TREND penggunaan kenderaan mewah bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. Perkembangan ekonomi dan taraf hidup rakyat yang semakin meningkat membolehkan mana-mana individu yang berkemampuan memilikinya.
Buktinya, di mana-mana sahaja, kita boleh melihat pelbagai jenama kenderaan mewah menjalar di atas jalan raya.
Bagi golongan ini, biarpun apa jua jenamanya, kepuasan memiliki sebuah kenderaan mewah yang mampu mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit sukar digambarkan dengan kata-kata.
Salah sebuah syarikat yang aktif mengeluarkan kenderaan mewah di seluruh dunia
Tidak terkecuali di negara ini, setiap model yang dipasarkan BMW Group Malaysia berjaya mencatat jualan membanggakan termasuk BMW 7 Series yang bercirikan mewah dan eksklusif.
Biarpun dianggap termahal dalam kelasnya, namun kategori itu tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri, malah pada tahun lalu sahaja ia berjaya mencatatkan jualan sebanyak 200 unit.
Baru-baru ini, syarikat itu melancarkan dua model terbaru iaitu BMW 730Li dan BMW Individual 760Li.
Jentera tuan besar
Disasarkan untuk pasaran Asia yang kurang menggemari enjin bersaiz besar, 730Li yang dipasang di Thailand dijual pada harga RM688,000 seunit (termasuk insurans).
Model itu didatangkan dengan enjin tiga liter enam silinder yang menggunakan teknologi Valvetronic dan Double-Vanos.
Jentera itu berupaya menjana kuasa kuda 190 kW/258hp dan kuasa terjahan 310 Nm yang membolehkannya memecut antara antara 0 kilometer sejam (km/j) hingga 100 km/j dalam tempoh 7.8 saat pada kelajuan maksimum 245km/j.
Sebagai tambahan, dengan sistem BMW EfficientDynamics, ia mampu memaparkan kecekapan terbaik dalam kelasnya dengan purata penggunaan bahan api sebanyak 9.8 liter menjadikannya model enjin petrol paling cekap dalam segmennya.
Dengan kapasiti tangki minyak sebanyak 82 liter (L) dan transmisi automatik enam kelajuan ia mampu memberi anggaran perjalanan sejauh 835 kilometer di atas lebuh raya.
Seperti juga model-model BMW 7 Series yang lain, jentera itu mempunyai sistem casis dan suspensi berteknologi tinggi bagi memberi keselesaan optimum semasa pemanduan.
Menjenguk ke bahagian dalam jentera itu, mata pasti terpaku melihat kemewahan yang diukir padanya. Sesuai dengan gelarannya iaitu kereta untuk tuan besar ia menitik beratkan keselesaan maksimum penumpang di bahagian belakang.
Kerusinya yang empuk membuatkan anda seolah-olah sedang menaiki pesawat kelas pertama, malah sistem penghawa dingin di bahagian belakangnya juga boleh diselaraskan seperti penumpang hadapan.
Model itu juga dilengkapi dengan sistem hiburan kerusi belakang berkualiti premium bagi memastikan kemuncak kemewahan dengan dua paparan skrin warna 20 sentimeter yang dipasang pada belakang setiap kerusi depan, memberikan pilihan kepada penumpang belakang untuk menonton cakera padat digital atau mendengar muzik secara berasingan.
Di samping itu, terdapat saluran bagi AUX-In membolehkan sambungan kepada pemain MP3, konsol permainan video dan peralatan-peralatan lain menjadikan sebuah kenderaan sempurna untuk memenuhi peralatan gaya hidup kontemporari.
Rekod transmisi 760Li
Sementara itu, model BMW Individual 760Li pula merupakan edisi terhad yang ditujukan bagi mereka yang mahu memiliki sebuah kenderaan yang terbaik dalam kelasnya.
Kemuncak kejuruteraan automotif dalam model itu dipertingkatkan dengan penekanan ke atas kualiti tinggi premium yang begitu eksklusif bagi ruang dalaman dan luaran yang direka mengikut cita rasa persendirian yang ditawarkan menerusi program BMW Individual.
Pada masa yang sama, ia juga memberi peluang kepada pelanggan bercita rasa tinggi mereka konsep tersendiri pada kenderaan itu melangkaui peralatan standard dengan kombinasi warna badan kenderaan, pilihan kulit yang berkualiti tinggi, kemasan ruang dalaman yang eksklusif dan fungsi-fungsi teknikal serta pilihan rim roda aloi.
Sesuai dengan harganya yang mencecah RM1.39 juta seunit (termasuk insurans), 760Li memaparkan teknologi TwinPower Turbo BMW, suntikan berperincian tinggi dan kawalan aci sesondol (camshaft) Double-Vanos.
|
|
Ia sekali gus, memberikan sedan mewah itu kuasa menjana 400 kW/ 544 hp dan kuasa terjahan 750 Nm dan mampu mencapai 0 hingga 100 km/j dalam kadar hanya 4.6 saat.
Jentera itu juga merupakan model BMW pertama seumpamanya yang dipasang dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang mana dengan gabungan enjin V12, memastikan kecanggihan deria pemanduan yang maksimum dan kejituan serta rizab kuasa yang tiada had.
Disebalik kapasiti kuasanya yang hebat, 760Li memberi penjimatan bahan api iaitu 13.0 L setiap 100 km, menjadikannya salon mewah 12 silinder paling cekap bahan api dan mesra pelepasan asap di dunia.
Pengarah Urusan Kumpulan BMW Group Malaysia, Geoffrey Briscoe berkata, pengenalan dua varian itu berikutan pemulihan ekonomi selain kualiti kenderaan yang mampu meningkatkan keyakinan pembeli.
Katanya, ketika ini BMW menguasai 40 peratus pasaran kenderaan premium di negara ini.
"Untuk mencapai 50 peratus penguasaan pasaran kenderaan premium pada tahun ini tidak semudah yang disangka, tetapi ia memerlukan usaha yang gigih dan berterusan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: