Thursday, June 17, 2010

Mahu dikenali kerana bakat, bukan kontroversi

USIA percintaan Memey dengan Norman Hakim sudah mencecah dua tahun. Namun, sampai hari ini pun, episod cinta mereka masih belum ada tanda-tanda akan berakhir ke jenjang pelamin. Lebih daripada itu, kes khalwat mereka masih lagi dibicarakan.

pix_middle

NORMAN...beri sokongan


NORMAN...beri sokongan
Secara peribadi, Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 22, berkata, dia belum bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya lagi.

"Terus terang, saya masih muda untuk memikirkan soal kahwin. Masih banyak lagi impian dalam hidup saya yang belum tercapai. Maklumlah saya baru berlakon. Buat masa ini, biarlah saya fokus kepada karier seni terlebih dulu kerana perjalanan saya masih lagi jauh.

"Saya juga sudah berbincang dengan Norman mengenai perkara ini dan dia nampaknya memahami minat saya yang sangat mendalam bidang seni. Kalau ada jodoh, saya akan berkahwin juga dengan Norman, itupun kalau dia sanggup tunggu saya," kata Memey kepada Rap, baru-baru ini.

Memey berkata, hubungannya dengan Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 34, masih serius sampai hari ini.

"Saya terima diri Norman seadanya. Maklumlah, saya sudah kenal dia selepas dia ada anak dengan Abby (Abadi) dulu. Memang saya rapat dengan tiga anak Norman - Mohamed Danish, Marissa Dania dan Maria Danisha. Mereka juga panggil saya 'Mummy' setiap kali kami bertemu," katanya yang berjiwa penyayang.Memey mengulangi kata, Norman memang memberi sokongan padu kepada karier seninya dari dulu sampai sekarang.


"Masa saya banyak dihabiskan di lokasi penggambaran drama setiap hari dan selalunya keluargalah yang berkunjung ke rumah saya. Seperti pasangan kekasih lain, saya dan Norman tetap mencuri masa untuk berjumpa kerana masing-masing sibuk di lokasi penggambaran drama," katanya.

Mengenai perkembangan kes khalwatnya pula, kata Memey, kes mahkamahnya itu akan didengar lagi pada 25 Jun ini.

"Sebagai wanita, sudah pasti, saya mengharapkan kes mahkamah itu selesai secepat mungkin. Selagi belum selesai, ia masih satu beban yang sangat berat kepada saya dan Norman. Apabila kes ini selesai kelak, saya ingin tutup buku dan menjalani hidup yang baru.

"Apapun, kes mahkamah ini tidak mendatangkan masalah kepada karier seni saya setakat ini. Sebagai pelakon, saya lebih suka bersikap profesional di lokasi penggambaran," katanya.

Kata Memey, dia tidak mahu namanya terus-terusan dikenali di persada seni kerana kontroversi.

"Biarlah orang kenal saya melalui bakat seni sedia ada kerana saya masuk dalam bidang ini bersandarkan bakat.

"Saya percaya kalau seseorang artis itu popular kerana perkara negatif, ia tidak kekal lama. Sebaliknya, artis yang meningkat naik bersandarkan bakat, pasti namanya diingati peminat sampai bila-bila," katanya.

Memey yang sudah tiga tahun berlakon akui rezekinya terus murah dalam bidang lakonan.

"Terbaru, saya masih di lokasi penggambaran musim keempat drama bersiri 26 episod Roda-Roda Kuala Lumpur arahan Faizal Yusof terbitan Skop Productions.
Saya juga bawa watak utama iaitu Lans Koperal Haiza bergandingan dengan pelakon lain seperti Serina Redzuawan, Raja Azrey, Hany Harmi dan Zack KOOL.

"Saya selesa bawa watak polis trafik itu dan ia semakin sebati dalam diri selepas masuk musim keempat. Saya memang minat anggota pakaian seragam dan ingin mencuba karakter polis dalam drama pula. Justeru, bila ditawarkan buat Roda-Roda Kuala Lumpur, saya terus terima tanpa berfikir panjang," katanya.

Bagaimanapun, Memey berkata, cerita polis trafik yang lasak itu mencabar kredibilitinya sebagai pendatang baru.

"Cerita ini adalah kisah kehidupan polis trafik yang menjaga keselamatan di jalan raya. Sepanjang penggambaran, kami dibantu dua anggota polis trafik di lokasi penggambaran kerana drama ini banyak membabitkan babak di jalan raya. Pelakon juga terdedah dengan kemalangan kerana tugas polis trafik menjaga keselamatan di jalan raya.

"Sebelum ke lokasi penggambaran drama ini, kami akan diberi penerangan oleh pihak polis trafik mengenai peraturan jalan raya. Watak saya juga tidak memerlukan saya menunggang motosikal besar yang dipandu polis trafik kerana saya tidak pandai bawa motosikal besar seperti itu," katanya.

Selain itu, Memey terbabit dengan penggambaran drama bersiri 30 episod Bola sempena Piala Dunia 2010 yang akan ditayangkan Julai nanti. Drama bersiri ini turut dibintangi pelakon seperti Shah Jaszle, Ainul Aishah dan ramai lagi.

"Saya terima tawaran buat cerita ini kerana karakternya menarik dan ia kisah remaja yang saya nantikan selama ini. Sebelum ini, saya banyak dapat tawaran watak wanita matang dan dewasa yang jauh lebih tua daripada usia sebenar saya seperti watak isteri orang.

"Kali ini, saya bawa watak remaja, Fiza yang juga anak pemilik kelab bola. Fiza bercinta dengan salah seorang pemain bola di kelab itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: