Menghabiskan masa singkat dalam promosi khas di Mesir baru-baru ini, agak jelas Paris Hilton tidak mendapat nasihat yang betul sebelum memulakan perjalanannya.
Selebriti yang lebih terkenal kerana kontroversi berbanding bakat seni itu dibayar untuk berada di Mesir bagi menarik kedatangan orang ramai ke ekspo pemotoran, Automech 2010.
Di padang pasir berhampiran piramid itu, Paris mengenakan pakaian menjolok mata - baju mendedahkan belakang badan dan skirt pendek.
Bagi selebriti berusia 29 tahun itu, pakaian berkenaan mungkin dianggap tidak keterlaluan, namun penduduk setempat berpendapat sebaliknya.
Sesetengah pihak berkata, pakaian Paris keterlaluan kerana banyak mendedahkan tubuhnya kepada umum untuk ditatap penduduk sebuah negara majoriti umat Islam.
Apabila Paris berjalan-jalan di kawasan terbuka, dia sebenarnya dilihat cuba menayang tubuh lebih daripada sepatutnya.
Malah, dia dilihat lebih melampau ketika memanjat menaiki unta sebelum gambarnya dirakam jurukamera.
Walaupun seluar pendek dan bikini mungkin diterima warga Mesir apabila ia dipakai di kawasan percutian seperti Sharm el-Sheik dan Hurghada, pengunjung Barat sepatutnya menutup tubuh mereka supaya lebih sederhana jika berada di sekitar Kaherah dan Luxor.
Kegagalan memahami budaya setempat mungkin menyebabkan pelancong asing menarik 'perhatian tidak perlu' di kalangan lelaki tempatan.
Pemerhati berpendapat, pihak yang berkenaan sepatutnya menasihati Paris supaya berpakaian lebih konservatif, atau sekurang-kurangnya menutup paha dan lengan.
Selepas melawat piramid, Paris sempat menukar pakaian lain dan muncul sejurus kemudian dengan baju hitam dan weskot merah jambu.
Destinasi dituju - Muzium Mesir yang terletak di Kaherah.
Sambil melihat artifak dipamer, Paris tidak pernah gagal menghiburkan pengunjung muzium dengan gaya glamornya.
Di laman Twitter peribadinya, Paris menulis: "Paris di Kaherah! Seronok sangat! Saya sukakan Mesir. Mesir amat mengagumkan!" Nasib baik Paris tidak mengunjungi Masjid Muhammad Ali yang terkenal di kota raya itu.Di situ, setiap pengunjung wanita diwajibkan menutup aurat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: