Friday, June 25, 2010

Markas penyamun

SELAYANG: Penduduk di sekitar Selayang Baru, di sini, kini dihimpit ketakutan berikutan kejadian lima rumah di kawasan itu dimasuki penyamun bersenjata tajam dalam tempoh dua minggu.

BAHAYA...perumahan terbiar yang menjadi sarang penyamun.
BAHAYA...perumahan terbiar yang menjadi sarang penyamun.
LICIK...Haszellon menunjukkan cara penyamun membuka rumahnya.
LICIK...Haszellon menunjukkan cara penyamun membuka rumahnya.
Penduduk mendakwa, kejadian itu ada kaitan dengan kewujudan lebih 100 unit rumah kos rendah terbiar di situ yang kini ditumbuhi semak-samun menjadi ‘transit’ penyamun sebelum memecah masuk rumah mangsa.

Tinjauan Metroplus di kawasan berkenaan mendapati, rumah yang terbiar sejak lima tahun itu dipenuhi pokok tinggi menutup halaman selain dikelilingi dinding biru dipercayai didiami penyamun.

Penduduk, Haszellon Jamal, 35, berkata kewujudan rumah terbiar ditumbuhi semak-samun menyebabkan penyamun semakin berleluasa memasuki rumah penduduk hampir setiap malam.

Katanya, tiga minggu lalu, rumahnya dimasuki tiga lelaki warga asing bersenjata parang dan pisau pemotong daging yang mengepung bilik utama ketika dia dan suami, Kamal Hairulnizam Aswad Abdullah, 35, tidur.

“Mereka memakai topeng hitam mengacu pisau kepada saya dan suami sebelum mengikat kami di ruang tamu.“Penyamun itu juga mengejut ayah saya, Jamal Mohd, 63, dan menggugut untuk membunuh kami sekiranya kami menjerit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Selayang Baru, baru-baru ini.


Menurutnya, akibat kejadian itu dia kerugian kira-kira RM10,000 apabila barangan berharga termasuk komputer riba, wang dan telefon bimbit dibawa lari.

Haszellon berkata, mimpi ngeri itu menyebabkan dia sekeluarga mengalami trauma dan tidak boleh tidur malam kerana takut sekiranya penyamun masih berani masuk ke rumah mereka bila-bila masa.

Penduduk, Abd Hamid Mohd Said, 62, berkata rumahnya turut dimasuki penyamun pada jam 1 pagi tetapi bernasib baik kerana menantunya ternampak pencuri itu sebelum cuba mengejarnya.

“Penyamun itu dipercayai bersembunyi di rumah terbiar kerana kami tidak berani menyelinap masuk ke kawasan dipenuhi semak yang membahayakan nyawa.

“Mereka tidak pernah serik menyamun rumah kami kerana mempunyai cara masuk ke dalam rumah hinggalah berlari ke tempat persembunyian khas,” katanya.

Menurutnya, mereka berani kerana dilakukan beramai-ramai dengan memakai topeng dan bersenjata tajam hinggakan mangsa tidak boleh berbuat apa-apa.

Peniaga, Sarifuddin Mohd Nawawi, 46, berkata penyamun itu berani walaupun penduduk sepakat mengadakan operasi meronda di sekitar perumahan setiap malam kerana masih ada lagi kes kecurian di kawasan itu.

“Mereka akan meronda kawasan perumahan sebelum masuk ke rumah kami pada waktu sunyi menyebabkan penduduk kini ketakutan dan tidak boleh tidur malam.

“Penduduk berjaga-jaga setiap masa bagi mengelak kes seperti itu terus berlaku pada masa akan datang dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan wajar untuk menangani masalah itu,” katanya.

1 comment:

  1. salam...
    harga tertinggi!!!
    kami sedia membeli emas & surat pajak
    sila hubungi 013-282 3001(sms 24 jam)
    @ sila layari

    http://www.emasxproduktif.blogspot.com/

    agen diperlukan

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: