LENGGONG: Peniaga di Pekan Sehari Lenggong mendakwa kerugian hampir setiap hari berikutan tindakan kumpulan individu tertentu membuat pembayaran menggunakan wang palsu dalam urusan jual beli di pasar berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan puluhan peniaga mendakwa individu tidak bertanggungjawab itu berurusan menggunakan not palsu RM100, RM50 dan RM10.
Selain itu, mereka mendakwa wang palsu diberikan pelanggan terbabit sukar dibezakan dengan wang tulen kerana ciri-cirinya yang hampir sama.
Peniaga ikan, Mohd Sharizal Zaimanan, 28, berkata, dia memperoleh not palsu RM50 dan RM10 minggu lalu ketika berurusan dengan individu yang datang ke gerainya.
Menurutnya, dia hanya menyedari wang itu palsu selepas dilihat terbelah menjadi dua lapis selain keadaannya lusuh.
“Malah, beberapa rakan yang turut berniaga di pasar di Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut mengalami masalah sama,” katanya.
Selain itu, katanya, not palsu keluaran terbaru itu tiada tertera gambar Yang di-Pertuan Agong selain cepat lusuh jika terendam lama dalam air.
“Mungkin wang itu dicetak menggunakan mesin pencetak berwarna sebelum satu lapisan ditampal di bahagian depan dan belakang wang,” katanya.
Mohd Hamdan Azlah, 45, berkata, dia turut menerima not kertas palsu RM50 dan RM10 sejak seminggu lalu ketika berniaga di Pekan Sehari Kati, Kuala Kangsar dan Pekan Sehari Lenggong.
“Saya mengetahui not itu palsu apabila mengukurnya dengan wang tulen sebelum mendapati ukurannya sedikit panjang.
“Pelanggan tidak bertanggungjawab itu biasanya mengambil kesempatan membeli pada waktu sibuk atau malam kerana ketika itu sukar memeriksa dan meneliti setiap wang diterima,” katanya.Peniaga ayam di Pekan Sehari Lenggong, Abdul Salam Mokhtar, 49, dari Ipoh, berkata dia menerima sekeping not palsu RM100 dan tiga not RM50 sejak beberapa bulan lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: