KUALA LUMPUR: Lebih 100 pemuzik dan penari termasuk penuntut institusi pengajian tinggi tempatan menyertai Hari Muzik Sedunia atau ‘Fete de la Musique’ yang berlangsung semalam di empat lokasi berlainan.
HIBUR...pelajar dari Chong Hwa Independant High School Brass Band membuat persembahan di Majlis Hari Muzik Sedunia di Plaza Low Yat, semalam.
Pengurus Besar Bahagian Pelancongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Norazah Yusof, berkata usaha penganjuran majlis bertaraf antarabangsa itu bertepatan hasrat kerajaan menjadikan ibu negara sebagai hab kesenian dan kebudayaan.
“Ini juga satu platform untuk kita menawarkan lagu gubahan pemuzik tempatan dengan seni kebudayaan kita untuk tontonan umum terutama pelancong dari luar negara bermula pagi tadi (semalam) hingga malam.
“Kita juga wajar berbangga apabila majlis sebesar ini membuka peluang kepada pemuzik amatur dan profesional berkongsi pentas selaku menyokong penganjuran Hari Muzik Sedunia.
“Jadi, guna kesempatan ini untuk menonjolkan nilai seni kita dan bersama-sama kita menjayakan festival muzik terbesar ini,” katanya mewakili Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail merasmikan penganjuran Hari Muzik Sedunia, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden Kolej Universiti HELP, Profesor Datuk Dr Zakaria Ahmad.
Sementara itu, Dr Zakaria berkata Fete de la Musique adalah festival muzik terbesar yang diraikan lebih 300 bandar raya di kira-kira 100 negara sejak 1982 sebagai meraikan seni dan kebudayaan pada 21 Jun setiap tahun.
Bagaimanapun, Malaysia mula meraikan hari muzik sejak 1996 dengan Kolej Universiti HELP menganjurkan majlis besar-besaran lapan tahun lalu bermula dengan kampus di Damansara Heights hingga ke Bukit Bintang dan Bangsar.
“Kami memilih konsep sama seperti dianjurkan dunia, namun tahun ini ia diraikan awal memandangkan hari ini (semalam) adalah Ahad dan sesuai untuk penganjurannya sehingga lewat malam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: