SELEPAS menunggu lebih dua tahun, baru kini Raja Putri Atilia Haron, 36, menarik nafas lega apabila album keduanya berjudul Indah berjaya disiapkan sepenuhnya.
Selain lagu Melayu, album ini turut memuatkan empat lagu Inggeris yang menampilkan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh berduet dengan Atilia menerusi lagu Old Love ciptaan Mike Bloemendal. Kolaborasi bersama kumpulan Indonesia iaitu Maliq and D'Essentials melalui lagu Harus Bagaimana dan kumpulan Sore dengan lagu Silly Little Thing bagaikan impian menjadi kenyataan buat Atilia.
Atilia berkata, dia bersyukur dan berpuas hati apabila album berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam proses menyiapkan album kedua berkenaan.
"Untuk album ini, saya terpaksa mengembara ke beberapa studio untuk merakamkan lagu. Ia termasuk dua lagu yang dirakamkan bersama kumpulan Indonesia di Jakarta. Selebihnya, lagu berkenaan dirakam di sekitar Lembah Klang. Saya harap album yang menampilkan lagu Melayu dan Inggeris termasuk beberapa lagu duet ini dapat diterima ramai dan ke udara di stesen radio.
"Untuk album ini, saya lebih memberi fokus kepada penerbitan. Jadi, saya hanya sempat menulis dua lirik berbanding enam dalam album terdahulu, Sangkar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album berkenaan di Celebrities Hall of Music di Solaris Mont Kiara, baru-baru ini.
Atilia yakin strategi memuatkan empat lagu Inggeris menerusi album itu mampu melebarkan pasaran di peringkat antarabangsa.
Album yang bakal berada di pasaran pada akhir Julai terbitan Mujik Productions manakala Alibi Music sebagai pengedar dan promosi.
Mengulas cabaran yang dilalui sepanjang menyiapkan album berkenaan tentunya membabitkan kewangan. Mujur dia mendapat bantuan daripada Alibi Music, selain menggunakan wang simpanannya sendiri untuk menyiapkan album berkenaan. Pihak Alibi Music turut membantu menghasilkan klip video, cover album dan promosi.
Bercerita lanjut mengenai judul lagu Indah, Atilia memberi tahu, melodi Indah menggambarkan suasana indah bersama teman, keluarga dan orang sekelilingnya.
"Album ini paling istimewa kerana saya juga dapat bergabung dengan tiga komposer yang ada nama besar seperti Paul Morisson, Tak Khoon dan Mohariz Yaakub.
"Saya juga melancarkan single pertama, Silly Little Thing di Indonesia yang turut mendapat sambutan. Insya-Allah, kami dalam rangka untuk menembusi pasaran di Indonesia selepas ini," katanya.
Ditanya mengenai pemilihan lagu Indah, Atilia memaklumkan, ketika itu dia sedang melalui saat indah bersama orang tersayang di sekelilingnya. Biarpun masih memegang status janda, namun dia tidak menafikan masih berkawan dengan seseorang yang istimewa tetapi terlalu awal untuk diperkatakan. Walau bagaimanapun, jika sampai masanya kelak, dia tidak akan merahsiakan saat bahagia itu bersama semua.
"Memang sehingga kini ibu adalah antara rakan paling rapat dan cukup memahami pendirian saya. Pengalaman ibu juga banyak membantu saya berjuang untuk meneruskan hidup ini. Saya juga tidak pernah berdepan masalah dengan bekas suami, malah kami masih berkawan dan berhubung antara satu sama lain.
"Tumpuan saya kini pada karier terlebih dulu. Memang saya mempunyai perancangan untuk berkahwin lagi dan mempunyai anak untuk tempoh terdekat ini memandangkan usia saya sudah menjangkau 36 tahun," katanya.
Mengenai aktiviti seni, Atilia memaklumkan akan meneruskan projek Malam Nada Biru, selain menjayakan persembahan di beberapa Festival Muzik Jazz yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Atilia turut terbabit dalam pementasan teater muzikal arahan Nell Ng iaitu Little Red Riding Hood dengan memegang watak ala puteri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: