KUALA LUMPUR - Sepasukan anggota kastam yang memeriksa dua buah bagasi terkejut apabila bukan sahaja menjumpai ganja malah ia turut dimuatkan dengan 300 ekor kura-kura pelbagai spesies di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini baru-baru ini.
Tembelang itu terbongkar selepas mesin pengimbas di situ mengesan sesuatu yang mencurigakan.
Lebih licik apabila penyeludup turut menampal kaki dan kepala kura-kura tersebut dengan pita pelekat bagi mengelakkan ia bergerak sekali gus menyukarkan ia dikesan oleh mesin pengimbas.
Haiwan tersebut kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) manakala dadah itu diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Pengarah I Perhilitan, Misliah Mohamad Basir berkata, pemeriksaan mendapati bagasi tersebut diterbangkan dari Madagascar dan menukar penerbangan di Mauritius sebelum tiba di negara ini.
"Kita percaya pemiliknya meninggalkan bagasi tersebut dan menghilangkan diri sebaik menyedari taktiknya terbongkar. Usaha untuk mengesannya sedang dijalankan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Cheras di sini semalam.
Tambahnya, kebiasaannya kura-kura tersebut dijadikan sebagai haiwan peliharaan selain dijual antara RM500 dan RM1,000 seekor.
Menurut Misliah, pihaknya akan mengenal pasti lokasi asal haiwan tersebut untuk penghantaran semula ke negara asalnya.
"Pada hari sama juga kita merampas dua ekor burung enggang dan seekor ular sawa selepas melakukan serbuan ke atas premis perniagaan di Seri Kembangan, Selangor," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: