Friday, June 18, 2010

Nampak saja ganas

WAJAH terkini Aman Graseka pada majlis pelancaran drama bersiri  Arjuna di Istana Budaya.
WAJAH terkini Aman Graseka pada majlis pelancaran drama bersiri Arjuna di Istana Budaya.
Aman Graseka mahu kembali berlakon secara aktif

RAUT wajah Aman Graseka memang nampak macam serius, ‘ganas’ dan sukar didekati. Namun, benar kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tanggapan yang pernah digambarkan itu, jauh berbeza ketika Hip bertemu dengan pelakon ini ketika majlis pelancaran drama epik fantasi, Arjuna di Istana Budaya, baru-baru ini.

Dalam drama itu, Aman Graseka atau nama sebenarnya Aman Shah Raja Baharom memegang watak Satria Aduka. Berbeza penampilannya yang serius itu, dia sebenarnya penuh dengan sifat humor. Memang Aman nampak penuh misteri tetapi perbualan singkat itu sebenarnya membuka sisi berbeza dirinya. Malah, apabila ditanya mengenai soal peribadi apakah sudah bertemu pengganti, dia pantas menjawab tanpa ada motif berselindung. Menurut pelakon berusia 43 tahun ini, selepas berpisah Mas Idayu sejak lima tahun lalu, memang kehidupannya agak sunyi. “Kalau nak isi kekosongan hati, saya masih boleh berhibur pergi menonton persembahan live band. Atau dalam kata lain, saya bersosial untuk menghilangkan kesepian itu.

“Saya pun bukan hidup seorang kerana anak kami, Nurdayini Ashiqah turut dijaga saya dan ibunya secara bergilir-gilir. Dalam soal menjaga anak ini, saya lebih terbuka. Bekas isteri saya bebas menjaganya tanpa perlu berkira-kira dalam soal pembahagian waktu dan hari.

“Setakat ini nak kata ada (pengganti), saya tak boleh nak cakap. Pilihan itu ada. Tapi dalam soal mencari teman ini, bukan semudah yang disangka. Kalau kita syok dengan seseorang itu, dia pula sudah berpunya. Begitulah bila seseorang suka dekat kita, kita pula sedang baik dengan seseorang,” katanya.

Aman mula diingati dengan watak utama sebagai Arman menerusi filem pertama lakonannya iaitu Cinta Kita. Dalam filem itu arahan Kamal Ishan pada tahun 1995 itu, dia bergandingan dengan Sofia Jane.
Aman mula menceburi bidang lakonan sejak 1993. Sepanjang tempoh itu juga, dia seperti biskut iklan biskut, sekejap ada, kejap tiada. “Selepas muncul dengan filem Cinta Kita, saya berehat selama lima tahun. Kemudian muncul kembali pada 2000. Saya berehat sekali lagi pada 2003 dan kembali aktif sejak 2007 hingga sekarang.

“Memang sebelum ini saya ‘on and off’ dalam dunia seni. Saya memilih untuk ‘hilang’ kerana kecewa dengan tawaran yang diterima.

“Kalau asyik diberikan watak yang sama saja, saya akan terus berada di takuk lama. Selain itu, kalau tahun lalu sebagai contoh asyik filem hantu saja diterbitkan maka bermusim genre yang sama dihasilkan,” .

“Jadi tawaran watak itu akan terbatas dan mungkin juga pelakon yang sama saja diambil berlakon,” katanya yang tidak gemar menerima tawaran saat akhir.

Faktor dirinya yang agak cerewet dalam soal mempertimbangkan watak juga antara dia memilih untuk berehat. Sebagai pelakon, Aman mengakui tidak boleh membuat kerja sambil lewa dan semata-mata. Biarpun jarang menerima publisiti di media, dia tidak pernah putus dengan tawaran berlakon. Drama Arjuna itu sendiri adalah drama kelima yang ditawarkan kepadanya pada setengah tahun ini saja.

“Memang saya selesa low profile. Saya pun bukan muda lagi. Tak nafikan bila saya terlalu low profile, saya rugi kerana peminat tidak menyedari kehadiran saya sepanjang masa. Mereka tahu pun sesekali wajah saya muncul dalam drama atau telefilem.

“Tapi terlalu terdedah dengan publisiti, bimbang pula akan memakan diri. Sekarang ini bukan zaman saya lagi, zaman pelakon baru. Sesekali kalau ada produk yang berkualiti, saya selesa untuk menghebahkannya,” katanya yang lebih diingati dengan watak serius sedangkan dia juga berkebolehan memegang watak komedi.

Ditanya apakah bidang lakonan menjamin masa depannya, Aman memberitahu dia bersyukur sesekali tawaran yang datang dapat membantunya meneruskan hidup dalam tempoh tertentu.

“Selain berlakon, saya juga pemuzik. Saya boleh mencipta lagu dan ada lagu yang dibikin diberikan kepada drama dan produksi untuk dijadikan lagu latar. Saya pun hidup seorang dan menanggung seorang anak saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: