandung dalam karya ulung Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, Uda dan Dara yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 Julai ini.
Digarap oleh pengarah yang tidak asing lagi di lantai teater, iaitu Datuk Rahim Razali, naskhah yang dahulunya pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya sekitar tahun 1975 itu kali ini menampilkan gandingan Razali Hussain, 34, dan Misha Omar, 28, sebagai teraju utama.
Selain Razali dan Misha, antara pelakon lain yang turut menjayakan muzikal itu ialah Datin Umi Kalsom (ibu Uda), Betty Benafe (ibu Dara), Mazlan Tahir (Alang Bakhil) dan Radhi Khalid (Pak Long).
Biarpun berpaksikan kisah percintaan antara Uda dan Dara, namun sentimen Melayu yang cukup utuh seperti digambarkan oleh Usman Awang dalam karyanya itu masih dikekalkan oleh Rahim kerana itulah keindahan yang tergambar dalam kisah Uda dan Dara itu sendiri.
Bagi Razali dan Misha, keindahan nilai Melayu dalam kisah Uda dan Dara termasuk pertuturan dan adat keMelayuan yang cuba dipaparkan pastinya mencerminkan betapa indahnya gambaran di sebalik kisah cinta Uda dan Dara itu sendiri.
Ditemui pada majlis sidang akhbar muzikal itu di Istana Budaya baru-baru ini, baik Razali mahupun Misha masing-masing mengakui gementar melakonkan watak yang bagi mereka agak berat untuk ditonjolkan sisi percintaan.
Bagi memastikan gandingan mereka tidak nampak janggal, tempoh sebulan yang ada digunakan untuk mereka ‘menyulam cinta’ agar Uda nampak hidup di jiwa Dara dan begitulah sebaliknya.
Dalam tempoh sebulan, kedua-dua mereka harus memenuhi tuntutan cinta anak muda berusia 21 tahun (Uda) dan 17 tahun (Dara).
Sepanjang dua minggu ini mereka masih lagi dalam peringkat penghafalan skrip, Uda cuba digambarkan oleh Razali ialah seorang lelaki Melayu sejati yang pandai bermain silat namun kekurangan dari segi harta.
Seperti yang diketahui ramai, pengarahnya sebelum ini cukup cerewet memilih watak Uda yang berkebolehan bukan sahaja bersilat dan menyanyi malah, mampu menghayati karakter Uda itu sendiri.
Malah, Misha yang terlebih dahulu dipilih sebagai Dara mengakui watak Uda yang dipegang Razali kena dengan tempatnya kerana selain berkarisma, Razali juga boleh menyanyi malah, sebelum ini pelakon itu berpengalaman beraksi di pentas teater.
“Hari-hari apabila menjalani latihan kami masing-masing memanggil dengan nama watak dalam teater ini.
“Malah, krew dan pelakon lain pun memanggil kami dengan nama Uda dan Dara agar kami terbiasa dan selesa,” kata Misha yang cukup berusaha memberikan yang terbaik dalam pementasan itu.
Sukar menghayati watak pada peringkat awalnya, akui Misha, dia sedikit gugup tatkala pertama kali bertentang mata dengan heronya itu.
“Terasa seperti daging-daging di pipi saya bergerak-gerak sebab terlalu malu melakonkan watak romantis,” katanya.
Bukan itu sahaja, mengucapkan kata-kata romantis yang diindahkan lagi dengan puitisnya nukilan Usman Awang itu sendiri memberi cabaran yang bukan sedikit bagi mereka.
Lenggok bahasa dan gemalainya tarian Melayu yang sempat dipelajari mereka menambah lagi keterujaan Razali dan juga Misha.
Pelbagai konflik serta penindasan diselitkan bagi menghidupkan lagi drama yang tentunya mencantikkan lagi muzikal berskala besar yang memuatkan 20 buah lagu itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: