Wednesday, June 23, 2010

Ibu tunggal tak mampu lunas kos hospital RM34

MELAKA: Seorang ibu tunggal yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baru dirawat di sebuah hospital di sini, terpaksa menagih simpati beberapa pesakit lain bagi meminjamkannya wang untuk menjelaskan kos rawatan hospital berjumlah RM34.

Keadaan itu dialami ibu tunggal terbabit yang berusia 38 tahun ketika mahu keluar dari hospital berkenaan pada 17 Jun lalu selepas menjalani rawatan selama empat hari di hospital terbabit.


Menurutnya, pada hari berkenaan, dia diminta pihak petugas hospital supaya menjelaskan bil hospital berjumlah RM34.


“Saya cuba menjelaskan kepada mereka yang saya tidak ada duit untuk membayar bil berkenaan sambil menunjukkan bukti kad JKM menunjukkan saya seorang penerima bantuan.


“Namun, mereka tetap menegaskan kepada saya supaya membayarnya juga sehinggakan saya terpaksa menemui beberapa rakan pesakit lain di sebelah katil saya untuk meminjam wang mereka,” katanya yang tampil ke Pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di sini semalam.


Menurut ibu tunggal terbabit, dia dirawat di hospital berikutan sebahagian daripada anggota badannya iaitu di bahagian pinggang dan paha terkena air panas akibat diserang sawan ketika sedang menyediakan minuman kira-kira dua bulan lalu.


Dia yang mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun, kini menumpang di rumah ibu saudaranya dan kehidupannya hanya bergantung kepada bantuan am dari JKM dan bantuan makanan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim).


Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya kini sudah menghubungi pihak berkenaan termasuk JKM bagi mendapatkan situasi sebenar berhubung masalah dihadapi ibu tunggal terbabit.


“Saya ingin menyarankan supaya sesiapa yang memiliki kad bantuan yang dikeluarkan JKM supaya diberikan keutamaan dan mereka perlu menghubungi Bahagian Sosial Hospital sekiranya berdepan masalah sebegitu.


‘Kita sedar memang ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan kad seumpama itu bagi tujuan mengelak dari membayar kos hospital.


“Namun, saya sudah merujuk pihak JKM dan mereka sendiri berasa hairan mengapakah pihak hospital tidak memberi keutamaan kepada pesakit terbabit meskipun sudah menunjukkan kad JKM,” katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: