Wednesday, June 23, 2010

Muzium papar evolusi TUDM


Rodzali Daud berjabat tangan dengan anggota unit payung terjun tudm selepas mereka melakukan penerjunan.


TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai salah satu cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sudahpun berusia 52 tahun.

Pada usia itu, TUDM sudah melalui pelbagai fasa pembangunan, kecemerlangan dan evolusi terutama dalam soal aset, penggunaan teknologi terkini serta pembangunan sumber manusia.

Bermula dengan hanya sebuah pesawat, TUDM kini sudah mara ke depan dengan pemilikan pelbagai aset yang ada antaranya tercanggih di dunia.

Namun, segala pencapaian yang dikecapi itu tidak bermakna sejarah mengenai TUDM wajar dilupakan begitu saja kerana ia merupakan satu titik tolak kepada kecemerlangan yang diperolehi pada hari ini.

Oleh itu, Muzium TUDM di wujudkan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebagai langkah memastikan segala sejarah mengenai cabang perkhidmatan dalam ATM itu tidak dilupakan sehingga bila-bila.

Maka Hari Terbuka Muzium TUDM telah diadakan baru-baru ini di Pangkalan Udara Kuala Lumpur bagi mengajak seluruh rakyat Malaysia menyaksikan dan menghayati sendiri sejarah penubuhannya.

Ia adalah salah satu acara yang diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-52 yang disambut pada 1 Jun lalu.

Panglima Tentera Udara, Jen. Datuk Sri Rodzali Daud telah hadir untuk merasmikan hari terbuka itu dan juga pembangunan FasaKe-2 Muzium TUDM.

Hadir pada majlis itu ialah Panglima ATM, Tan Sri Azizan Ariffin serta bekas-bekas Panglima TUDM.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan khas untuk para pengunjung yang hadir bermula seawal 8 pagi dan tamat pada 5 petang.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan pada hari terbuka itu adalah parachute jump, abseiling dan spie rig daripada Pasukan Khas Udara (Paskau), belon panas, menunggang kuda dan simulator penerbangan serta pelancaran Dataran Wira Angkasa.

Turut diadakan persembahan Pasukan Pancaragam TUDM, pameran aset-aset TUDM, demonstrasi memadam kebakaran pesawat, pameran kerjaya oleh TUDM serta syarikat-syarikat yang sekian lama memberi sumbangan dalam pembangunan, penyelenggaraan dan pemodenan TUDM.

Kehadiran pengunjung-pengunjung sekitar Lembah Klang dan rumah anak yatim telah memeriahkan lagi Hari Terbuka Muzium TUDM kali ini.

Kira-kira 5,000 pengunjung berbilang kaum hadir pada Hari Terbuka Muzium TUDM itu.

Rodzali pada sidang akhbar selepas acara itu berkata, Hari Terbuka Muzium TUDM itu menjadi wadah bagi memperingati jasa-jasa perwira dan pejuang tanah air terdahulu.

"Saya mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu kita termasuk syarikat-syarikat tempatan yang sentiasa memberi sokongan kepada TUDM dengan mengadakan pameran-pameran aset canggih mereka dalam teknologi aviasi.

"Dengan adanya sokongan seperti itu, TUDM sudah pasti akan dapat terus mara ke depan pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: