PERKAHWINAN adalah antara saat yang terindah dalam hidup seseorang. Momen-momen tersebut pastinya perlu diraikan dengan sebuah majlis yang unik. Kalau terjangkau dengan bajet, tentu sekali boleh dilangsungkan di tempat-tempat menarik termasuk di luar negara.
Pelbagai cara yang akan dilakukan oleh pasangan untuk mengabadikan saat-saat itu dalam kamus hidup masing-masing. Ada yang memilih majlis perkahwinan dan resepsi di dasar laut, membuat terjunan udara mahupun menaiki roller coaster.
Di Britain, terdapat pelbagai tempat yang menarik dan unik untuk dipilih sebagai lokasi majlis penuh bersejarah dalam hidup itu.
Umum tahu bahawa sebuah universiti ulung di dunia iaitu Universiti Oxford adalah tempat untuk menimba ilmu. Namun, ia turut boleh dijadikan lokasi meraikan pasangan pengantin baru.
Bukan sahaja koleksi-koleksi buku dan manuskripnya, bahkan termasuk bangunan di situ, semuanya masih digunakan sehingga kini semenjak zaman pertengahan lagi.
Perpustakaan Bodleian adalah sebahagian daripada kumpulan bangunan hebat yang merupakan jantung sejarah kepada Universiti Oxford. Pengurusannya turut memberi peluang kepada sesiapa yang ingin menganjurkan majlis-majlis di bangunan abad pertengahan itu.
Menyingkap sejarah perpustakaan itu, ia sebenarnya telah diasaskan berdasarkan dana yang dibiayai oleh Thomas de Cobham, Bishop of Worcester dan diteruskan pembinaannya oleh Sir Thomas Bodley.
Berlokasi di jantung Oxford, ia boleh dijadikan sebagai venue perkahwinan bagi pasangan yang memilih untuk meraikannya di sebuah tempat penuh dengan sejarah dan keagungannya itu.
Dengan jumlah bayaran yang dikenakan sebanyak £395 (RM1,886) sejam, pihak pengurusan akan menyediakan sebuah kawasan yang mampu menampung sejumlah 120 tetamu untuk meraikan majlis perkahwinan.
Bagi memeriahkan lagi majlis dengan sistem PA, sejumlah £50 (RM239) tambahan diperlukan untuk mendapatkan perkhidmatan itu. Bagaimanapun ruang penuh sejarah tersebut hanya sedia digunakan untuk majlis pada hari Sabtu sahaja sepanjang tahun.
Adaptasi cinta di rumah api
Mula beroperasi pada tahun 1815, Hotel Corsewall Lighthouse telah menjadi saksi kepada banyak pasangan yang melangsungkan perkahwinan mahupun resepsi mereka di situ.
Dengan penginapan gaya mewah, makanan yang enak dan pemandangan indah Galloway yang ditawarkan, ia menjadi sebab kenapa banyak pasangan memilih Hotel Corsewall Lighthouse sebagai lokasi perkahwinan mereka.
Oleh kerana saiz hotel yang agak terhad, hanya majlis perkahwinan kecil sahaja yang dapat dijalankan iaitu dengan jumlah maksimum 28 orang tetamu untuk menghadiri majlis di dalam ruang restoran.
Namun, ia bukan menjadi masalah kerana hakikatnya ramai pasangan yang lebih gemar memilih untuk mengadakan majlis resepsi di kawasan luar berbatu.
Hotel rumah api yang berdiri di atas tanjung berbatu seluas 20 ekar itu turut menjanjikan panorama indah Ayrshire Coast, Ailsa Craig, Arran, Mull of Kintyre serta Ireland Utara.
Penggunaan ruang restoran secara eksklusif boleh dilakukan dengan syarat semua bilik hotel disewa sepanjang majlis berlangsung.
Sehingga kini, rumah api itu msih lagi beroperasi pada waktu senja sehingga subuh. Pasangan mempelai boleh menyaksikan pancaran 'lima jari' cahaya yang mempesonakan dari menara itu.
Bagaikan tidak lengkap majlis perkahwinan di tempat romantik itu jika tidak mengambil waktu berdua-duaan sambil menikmati makan malam diterangi cahaya lilin. Pasangan boleh berbincang dengan ketua chef mengenai menu yang akan dihidangkan.
Romantis di atas kapal
Berbeza pula dengan melakukan majlis perkahwinan di atas sebuah kapal lama. Kapal tersebut dibina pada tahun 1817 dan dinamakan sebagai HMS Trincomalee turut sesuai dipilih sebagai venue perkahwinan istimewa di Britain.
Kapal tertua yang terapung di United Kingdom itu adalah sebuah binaan indah rekaan dari India yang pernah digunakan oleh Jabatan Tentera Laut Inggeris.
Kapal yang diberikan lesen sebagai lokasi perkahwinan sivil dan perkahwinan karpet merah itu adalah sebuah tarikan yang sedang meningkat popular di Britain, apatah lagi melakukan upacara pernikahan di dalam kabin kapten.
Venue menarik itu selalunya sedia digunakan untuk majlis resepsi pada waktu pagi ataupun pada sebelah petang setiap hari.
Dengan kos sewaan sebanyak £450 (RM2,149) pengantin boleh meraikan momen-momen indah bersama keluarga. Bagaimanapun pembayaran dahulu diperlukan serta makan dan minum adalah dilarang sepanjang majlis berlangsung.
Bersaksikan pepasir pantai
|
|
Bagaimanapun kepada pasangan yang inginkan majlis perkahwinan di pesisir pantai terbuka Inggeris boleh menterjemahkannya kepada perkahwinan di dalam sebuah gelas kaca berbentuk sfera yang menghadap laut untuk suasana lebih indah.
Sebuah resort lima bintang, Cary Arm yang terletak di Babbacombe Bay di barat daya England menawarkan pakej perkahwinan yang menarik di kawasan pantai.
Bagi menganjurkan majlis yang boleh dihadiri oleh seramai 35 orang tetamu pengantin boleh meraikannya di Saloon Resident ataupun di dalam dan sekitar 'pod' iaitu sebuah sfera kaca.
Cary Arm adalah sebuah resort klasik Inggeris yang dinaiktaraf sebagai sebuah hotel butik mewah awal tahun ini dan ia turut mempunyai lapan buah bilik tidur yang menghadap ke arah lautan.
Pod yang menawarkan pengalaman unik meraikan hari bahagia iaitu dengan berlatar belakangkan lautan semula jadi selain pemandangan pesisir pantai Lyme Bay akan menjadikan majlis perkahwinan anda tidak luput dalam ingatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: