Sunday, June 13, 2010

Othman Hafsham bikin Karipap Cinta

SELEPAS dipersembahkan dengan naskhah Lagenda Budak Setan, telinga Diva tiba-tiba dimasuki berita segar disebalik kejayaan filem yang adaptasi daripada novel terlaris tanah air nukilan Ahadiat Akasyah itu.

Tidaklah sesegar embun pagi tetapi informasi itu cukup untuk memberi petunjuk bahawa usaha memasyarakatkan karya seni filem dan novel tidak pernah susut daripada hati insan-insan seni Malaysia.

Nampaknya, nama pengarah tersohor Othman Hafsham yang lama tidak kelihatan di skrin lebar akan kembali menunjukkan taring dengan sentuhan terbaru. Kalau tak silap Diva, filem itu akan berbunyi judulnya Karipap-Karipap Cinta.

Lebih memantapkan kemunculan semula Othman Hafsham, Diva dapat tahu itu adalah karya adaptasi daripada sebuah novel yang boleh dikira masih baru dalam penulisan tempatan.

Kalau Othman sudah berani ambil novel orang baru untuk bikin filem, pasti ada manisnya kreativiti yang akan terhasil. Syabas sebab itu bukan projek bual kedai kopi. Setahu Diva, tiba Julai nanti, berkampunglah produksi Karipap-Karipap Cinta di lokasi.

Diva harap filem itu akan selaris karipap panas apabila masuk ke pawagam nanti. Tunggu!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: