Monday, June 7, 2010

Tiada masalah berlari ketika hamil

JIKA tidak dimaklumkan dia hamil lima bulan, memang sukar meneka daripada susuk tubuhnya itu.

BERLARI SEKELUARGA...Tan (kiri) dan isteri, Choo, sentiasa membawa  anak kecil mereka, Daphne dalam acara larian atau berbasikal.
BERLARI SEKELUARGA...Tan (kiri) dan isteri, Choo, sentiasa membawa anak kecil mereka, Daphne dalam acara larian atau berbasikal.

KONGSI MINAT...Wan Laili (kiri) sertai larian kali ini bersama  anaknya, Ahmad Amir Aiman dan rakannya, Melvinder Singh, 14.


KONGSI MINAT...Wan Laili (kiri) sertai larian kali ini bersama anaknya, Ahmad Amir Aiman dan rakannya, Melvinder Singh, 14.
Perutnya juga tidak begitu ketara menonjol seperti ibu hamil malah wajahnya yang sering terpamer senyuman itu tidak tampak letih meskipun baru menyudahkan larian enam kilometer (km) dalam keadaan berbadan dua.

Charlyn Holden, 31, akui dia sudah biasa berlari ketika hamil malah ketika dihampiri selepas tamat lariannya pada Larian Malakoff Pulau Pinang baru-baru ini, dia hamil kali kedua.

"Semasa kehamilan pertama dulu, saya mula berlari sejak kehamilan di peringkat trimester pertama dan hanya berhenti ketika kandungan mencecah tujuh bulan.

Kali ini pun mungkin saya hanya akan berhenti berlari pada waktu serupa kerana ketika itu biasanya kandungan saya mula membesar.

"Sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan rutin larian semasa hamil, saya ada berbincang dengan doktor terlebih dulu.

"Dia mengesahkan tiada masalah untuk saya berlari kerana tubuh saya memang sudah biasa dengan aktiviti sebegini sejak dulu lagi," kata wanita kacukan Thailand dan Amerika Syarikat yang bertugas sebagai guru di negara ini.

Nasihatnya untuk wanita yang mahu berlari ketika hamil, usah melakukan larian yang terlalu keras. Larian perlahan sudah memadai dan jaraknya pula tidak terlalu jauh.Ketika kehamilan pertama dulu, paling jauh lariannya ialah 15km. Dia akui berasa sangat sihat malah ia memudahkan proses kelahiran bayi pertamanya yang lahir secara normal.

Seminggu selepas melahirkan bayi lelakinya yang kini berusia dua setengah tahun itu, dia sudah mula berlari.

"Tapi itu bukan keputusan yang baik. Saya sepatutnya menunggu sekurang-kurangnya sebulan untuk mula berlari semula. Jadi kali ini, saya tak akan terlalu cepat melakukan rutin larian saya selepas melahirkan bayi nanti," katanya.

Pembabitannya dalam aktiviti larian itu bermula ketika dia berusia 17 tahun.

"Waktu itu saya sedang belajar, sering berjaga lewat malam dan asyik makan siang malam. Saya bimbang berat badan naik keterlaluan malah ketika itu pun saya sudah terlebih berat tujuh kilogram.

"Sejak itulah saya mula berlari dan tak pernah berhenti sehingga sekarang. Sejak dua tahun lalu, saya ikuti kelab larian di Pulau Pinang ini. Ia bukanlah untuk pelari serius, tetapi mengundang penyertaan daripada sesiapa saja yang gemar berlari," katanya yang sudah menyertai tujuh maraton (larian 42km) setakat ini dan satu acara triatlon tahun lalu.

Sejak kehadiran cahaya matanya itu, ada kalanya dia membawa si kecil itu bersama yang diletakkan dalam kereta sorong khas, sama ada ketika Charlyn berlari atau menunggang basikal.

"Suami saya boleh menjaga anak kami itu ketika saya berlatih kerana dia tak berlari seperti saya tapi saya gemar membawa anak saya itu.

"Saya boleh tinggalkannya di rumah tapi saya mahu menggalakkan ibu supaya terus bersenam meskipun sudah punya anak," katanya yang akan berhijrah ke Batam, Indonesia pertengahan Jun ini kerana mengikut suami bertugas di negara jiran itu.

Wan Laili Mohd Ibrahim, 44, tidak pernah terbayang dirinya menyertai acara larian sebegitu.

Dia mula melangkah ke gimnasium Februari lalu hanya untuk melakukan senaman kardiovaskular, bermula dengan latihan di mesin treadmill.

Siapa sangka kini, dia boleh berlari di mesin itu selama 80 minit tanpa henti malah ketika Larian Malakoff yang pertama kali disertainya itu, dia menyudahkan larian enam kilometernya dalam masa tidak sampai 35 minit - waktu yang biasanya dicatatkan pelari yang sudah biasa terbabit dalam aktiviti ini.

"Ramai rakan yang kata sukar berlari di gimnasium kerana cepat bosan, tapi saya tak ada masalah. Lagipun berlari sambil menonton televisyen atau mendengar muzik banyak membantu saya berlari untuk tempoh yang lama," katanya.

Pembabitannya itu juga banyak didorong anak lelakinya, Ahmad Amir Aiman Ahmad Riza, 14, yang asalnya bimbang berat badannya bertambah lantas mula berlari bersama ibunya.

Pada acara larian berkenaan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul itu menamatkan larian tiga minit lebih pantas daripada ibunya.

"Kami saling memberikan dorongan antara satu sama lain. Lazimnya kami berlari tiga kali seminggu termasuk latihan di gimnasium dan berlari di taman," kata Wan Laili yang mengusahakan perniagaan katering di Sungai Ara, Bayan Lepas ini.

Bagi Jimmy Tan, 34, dan isterinya, Choo Hooi King, 33, melakukan aktiviti kecergasan di luar rumah sambil membawa anak kecil mereka, Daphne Tan yang baru berusia setahun setengah itu nyata cukup bermakna.

"Dia sudah biasa dibawa dalam kereta sorong khas ketika saya berlari atau menunggang basikal. Pada awalnya memang agak sukar dan ia memperlahankan larian saya tapi lama kelamaan saya sudah biasa.

"Daphne pun tak banyak kerenah bila dibawa bersama," kata Tan yang memang aktif dalam pelbagai acara larian dan berbasikal ini.

Untuk membawa si kecil itu bersama, dia menggunakan kereta sorong khas yang perlu diimport. Kereta sorong sedemikian boleh diubah suai sama ada untuk ditolak ketika Tan berlari atau disambungkan pada basikalnya ketika dia melakukan acara berbasikal.

"Hasrat saya hanya untuk mendedahkan anak saya pada kehidupan yang menyihatkan sejak dia kecil lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: