PELAJAR kolej dari Jepun, Hiroki yang baru sahaja menamatkan pengajian bulan lalu dan tidak sabar untuk memulakan kehidupan dengan bekerja sepenuh masa.
Walau bagaimanapun, tidak satu pun permohonan kerja daripada 40 buah syarikat teknologi maklumat (IT) dan media, memberikannya khabar gembira.
Jadi, Hiroki telah mengambil keputusan untuk mengikuti trend pelajar lain iaitu terus tinggal di universiti sambil mencari peluang yang lain.
Golongan pelajar seperti Hiroki ini seboleh-boleh tidak mahu dikategorikan sebagai Generasi Buntu. Ia adalah label masyarakat umum yang merujuk kepada hidup anak muda yang tidak stabil ataupun mereka yang bekerja separuh masa dengan gaji rendah.
"Sekiranya anda tidak ada pekerjaan maka kehidupan itu tidak selamat," beritahu Hiroki, 23, yang keberatan memberikan nama penuhnya. Dia merujuk kepada belia yang melompat dari satu kerja separuh masa ke satu kerja separuh masa yang lain selepas menamatkan pengajian.
Sementara itu, Jepun telah mengalami kekurangan peluang pekerjaan sehingga golongan muda di negara itu terpaksa menerima pekerjaan separuh masa yang begitu tidak selamat.
Pekerjaan kontrak terpaksa diterima apabila mereka yang berkelulusan tinggi tidak menerima tawaran kerja tetap sekitar tahun 1994 hingga 2004.
Jepun sudah pun mempunyai Generasi Buntu yang lebih awal, iaitu kumpulan lulusan universiti yang tidak mendapat kerja tetap atau bergaji memuaskan ketika negara itu menghadapi tempoh getir sepanjang tahun 1994 hingga 2004.
Para pemimpin negara itu bimbang terhadap iklim ekonomi yang merudum kali ini bakal menambah beban pembaziran sumber tenaga manusia. Lebih malang, Jepun disifatkan sebagai negara yang memiliki populasi yang semakin tua dan mengecil.
Sementara pakar ekonomi cuba berkongsi masalah itu, ramai juga yang mengkritik tindakan Perdana Menteri, Yukio Hatoyama dalam mengatasi krisis tersebut.
"Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengembalikan jaminan dan keselamatan masa depan pekerja tetap, memudahkan urusan pertukaran kerja, memperbaiki sistem pencen, dan merapatkan jurang perbezaan antara pekerja.
"Sekiranya anda melakukan langkah yang bertentangan, ia hanya akan mengurangkan semangat pekerja," jelas Ketua Ekonomi Macquarie Securities (Japan) Limited, Richard Jerram.
Walaupun ekonomi merudum dan dilihat sebagai lambat untuk melonjak semula, kadar pengangguran di Jepun adalah pada catatan 4.9 peratus, dan statistik itu dicemburui banyak negara lain.
Walaupun trend pengambilan kerja di Jepun berkurangan dengan drastik, sebanyak 90 peratus lepasan universiti masih berjaya mendapatkan pekerjaan.
Peluang kehidupan
Banyak syarikat yang mengambil pekerja secara besar-besaran setiap April tetapi tawarannya dibuat setahun sebelum pengambilan. Maka, jika pelajar itu tidak lulus pengajian tepat pada tempoh kritikal itu, peluang akan lenyap begitu sahaja.
"Ramai yang terpaksa memilih pekerjaan separuh masa. Ia satu-satunya peluang seumur hidup," jelas Naib Presiden Universiti Tokyo Aoyama Gakuin Shin Hasegawa.
Sistem tersebut dipraktikkan ketika pertumbuhan ekonomi Jepun sangat ketara selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu penyerapan sumber tenaga sepanjang hayat diguna pakai dalam banyak syarikat dengan para pekerjanya diberi latihan dan gaji yang meningkat setiap tahun.
Apabila sistem pengambilan kerja sepanjang hayat tidak lagi relevan ketika ekonomi Jepun melalui tahap yang tidak memberangsangkan, ciri lain masih serupa.
Masalah hanya dihadapi oleh para lulusan baru dan bukan pekerja biasa yang tidak dapat diserap dalam kuota pengambilan kerja baru. Golongan ini membentuk sepertiga daripada tenaga kerja Jepun.
"Bagi menjaga bayaran gaji yang tinggi kepada pekerja berpengalaman, mereka perlu mengorbankan peluang para siswazah baru. Ini semua polisi syarikat sedia ada," terang pakar ekonomi International Christian University (ICU) di Tokyo, Naohiro Yashiro.
Pihak pemerintah cuba menangani masalah itu dengan menawarkan kaunseling kerjaya, latihan pekerjaan dan meminta syarikat menambah lebih banyak pekerja sepenuh masa.
"Sekiranya pelajar tidak ditawarkan pekerjaan sebelum mereka tamat pengajian, mereka selalunya akan bekerja sendiri terlebih dahulu atau menerima sahaja apa jua kerja dengan gaji rendah.
"Kami mahu berusaha membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik," beritahu salah seorang pekerja di pejabat Kerajaan Tokyo Metropolitan, Masayo Murayama, yang turut memberi kaunseling kepada graduan universiti.
Kabinet Hatoyama telah meluluskan undang-undang bagi melarang firma-firma pekerjaan menghantar pekerja sementara jangka pendek untuk syarikat-syarikat. Undang-undang itu berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun.
Pasaran buruh
Langkah kerajaan parti demokratik yang berkuasa pada tahun lalu itu mengambil langkah tersebut bagi melindungi golongan pekerja, berbanding Parti Liberal Demokratik yang disifatkan lebuih menyebelahi pihak syarikat dan bisnes.
Pakar kaunseling berkata, latihan kerjaya mungkin membantu sebahagian para pelajar meluaskan carian pekerjaan agar tidak terikat dengan pilihan kerjaya tertentu.
Namun, para pengkritik menyifatkan bahawa halangan pengambilan pekerja sementara hanya akan memburukkan keadaan kerana syarikat-syarikat itu akan meninggalkan Jepun dan membuka firma mereka di negara yang menawarkan tenaga buruh yang lebih murah dan fleksibel.
"Pasaran buruh perlu lebih fleksibel dengan menerima pekerja termasuk pekerja sementara," ujar Yashiro yang sedang cuba mengubah sistem pengambilan kerja yang hanya memihak kepada pekerja senior. Dia juga memperjuangkan hak gaji yang sama rata mengikut produktiviti.
Perubahan itu walau bagaimanapun, amat sukar untuk dijayakan Parti Demokratik sepenuhnya. Parti yang menekankan kepentingan kesatuan sekerja itu akan terus bereksperimen dengan pelbagai langkah untuk memastikan isu tersebut dalam perhatian mereka.
Namun, ia menguji kemampuan Hatoyama untuk membuat keputusan dan mencipta polisi yang tepat.
"Susah untuk kerajaan melaksanakan penyelarasan pasaran buruh. Mereka memegang amanah dan wang pekerja yang banyak," terang Jerram.
Pada masa yang sama, pelajar seperti Hiroki yang jenuh menunggu jawapan penerimaan daripada 10 permohonan baru, berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu.
"Tahun ini, syarikat yang mengambil pekerja semakin berkurangan. Saya tidak tahu apa peluang saya," keluh Hiroki.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: