KOTA BHARU: Hajat sepasang doktor memperoleh pendapatan sampingan hasil pelaburan RM61,572 dalam syarikat ladang penternakan lembu kacukan Australia milik orang kenamaan tidak kesampaian apabila sehingga kini mereka masih tidak menerima sebarang keuntungan.
Pasangan itu melabur membeli dua lembu itu mendakwa mereka diperdaya syarikat berkenaan apabila tidak menerima hasil dalam tempoh enam bulan seperti dijanjikan.
Malah, mereka turut ditabur dengan pelbagai alasan apabila lembu sepatutnya dihantar ke negara ini sebaik pembayaran dibuat tidak dilakukan apabila haiwan berkenaan dikatakan sakit dan terpaksa dikuarantin.
Alasan itu menyebabkan pasangan doktor yang enggan dikenali itu menunggu sehingga enam bulan sebelum dimaklumkan lembu mereka bunting dan bersedia mengeluarkan hasil susu.
Bagaimanapun, ia hanya sekadar jaminan palsu apabila pasangan terbabit mendapati haiwan ternakan mereka baru saja bunting dan memerlukan beberapa bulan lagi mendapat hasil sebaik melawat sendiri ladang yang terletak di Kluang, Johor.
“Kami tertarik dengan tawaran syarikat itu selepas mereka mengadakan pameran di kompleks beli-belah pada Oktober tahun lalu.
“Kami buat keputusan menyertainya dengan membeli dua lembu yang berharga RM30,786 seekor. Pada hari pameran itu, kami dikehendaki membayar deposit 30 peratus dan bakinya dibayar dua kali lagi selepas itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: