Joe lega, Azmeer terharu dengan persembahan protege
RELEVANKAH lagi penggunaan rotan atau tali pinggang sebagai alat bantuan untuk mendidik mereka yang bergelar pelajar?
Sejauh mana pendidikan ala konvensional itu boleh merubah prestasi seorang pelajar? Itulah persoalan yang timbul pada sidang media program Mentor 4, pada Ahad lalu.
Disebabkan tidak mahu lagi melihat Shaq tertekan dengan keadaan seperti itu membuatkan pengundi bagaikan sepakat untuk menyelamatkan jejaka berusia 25 tahun itu dengan tidak mengundi dirinya. Hasilnya, keputusan undian terakhir kumpulan A menyaksikan Shaq mendapat 96 markah manakala Ila, protege kepada Joe Flizzow mendapat markah tertinggi iaitu 105 markah diikuti protege Azmeer iaitu Nani dengan 99 markah. Ini sekali gus melayakkan Ila dan Nani mara ke peringkat seterusnya.
Walaupun ada yang mempertikaikan caranya menggunakan tali pinggang serta penonton muak dengan drama yang tak berkesudahan membabitkan mentor dan protege sensasi ini, Mas Idayu tetap mempertahankan tindakannya itu.
“Saya rasa penggunaan tali pinggang untuk mendidik adalah relevan dan sesuai. Inilah cara didikan yang saya terima daripada ibu bapa saya. Kalau tak gunakan cara seperti ini iaitu rotan atau tali pinggang, saya tak akan berada di kedudukan begini. Lagi pun, anak saya yang masih bersekolah juga masih dirotan oleh guru hanya kerana markah Matematiknya rendah.
“Ini memang cara saya bekerja. Malah sebelum mengambilnya sebagai protege, saya sudah bertanyakan apakah dia bersedia menerima cabaran dan sanggup menghadapi cara kerja saya. Dia bersetuju dan sanggup menerima apa saja arahan, jadi saya tak anggap perkara itu memberi tekanan kepadanya.
“Cuma apa yang boleh saya katakan, Shaq agak lambat menerima sesuatu arahan. Begitu juga dalam hal menghafal lirik. Saya tidak boleh menunggu terlalu lama kerana kita kesuntukan waktu. Dia memang berbeza dengan Black. Malah, cara saya mendidik dia dengan Black juga berbeza. Apa pun, saya puas hati dengan persembahannya malam ini berbanding minggu lalu.
“Minggu lalu, dia memang teruk. Walaupun vokalnya masih belum pulih sepenuhnya, dia tidak banyak melakukan kesilapan. Cuma saya sedih kerana impiannya untuk menjuarai pertandingan ini dan hasratnya untuk membantu keluarga dengan hadiah kemenangan tidak kesampaian,” luah Mas Idayu.
Shaq yang duduk mendiamkan diri di sebelah protegenya ketika sesi temu bual berlangsung turut mengakui kelemahannya yang agak sukar untuk menangkap sesuatu pembelajaran dengan cepat.
“Saya akui memang susah nak faham sesuatu pelajaran yang diajar Mummy (panggilan untuk Mas Idayu) dalam masa singkat. Memang kena ambil masa. Itulah kelemahan saya. Tapi, saya boleh terima apa yang diajar dan tak anggap penggunaan tali pinggang itu sebagai tekanan amat berat. Sejujurnya saya sedih kerana gagal memenuhi impian sendiri dan hasrat mummy untuk melihat saya berjaya.
“Mungkin selepas ini, saya akan terus berusaha memperbaiki diri untuk terus berjaya dalam bidang yang ingin saya ceburi ini,” kata Shaq dalam nada sebak.
Tangisan gembira, sedih Azmeer
BUKAN saja Mas Idayu yang mempunyai masalah dengan protegenya tetapi perkara sama turut berlaku ke atas Azmeer dan Nani. Disebabkan Nani sering menghadapi masalah kesihatan sehingga menjejaskan vokalnya, Azmeer pernah terlepas meluahkan kata-kata pedih yang menyentuh hati gadis berusia 24 tahun itu.
Kata Azmeer, dia pernah meluahkan perasaan kecewa dan menyesal mengambil Nani sebagai anak didiknya hanya disebabkan masalah kesihatannya itu.
Bagaimanapun, selepas mendengar nyanyian Nani dan melihat usahanya yang membuahkan hasil itu, akhirnya Azmeer menarik balik kata-kata yang sudah terlanjur itu.
“Bila dia sering saja sakit sehingga menjejaskan mutu vokalnya, saya katakan kepadanya kenapalah aku ambil kau jadi protege, asyik sakit saja. Masa itu saya memang stres!
“Tapi malam ini, dia menonjolkan vokal sebenarnya seperti yang ditunjukkannya sewaktu sesi uji bakat dulu. Saya puas hati dan gembira dengan pencapaiannya malam ini,” kata Azmeer yang kelihatan mengalirkan air mata sewaktu mengimbas kembali tragedi itu.
Sementara itu, Joe yang kelihatan agak santai walaupun protegenya, Ila mengungguli pertandingan awal itu berkata, dia kini sudah menemui identiti sebenar anak didiknya itu.
“Selepas beberapa minggu diuji dengan pelbagai jenis lagu, saya sudah dapat melihat genre sebenar Ila. Yang pasti muziknya nanti bukanlah seperti Waheeda atau Yuna hanya kerana dia bertudung,” katanya.
Persembahan malam itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi undangan seperti Noh Hujan, Black dan Siti Sarah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: