KEPUTUSAN memilih berkahwin dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor yang sebaya dengannya pada 29 Mac 2009 adalah tindakan tepat dilakukan pelakon dan pengacara, Haryati Hamzah atau Yatt.
BAHAGIA...Yatt dan suami pada hari cukul jambul Nia.
Yatt berkata, sejak ada Nia, naluri keibuan begitu tebal dalam dirinya. Namun komitmen pada kerja juga tidak boleh diketepikan sehinggakan ketika penggambaran drama, Yatt terpaksa membawa Nia bersama kerana masih menyusu badan.
Mujur kehadiran emaknya banyak menyelamatkan keadaan. Nia dijaga ibunya yang sanggup tinggalkan rumah di Seremban, Negeri Sembilan untuk tinggal dengan adik-beradiknya di rumah mereka di Sentul.
"Saya tidak berani tinggalkan Nia dengan orang lain kerana bimbang terjadi perkara buruk. Ketika penggambaran telefilem untuk raya, Rendang Mak Tijah di Sekinchan, Selangor baru-baru ini, emak terpaksa ikut sekali kerana menjaga Nia di hotel.
"Saya sekarang sudah kembali aktif berlakon dan dihujani banyak tawaran. Saya juga dilamar Datuk Yusof Haslam untuk berlakon drama Gerak Khas. Saya juga akan menjayakan drama bersiri terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) berjudul 2x5 dan satu lagi drama.
"Sekarang saya kena pertimbangkan tawaran dari segi masa dan lokasi untuk berlakon kerana faktor anak. Sebagai isteri dan ibu, sukar untuk saya ambil watak sembarangan. Saya harap penerbit dan masyarakat akan faham.
"Demi anak, saya tak rasa rugi kalau tolak tawaran kerana rezeki tetap murah. Sebenarnya pelakon Noorkhiriah banyak bagi semangat dan panduan kepada saya hingga saya ada kekuatan. Katanya kita perlu yakin yang rezeki akan ada.
"Dulu saya takut juga susah nak dapat tawaran berlakon apabila tolak tawaran penerbit. Sekarang saya berpegang pada falsafah rezeki ada di mana-mana tapi anak sukar dicari. Saya ambil tawaran yang mudah saja," katanya ketika ditemui di majlis cukur jambul Nia, kelmarin.
Majlis itu diadakan genap tiga bulan usia anaknya di rumah keluarga suami kerana keluarganya menetap di Seremban. Majlis cukur jambul, akikah dan doa selamat itu turut mengundang jiran tetangga dan rakan artis bersama-sama meraikan.
Kaya Yatt, sebelum ini dia tidak pernah hadir ke majlis cukur jambul. Asal nak pergi saja, mesti ada halangan. Apabila sampai masanya nak buat untuk anak sendiri, Yatt hilang arah sebab tak tahu nak uruskan.
"Nasib baik ada emak dan emak mentua yang banyak membantu melancarkan majlis ini. Keluarga mentua panggil kumpulan marhaban Al-Ikhlas daripada Kampung Melayu Ampang dan orang masjid di situ untuk buat tahlil.
"Keluarga mentua terbabit secara langsung kerana saya buat keputusan adakan majlis di rumah mereka supaya memudahkan orang datang. Rumah keluarga saya pula di Seremban, Negeri Sembilan," katanya.
Yatt yang sebelum ini menjalani pantang selama 100 hari mengakui hasrat untuk mengadakan majlis ini dipendam sejak melahirkan Nia lagi. Malah kesyukuran itu turut diraikan dengan anak yatim yang dijemput khas. Ternyata rezeki bersamanya apabila mendapat tajaan beberapa pihak untuk majlis itu.
"Jemputan dibuat untuk 200 tetamu. Kami berdua rancang jemput 50 anak yatim dari Rumah Bakti, Hulu Klang kerana nak berkongsi kegembiraan dengan mereka. Saya seronok kerana keluarga saya pun turut hadir.
"Alhamdulillah rezeki Nia kerana kami dapat tajaan daripada Diana Ibrahim, pemilik DnD Beauty House yang sediakan dekorasi pelamin bayi buat Nia, tajaan pakaian daripada Jedan Collection dan makanan daripada Syidah Catering, Lembah Keramat," katanya.
Mengenai masa depan anaknya, Yatt berkata, sebagai ibu yang pernah melalui asam garam dunia seni, sebolehnya dia tidak mahu anaknya menceburi dunia lakonan. Namun, jika jalan itu yang dipilih anaknya suatu masa nanti, dia tetap akur.
"Kalau boleh memanglah saya tak mahu dedahkan dia kepada seni. Tapi kalau itu yang dia nak, saya tak boleh halang. Yang penting dia perlu capai kejayaan dalam pelajaran seperti saya, sekurang-kurangnya ada ijazah.
"Saya mahu anak saya jadi juruterbang yang dulunya memang jadi cita-cita saya, tapi tak kesampaian. Kalau tak boleh sangat pun, saya mahu dia jadi jurutera. Saya memang pandang masa depan Nia dan buat tabungan serta beli insurans buatnya."Kalau mampu, saya memang lahirkan seorang anak setahun. Saya nak sangat melahirkan Nia secara normal, tapi tak tercapai kerana terpaksa melalui pembedahan sebab kandungan saya terlebih masa dua minggu.
"Jika mengandung lagi selepas ini, kalau boleh saya nak anak lelaki pula. Saya seronok meramaikan umat manusia di muka bumi ini. Keluarga saya dan suami juga mempunyai adik- beradik yang ramai.
"Kalau boleh, kami juga nak mempunyai anak seperti itu, tapi jika tak dapat, cukuplah mempunyai tiga anak," katanya yang tidak menang tangan melayan tetamu pada malam itu.
Yatt juga berkata, dia takkan selama-lamanya bergelar pelakon dan pengacara kerana mempunyai agenda sendiri untuk masa depannya.
"Saya ada perancangan hendak buat bisnes sendiri dan dalam perbincangan lanjut dengan suami. Sekarang kami berdua ada kedai mencuci kereta dinamakan Pit Stop yang dibuka sejak Disember tahun lalu di Sports Planet Ampang.
"Kami pilih tempat itu kerana senang memandangkan Talib bekerja sebagai pengurus di pusat futsal itu. Alhamdulillah, sambutan diterima daripada pelanggan amat menggalakkan. Sambil bermain futsal, mereka dapat mencuri masa mencuci kereta," katanya.
>PROFIL
NAMA SEBENAR: Haryati Hamzah
TARIKH LAHIR: 13 April 1980
TEMPAT LAHIR: Muar, Johor
ADIK BERADIK: Anak sulung daripada sembilan adik beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa dan Pengajian Media
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
STATUS: Berkahwin
NAMA SUAMI: Abdul Mutalib Abdul Shukor
PROGRAM TV: Joran Ria, Smart G, 4C, Selamat Pagi Malaysia, Nasi Lemak Kopi O (TV9), Pop Kuiz musim baru (TV3) DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah, Bella, Ritma Kolej, Isandra, Tiga Mawar Dara
FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: