|
|
PADANG BESAR - Seorang pengusaha stesen minyak haram di sini ditahan selepas cuba menyogok penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang memeriksa premisnya kelmarin.
Pengarah KPDNKK Perlis, Mohd. A. Aruwan Abdul Aziz berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu cuba menyuap pegawai penguat kuasa agar tidak memeriksa premisnya dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang selepas didapati beroperasi tanpa lesen.
"Dia kini diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut," katanya di sini semalam.
Menurutnya, stesen minyak haram yang beroperasi di sebalik bangunan gudang di kawasan perindustrian itu pernah diserbu pada Januari lalu kerana menjual bahan bakar subsidi kepada kenderaan dari negara jiran.
Nilai rampasan pada kali ini, jelasnya, dianggarkan sebanyak RM76,410 dan pihaknya merampas 27,300 liter diesel bernilai RM46,410 dan menyita sebuah lori tangki yang dianggarkan berharga RM30,000.
Pada serbuan pertama Januari lalu, pemilik stesen minyak haram itu terpaksa berputih mata apabila premisnya yang dalam perancangan diperbesarkan disita dan kesemua diesel sebanyak 9,000 liter berharga kira-kira RM15,000 ditemui tersimpan di dalam tiga tangki dirampas.
Mohd. A. Aruwan menjelaskan, sebanyak 27,300 liter diesel ditemui dalam tiga tangki besar berkapasiti 19,000 liter setiap satu yang terletak di dalam stesen terbabit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: