Thursday, June 17, 2010

Banteras jenayah

MAHASISWA boleh membabitkan diri dalam kegiatan jenayah bersama  agensi kerajaan seperti RELA.
MAHASISWA boleh membabitkan diri dalam kegiatan jenayah bersama agensi kerajaan seperti RELA.
PDRM mengalu-alukan kerjasama orang ramai siswazah

KESUNGGUHAN kerajaan membanteras jenayah dengan menjadikannya sebagai antara elemen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan semua pihak.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak sebagai agensi menguatkuasakan undang-undang di Malaysia tidak mungkin dapat menjayakan usaha berkenaan secara bersendirian.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam kenyataannya sebelum ini sebagai memetik, rondaan polis ditingkatkan terutama di 50 kawasan panas yang sudah dikenal pasti. Usaha itu katanya, bagi membendung aktiviti jenayah dengan dibantu anggota Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan sukarelawan awam lain.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata PDRM memerlukan tambahan kira-kira 60,000 pegawai dan anggota dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan awam.

Namun usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM perlu mendapat sokongan semua pihak termasuk mahasiswa.

Sebagai warga institusi pengajian tinggi, pastinya mereka lebih peka mengenai persekitaran setempat dengan menyalurkan maklumat berguna dalam usaha membanteras jenayah.
Siswa bertanggungjawab menyedarkan masyarakat terutama di kalangan generasi muda mengenai pentingnya semangat berpersatuan di kawasan perumahan.

Elemen keselamatan juga boleh diselitkan dalam aktiviti kemasyarakatan mereka. Malah mahasiswa boleh menjalankan aktiviti berkaitan dengan kerjasama PDRM, jawatankuasa penduduk kampung dan RELA.

Sebagai mahasiswa juga, mereka berwibawa menjadi ejen penyebar maklumat kepada pelajar menerusi ceramah motivasi. Mahasiswa bermaklumat sedia berkongsi pengetahuan dengan adik-adik di sekolah bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penjenayah antaranya peragut, perompak atau perogol.

Dalam menjalani kehidupan seharian juga, pelajar yang mendiami di sesebuah kawasan perumahan perlu peka mengenai persekitaran. Pastikan kehadiran anda di situ menyumbang kepada keharmonian masyarakat setempat.

Peka kepada pergerakan jiran tetangga selain mengenal pasti individu yang mendiami kawasan berhampiran anda. Kepekaan itu membantu anda membezakan penduduk setempat atau orang luar yang dikhuatiri penjenayah.

Secara psikologinya, penjenayah tidak selesa di kawasan perumahan di mana penduduknya hidup saling kenal mengenali antara satu sama lain. Mereka melihat keadaan sedemikian tidak selamat dan mencari lokasi penduduknya bersifat pentingkan diri sendiri.

Sebagai generasi celik teknologi maklumat, pelajar boleh menggunakan kemudahan canggih menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Rakancop. Maklumat di hujung jari anda. Mungkin kepekaan anda menyalurkan maklumat jenayah di kawasan setempat mampu menyelamatkan nyawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: