TUGASAN sebagai ibu terutama dalam membesarkan anak kecil sememangnya memenatkan lalu dijadikan alasan untuk tidak bersenam, sekali gus mengabaikan kesihatan diri.
PERSIAPAN...Williams, Dapne dan peserta Yawa mengadakan sesi latihan, baru-baru ini.
Menurut pelari maraton, Mark Williams, wanita Malaysia memberikan pelbagai alasan untuk melakukan aktiviti senaman mudah seperti berlari dan rata-rata tidak bersemangat melakukannya.
"Berlari adalah aktiviti terbaik untuk kecergasan optimum dan ia mampu membakar lebih banyak kalori.
"Ia juga mengeluarkan endorfin yang dapat memberi kelegaan dan rasa gembira terhadap emosi serta fizikal. Alasan utama yang sering diberikan wanita ialah anak.
"Mereka perlu menjaga anak dan situasi itu menyebabkan mereka tidak boleh keluar rumah untuk berlari walaupun hanya 30 minit.
"Sebenarnya, tidak salah membawa anak berlari bersama. Bagi anak yang sudah boleh berjalan, golongan ibu amat digalakkan membimbing anak perlahan-lahan.
"Jika membawa anak kecil, boleh berlari sambil menolak kereta sorong bayi. Ramai yang mengandaikan tidak boleh tapi tidak salah melakukannya," kata Williams.
Tambah jurulatih rasmi acara Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur pada 27 Jun ini, wanita perlu mengelak berlari sendirian kerana boleh membahayakan diri.
"Seeloknya, dapatkan teman supaya tidak menjadi sasaran penjenayah. Selain tidak bersendirian, berlari bersama rakan juga boleh meningkatkan motivasi.
"Seterusnya, tetapkan sasaran yang ingin dicapai. Mungkin sasaran itu untuk menurunkan berat badan, bersiap menghadapi perlumbaan atau ingin melakukan aktiviti sihat bersama keluarga.
"Kekalkan sasaran itu dan cuba lakukannya melepasi rutin biasa. Sebaiknya tiga kali seminggu. Saya sedar ramai yang sukar melakukannya sekerap itu tapi apabila sudah dimulakan, pasti anda mampu mengharunginya.
"Jika berlari sekali saja, ia belum cukup untuk melepasi rutin biasa. Tapi selepas tiga kali, ia akan terus menjadi rutin mingguan anda," ujarnya.
Guru geografi di sebuah sekolah antarabangsa di Bangi itu turut menggalakkan wanita berjalan terlebih dulu berbanding terus memulakan larian.
"Biasakan diri dengan aktiviti berjalan. Kemudian, tingkatkan kepantasannya sebelum berlari perlahan-lahan sehingga setengah kilometer. Jangan terus berlari kerana badan tidak biasa dengan perubahan itu.
"Biasanya ia mengambil masa enam ke lapan minggu untuk berubah sepenuhnya daripada berjalan ke aktiviti larian. Tambahan dengan cuaca panas dan lembap di negara ini, kita bukan saja bersaing dengan diri sendiri, malah faktor cuaca turut mempengaruhi larian.
"Memakai pakaian dan kasut sukan yang sepatutnya juga penting dalam larian. Gunakan kasut khusus untuk berlari, memakai pakaian berwarna terang dan daripada material yang bukan menyerap peluh.
"Topi juga perlu dan gunakan yang terbuka di atas kepala kerana 30 peratus haba dilepaskan dari atas kepala," katanya selepas sesi senaman dan larian ringan bersama kanak-kanak daripada Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa) dan ikon selebriti mereka, Daphne Iking di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Daphne, yang akan menyertai kategori kebajikan sejauh lima kilometer dalam maraton itu, turut bersetuju dengan saranan Williams dan merasakan wanita tidak sepatutnya bimbang untuk membawa anak berlari bersama-sama.
"Sejak di sekolah, saya aktif dalam olahraga terutama acara larian jarak sederhana. Kebiasaan itu terbawa-bawa hingga dewasa dan saya masih berlari ketika mengandungkan Isobel.
"Saya berhenti seketika selepas kandungan makin membesar dan kembali berlari selepas bersalin kerana ia antara cara paling berkesan untuk menurunkan berat badan.
"Walaupun Isobel masih kecil, saya berusaha berlari bersamanya dengan menolak kereta sorong atau mendukungnya," katanya.
Tambah pengacara The Breakfast Show di saluran NTV7 itu, dia berhasrat menyertai maraton berkenaan tahun ini sambil menolak kereta sorong Isobel. Namun, pihak penganjur tidak membenarkannya kerana faktor keselamatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: