Tuesday, June 8, 2010

Cinta kerana hadis


PASANGAN mempelai bersama ahli keluarga kedua-dua pihak.


LEMAH lembut, bijak, rupawan, santun bicaranya, sopan perilakunya, umpama satu pakej yang lengkap dambaan mana-mana lelaki dalam mencari pasangan hidup.

Tidak keterlaluan jika dikatakan juara rancangan realiti Gadis Melayu pertama terbitan TV9 ini, Aida, memiliki pakej lengkap itu yang bisa meruntun hati sesiapa yang mengenalinya.

Namun, cinta antara Aida dan suaminya, penyampai berita Buletin Utama TV3, Mohd. Saiful Nizam Ismail,28, pada mula perkenalan bukanlah bertaut kerana semua itu tetapi ianya bermula dengan salah faham.

Ujar pemilik nama Khairul Noormaaidah Zali, 25, perkenalan awal mereka bermula dengan salah faham berkenaan sebuah hadis yang pernah disebut oleh Aida.

Cerita Aida, dia ada menyebut sebuah hadis semasa mengacarakan program Wanita Hari Ini (WHI) dan Saiful yang kebetulan menyaksikan rancangan itu menegurnya kerana tersilap menyebutnya.

“Sebenarnya hadis yang saya sebutkan betul, mungkin dia tersalah dengar lalu meminta nombor telefon saya daripada seorang kenalan dengan niat untuk menegur saya.

“Dia hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi "kalau tak tahu, jangan baca" dan meminta saya menjelaskan hadis yang saya bacakan itu.

“Pastilah saya terkejut dengan SMS dia. tambahan pula ia daripada orang yang saya tidak kenali.

“Sejak itu, hari-hari dia mesej saya tetapi saya memang tidak layan SMS daripada orang yang tidak dikenali.

“Satu hari, dia menghubungi saya dan memperkenalkan dirinya. Saya terkejut rupa-rupanya selama ini yang menghantar mesej kepada saya ialah Saiful Nizam, pembaca berita Buletin Utama.

“Sejak itu, kami saling berkenalan, semakin lama semakin rapat, sehinggalah dia melamar saya menjadi isterinya," ujar Aida yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman yang manis.

Dengan sekali lafaz sahaja, Aida sah menjadi isteri kepada Saiful Nizam pada 4 Jun lalu, pukul 9.40 malam di rumah keluarga Aida di di Bandar Country Homes, Rawang.

Dia dinikahkan sendiri oleh bapa Aida, Zali Ismail, 59, sambil disaksikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang rapat dengan mereka.

Pihak pengantin perempuan menyediakan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki beserta wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya dan mas kahwin bernilai RM6,000.

Majlis persandingan kedua-dua mempelai itu diadakan pada 5 Jun, bertempat di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Penuh dengan adat tradisi, majlis perkahwinan mereka turut diserikan dengan beberapa rakan selebriti seperti Azwaliza Azman, Datin Norazlina Ridzuan, Norhaizi Mohd. Rani, Zainal Ariffin Ismail dan personaliti TV9, Zuhairah Mustafa Al-Husin.

Darling Ngasri, Rosyam Nor dan Datuk Farid Ridzwan turut hadir memeriahkan detik bersejarah kedua-dua personaliti yang bernaung di bawah syarikat Media Prima Berhad itu.

Bercerita tentang ciri-ciri yang ada pada Saiful Nizam yang memikat hati gadis rupawan ini, ujar Aida, Saiful Nizam seorang yang sangat memahaminya, tidak hipokrit dan amat menitik-beratkan masa.

Saiful Nizam juga disifatkan Aida sebagai seorang lelaki yang amat rapat dengan keluarga.

“Dia amat menyintai keluarganya, dan dia juga menyintai keluarga saya sebanyak mana dia cintakan saya," ujar Aida.

Bagi Saiful Nizam pula, Aida seorang wanita yang amat memahaminya, dapat menerima Saiful seadanya, dan paling memikat hatinya ialah Aida pandai membawa diri dengan sesiapa sahaja terutamanya dengan ahli keluarganya.

“Saya amat menyintai Aida dan berharap selepas ini kami dapat melalui kehidupan sebagai suami isteri dengan lancar, susah senang bersama dan berkekalan hingga ke syurga," tulus luahan hati Saiful Nizam.

Aida turut berjanji untuk menjadi isteri yang terbaik buat suaminya itu dan mengharapkan suaminya dapat membimbingnya di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: