BUKAN semua wanita tabah dengan status janda dan ibu tunggal. Bagi Yasmin Md Isa atau Airis Yasmin, 31, semua itu alah bisa tegal biasa. Apa yang penting baginya, diri tidak terpalit dengan gosip panas atau liar.
Airis berkata kepada Rap, baru-baru ini, pada usia sekarang, pemikirannya semakin matang. Justeru, apa yang menjadi keutamaannya juga berkait rapat dengan kegembiraan anak tersayang, Salma Nurdina, 10.
"Disebabkan anak, saya masih lagi bersahabat baik dengan bekas suami dan keluarga barunya. Bagi saya, antara kami mungkin sudah tiada jodoh tetapi kasih sayang dan tanggungjawab kepada anak tidak harus kami abaikan.
"Malah, sebagai wanita yang hidup bersendirian saya juga sangat menjaga imej. Sebolehnya, saya mengelak daripada terjebak dengan gosip panas. Saya tidak mahu hati keluarga dan anak saya terluka. Oleh itu, saya amat berhati-hati dalam memilih sahabat.
"Bukan semuanya tak boleh dipercayai tapi saya harus berhati-hati bergaul dan perlu ada batasnya. Jujurnya, saya tidak mahu menjadi mangsa gosip atau artis yang terpalit dengan cerita kontroversi. Saya mahu orang kenal diri ini menerusi bakat lakonan."Setakat ini saya bersyukur kerana belum pernah berhadapan gosip panas," katanya yang sudah selesai menjayakan penggambaran drama bersiri Aalia.
Ditanya sampai bila dia selesa hidup bersendiri, Airis berkata setiap wanita menyimpan impian untuk hidup berkeluarga dan bersuami lagi. Cuma, kegagalan rumah tangga lalu membuatkan dia belum lagi bersedia.
"Apabila pernah mengalami kegagalan, sudah pasti saya tidak mahu dikecewakan lagi. Justeru, saya harus memilih lelaki yang boleh memahami diri saya seadanya. Malah, yang paling penting lelaki itu boleh menerima dan menyayangi anak saya juga.
"Saya tidak memandang kejayaan, kerana apa yang penting keikhlasan dan kejujuran hati. Sehubungan itu, soal jodoh ini biarlah ditentukan Tuhan saja. Saya tidak mahu terlalu memikir sangat kerana jodoh itu sememangnya diaturkan Tuhan buat hamba-Nya.
"Setakat ini, keluarga saya pun cukup memahami dan tidak pernah mendesak supaya saya berkahwin lagi. Saya juga perlu memperbaiki kekurangan diri. Kalau dulu, faktor berkahwin pada usia muda mungkin menyebabkan saya kurang matang," katanya.
Menyentuh soal calon suaminya yang dikatakan orang berada dan berstatus kenamaan, Airis menolak dakwaan itu dengan tegas. Katanya dia memang ada menjalin hubungan dengan seseorang dan mereka masih dalam proses mengenali hati budi.
"Saya mengaku ada berkawan dengan seseorang tapi, sejauh mana seriusnya hubungan kami masih terlalu awal untuk diperkatakan. Apatah lagi, hingga sekarang kami pun tak pernah berbincang atau membuat perancangan untuk berumah tangga.
"Hati saya belum terbuka untuk berkahwin lagi. Insya-Allah, seandainya saat bahagia itu tiba saya tidak akan menyembunyikannya. Saya sedia berkongsi dengan media tetapi memang sekarang saya tiada sebarang perancangan ke arah itu," katanya.
Berbicara mengenai karier lakonannya, Airis dilihat manis bertudung dalam drama bersiri Aku Terima Nikahnya yang ke udara di Astro Oasis, setiap Ahad, jam 5 petang. Justeru, apakah dia mungkin akan bertudung sepenuhnya tidak lama lagi?
Kata Airis, buat masa ini dia mampu bertudung hanya dalam lakonan. Ujarnya, bagaimanapun, dia memang menyimpan hasrat untuk bertudung suatu hari nanti, apabila tiba masanya.
"Saya berharap, pintu hati ini akan terbuka untuk berubah imej kepada bertudung suatu hari nanti. Bagaimanapun, bilakah masanya, saya tidak pasti. Bagi saya, apabila sudah bertudung biarlah selama-lamanya dan memakai dengan seikhlas hati.
"Bukan apa, saya tidak mahu hari ini memakai tudung dan esok buka semula. Bagi saya, biarlah memakai tudung itu sebagai hijrah abadi. Kalau saya bertudung, ia akan dipakai sampai bila-bila dan saya yakin masanya akan tiba jua," katanya.
PROFIL
NAMA: Yasmin Md Isa
PANGGILAN KOMERSIAL: Airis Yasmin
ASAL: Alor Gajah, Melaka
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1979
USIA: 31 tahun
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Salma Nurdina, 10 tahun
Kerjaya: Pelakon, model iklan dan ahli perniagaan
FILEM: Janin, Eee... Hantu, Syy...Dia Datang dan Seremm
DRAMA: Antaranya, Ghost (8TV) Saka (TV3), Dan Ombak Pun Beralun, Curahan Kasih, Nasi Lemak Dina, Biarlah Rahsia, Camar Hitam, Seteguh Hidayah, Ranjang Penuh Luka (Astro), Memintas Seribu Bulan, Andai Semalam Kumiliki (RTM) Kasih Iftitah, dan Aku Bukan Buaya (ntv7), Juanna, Aku Terima Nikahnya dan Aalia.
IKLAN PRODUK: Antaranya, Colgate, Fair & Lovely, Time Broadband, Pantene, Astro, Celcom, Good Year Tyre, Nestle Cereal Cornflakes
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: